Teori Konspirasi? Bagaimana Asatizah?

 OLEH: Ustaz Huzaifah Hadis

Saya teringat dlm sebahagian posting group teori konspirasi, dengan penuh beraninya menyatakan bahawa para asatizah dan para ulama yang ada di dunia ini terpengaruh dengan agenda Yahudi dan Dajjal kerana menutup masjid.

Kini saya tertanya-tanya adakah para asatizah, golongan institusi agama dan para agamawan ini sudah tidak terpengaruh dengan agenda Dajjal dan Yahudi kerana masjid sudah dibuka dengan kapasiti yang besar?

Ataupun ianya hanyalah fitnah yang direka semata bagi memburukkan dan menghina para ulama yang ada?

Bagaimanakah sekiranya seorang daripada ribuan para ulama ini merupakan wali Allah yang mana doanya mustajab?

Adakah mereka ini tidak takut akan doa daripada orang yang difitnah apatah lagi yang difitnah itu merupakan kelompok para ulama yang mengorbankan masa mereka seluruh hidupnya kepada Allah?

Itu jikalau seorang, bagaimana kalau lebih 40 orang dikalangan para wali Allah ini berdoa atas sebab lontaran fitnah yang dilakukan oleh golongan ini.

Jikalau Saad bin Abi Waqas berdoa kepada pemfitnah, hinggakan pemfitnah tersebut dikatakan berkata " aku telah ditimpa doa Saad".

Bagaimana pula yang difitnah melibatkan satu institusi agama seluruh dunia yang tidak tahu berapa juta agamawan yang difitnah?

Adakah mereka "berani" berhadapan doa-doa daripada para agamawan yang difitnah ini?

Ingat ya, taubat mereka bukan sekadar meminta ampun kepada Allah semata tetapi perlu meminta maaf kepada semua para agamawan yang difitnah, barulah taubat mereka boleh diterima.

Ini kerana syarat taubat berkaitan hak sesama manusia ialah mesti mengembalikan haknya atau memulangkan haknya semula.

Jikalau tidak, akhirat jualah tempat balasannya.

Ia berbeza jikalau kita hanya mengkritik dengan penuh ilmiah pandangan para ulama yang kita tidak setuju dengan penuh adab dan tertib sepertimana kaedah tradisi para ulama zaman berzaman. 

Ini kerana para ulama secara individu tidaklah maksum. Tetapi bila mana melibatkan satu institusi yang begitu besar, maka tidak mungkin mereka boleh diam dan mengingkari kebenaran secara menyeluruh dan bersatu!

Fikir-fikirkanlah sebelum membuat tuduhan palsu apatah lagi kepada para ulama yang mengabdikan seluruh hidupnya kepada agama Allah.

Mungkin boleh lepas di dunia tetapi adakah boleh "lepas" di akhirat sana?

P/s: Persoalannya apakah dosa para ulama ini terhadap mereka hinggakan mereka difitnah sedemikian rupa?

[Gerakan PENA Malaysia]


Comments