Marah Kerana Solat

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman

# Tanda hati sihat atau sakit 

Antara tanda kedudukan hati sihat atau sakit dapat dilihat berdasarkan reaksinya terhadap solat. 

Sekiranya ketibaan waktu solat menjadikannya ceria dan gembira manakala ketika mengerjakannya dia merasa tenang dan khusyuk maka ia tanda hati sihat. 

Berbeza pula sekiranya ketibaan waktu solat menjadikannya rasa resah gelisah dan marah jika diajak atau dikejutkan daripada tidur untuk solat manakala ketika solat dia merasa tidak tenteram, fikiran melayang memikirkan hal-hal dunia dan tidak sabar-sabar untuk selesai solat maka ia tanda hati sakit. 

Sedangkan Allah ﷻ berfirman: 

أَلَا بِذِكۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَئِنُّ ٱلۡقُلُوبُ .

"Ketahuilah dengan mengingati Allah hati merasa tenang tenteram.”

[Surah ar-Ra’ad; 13:28]

Hati perlu merasa tenteram dengan solat dan ketika solat. Jika tidak maka ia tanda hati bermasalah. 

Ini kerana hati yang merasa tidak tenteram atau malas untuk mengerjakan solat maka hal sedemikian sinonim dengan orang munafik sebagaimana dalam firman Allah ﷻ:

إِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ يُخَٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَهُوَ خَٰدِعُهُمۡ وَإِذَا قَامُوٓاْ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ قَامُواْ كُسَالَىٰ يُرَآءُونَ ٱلنَّاسَ وَلَا يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ إِلَّا قَلِيلٗا.  

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap Allah dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka. Mereka apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka (sekadar) riak memperlihatkan solat mereka kepada manusia sedangkan mereka tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali.”

[Surah an-Nisaa’; 4:142]

Maklum bahawa orang munafik hatinya memang bermasalah kerana ia dipenuhi dengan shubhah keraguan dan rasa cinta dunia di samping benci kepada solat dan kufur dengan akhirat.  


[Gerakan PENA Malaysia]



Comments