Tidak Mengangkat Tangan Ketika Doa Khutbah Jumaat

 OLEH: Abu Aqif

Tidak perlu mengangkat tangan ketika doa khutbah Jumaat. Jemaah cukup sekadar mengaminkan doa khatib.


Khatib pula disunnahkan hanya mengangkat jari ketika berdoa. Dalilnya;


عَنْ حُصَيْنٍ عَنْ عُمَارَةَ بْنِ رُؤَيْبَةَ قَالَ رَأَى بِشْرَ بْنَ مَرْوَانَ عَلَى الْمِنْبَرِ رَافِعًا يَدَيْهِ فَقَالَ قَبَّحَ اللَّهُ هَاتَيْنِ الْيَدَيْنِ لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- مَا يَزِيدُ عَلَى أَنْ يَقُولَ بِيَدِهِ هَكَذَا. وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ الْمُسَبِّحَةِ.

Dari Hushain (bin Abdirrahman) dari Umaarah bin Ruaibah dia berkata bahawa dia melihat Bisyr bin Marwan di atas mimbar dengan mengangkat kedua tangannya ketika berdoa (pada hari Jumaat).


Maka Umaarah pun berkata:

"Semoga Allah memburukkan kedua tangan ini. Sungguh aku telah melihat Rasulullah ﷺ ketika berada di atas mimbar tidak menambahkan sesuatu lebih dari hal seperti ini".

Maka dia mengisyaratkan dengan jari telunjuknya.[HR. Muslim no. 874].


Dalam riwayat lain disebutkan,

مَا زَادَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى هَذَا وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ السَّبَّابَةِ

Rasulullah ﷺ tidaklah menambah lebih dari itu dan beliau berisyarat dengan jari telunjuknya." [HR. An Nasai no. 1412. Syaikh Al Albani menyatakan bahawa hadis ini sahih].


Imam Nawawi رحمه الله‎‎ berkata,

هَذَا فِيهِ أَنَّ السُّنَّة أَنْ لَا يَرْفَع الْيَد فِي الْخُطْبَة وَهُوَ قَوْل مَالِك وَأَصْحَابنَا وَغَيْرهمْ . وَحَكَى الْقَاضِي عَنْ بَعْض السَّلَف وَبَعْض الْمَالِكِيَّة إِبَاحَته لِأَنَّ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَفَعَ يَدَيْهِ فِي خُطْبَة الْجُمُعَة حِين اِسْتَسْقَى وَأَجَابَ الْأَوَّلُونَ بِأَنَّ هَذَا الرَّفْع كَانَ لِعَارِضٍ .

"Yang sesuai dengan ajaran Rasul ﷺ adalah tidak mengangkat tangan (untuk berdoa) ketika berkhutbah. Ini adalah pendapat Imam Malik, pendapat ulama bermazhab Syafie dan yang lainnya.


Namun, sebahagian salaf dan sebahagian ulama bermazhab Maliki membolehkan mengangkat tangan ketika doa khutbah Jumaat kerana Nabi ﷺ dahulu pernah mengangkat tangan ketika berdoa istisqo' (minta hujan).

Namun ulama yang melarang hal ini menyanggah bahawa Nabi ﷺ mengangkat tangan ketika itu kerana ada suatu sebab (iaitu khusus untuk doa istisqo' sahaja)." [Syarh Muslim 6: 162].


Syaikh Ibnu Baz رحمه الله‎‎;

Mengangkat tangan ketika khutbah Jumaat tidaklah disunnahkan bagi imam mahu pun bagi makmum. Kerana Rasul ﷺ tidak melakukan hal seperti ini.

Begitu juga perbuatan seperti ini tidak pernah dilakukan oleh khulafa rasyidin.

Akan tetapi jika doa tersebut untuk doa istisqo' (minta hujan) pada khutbah Jumaat, disunnahkan bagi makmum untuk mengangkat tangan. Kerana Nabi ﷺ mengangkat tangan ketika berdoa minta hujan saat khutbah Jumaat.


Allah تعال berfirman,

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu" [QS. Al Ahzab: 21].


Adapun makmum mengaminkan doa imam ketika khutbah, maka menurutku tidaklah mengapa, namun dengan tidak menguatkan suara. [Rujuk "Fatwa Islam" dari koleksi Muhammad al-Musnad, jilid 1, hlm. 427, Koleksi Fatwa dan Artikel Syeikh Ibn Baz 30/249].

[Gerakan PENA Malaysia[



Comments