Istighathah Kepada Rasulullah Salallahu Alalhi Wasalam?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Ke kedai buku tadi, kedengaran lagu perempuan dengan lirik “Allah, Allah, aghith-nā yā Rasūla Allah.” Ini istighāthah – iaitu meminta bantuan dan pertolongan – daripada Rasulullah ṣallā Allāh ‘alay-hi wa-sallam. (Saya tidak tahu apa wajahnya menyebut nama Allah sebanyak dua kali, tetapi kemudiannya berdoa kepada baginda?)

Hukum istighāthah dengan nabi termasuk dalam perkara kontroversi dalam dunia Islam pada zaman muta’akhkhirīn dan berterusan sampai sekarang. Sebelumnya pada zaman mutaqaddimīn, lafaz-lafaz seperti ini tidak menjadi amalan para sahabat, salaf, dan mutaqaddimīn. Kalaupun ada riwayat mereka melakukannya, riwayat-riwayat tersebut tidak sahih atau mu’awwal. Maka, tidak hairanlah masalah ini tidak sehangat ini pada zaman mereka.

Istighāthah dengan Nabi SAW sangat bahaya. Saya tahu ada golongan yang menisbahkan diri kepada Ahl al-Sunnah membenarkannya, namun khilaf dalam masalah ini antara hak dengan batil, dan antara harus dengan syirik. Ia bukan isu antara makruh dengan haram, atau wajib dengan sunat. Sebagai seorang Muslim yang mencintai iman dan ingin selamat di akhirat, lafaz ini sepatutnya dijauhi, bukan dijadikan amalan. Terdapatnya fatwa ulama yang membolehkan boleh ditinggalkan atas dasar taqwa, menjauhi syubhat, dan meraikan khilaf. 

Jika dikatakan, kalau begitu kenapa kita tidak mengelak mengatakan Allah di langit, di atas arasy, dan sebagainya, bukankah ulama juga berkhilaf, dan khilaf dalam masalah itu antara tajsīm dengan tanzīh? Jawabnya, masalahnya adakah ayat al-Quran dan hadis yang menyuruh kita beristighāthah dengan Nabi SAW atau mengucapkan ‘aghith-nā yā Rasūla Allah’? Tidak ada, bahkan banyak ayat al-Quran dan hadis yang melarang kita berdoa kepada makhluk (walaupun ditakwil oleh golongan yang mengharuskan). 

Adapun tentang sifat ‘uluww, ulama menghimpunkan ratusan dalil daripada al-Quran dan sunnah – tidak semata-mata kata-kata dan hikayat ulama dan orang-orang soleh – yang mengisbatkannya. Dengan kata mudah, khilaf tentang ayniyyah Allah antara wajib (ithbāt) dengan haram (tajsīm), atau antara wajib (tanzīh) dengan haram (ta‘ṭīl), bukan antara harus – atau mungkin mustaḥabb – dengan haram seperti dalam masalah istighāthah. 

Ingat pesan Nabi SAW, “sesiapa yang menghindari syubhat, maka ia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya.” 

Wallahualam.



[Gerakan PENA Malaysia]




Comments