Persoalan Solat Sunat Raya Di Musim Covid-19

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Hari ini kita akan menyambut hari raya puasa. Dan kerana mengekang penularan wabak, ramai antara kita yang terpaksa menunaikan solat hari raya di rumah masing-masing dan ramai yang tertanya-tanya tentang tatacara dan hukum-hakam berkaitan. Jadi, di sini saya bawakan beberapa penerangan berdasarkan mazhab Shāfi‘ī bagi menjawab empat kemusykilan ramai.

Pertama: adakah disyariatkan solat hari raya di rumah?

Ya, bukan sahaja di rumah, malah secara bersendirian pun disyariatkan. Dalam al-Umm disebutkan:

وَالْأَعْيَادُ مُخَالِفَةٌ الْجُمُعَةَ الرَّجُلُ يُصَلِّي الْعِيدَ مُنْفَرِدًا وَمُسَافِرًا...

“Dan hari-hari raya yang bukan Jumaat, seseorang bersolat hari raya bersendirian dan dalam keadaan musafir...”

Dalam Mukhtaṣar al-Muzanī pula dicatatkan:

وَيُصَلِّي الْعِيدَيْنِ الْمُنْفَرِدُ فِي بَيْتِهِ وَالْمُسَافِرُ وَالْعَبْدُ وَالْمَرْأَةُ.

“Dan orang perseorangan di rumah, musafir, hamba, dan wanita bersolat hari raya.”


Kedua: adakah perlu berkhutbah selepas solat hari raya di rumah?

Ya, tetap sunat seperti biasa sekiranya dilakukan secara berjemaah. Jika dilakukan bersendirian, maka tidak perlu. Kata al-Nawawī dalam Rawḍah al-Ṭālibīn:

وَإِذَا قُلْنَا بِالْمَذْهَبِ، فَصَلَّاهَا الْمُنْفَرِدُ، لَمْ يَخْطُبْ عَلَى الصَّحِيحِ. وَإِنْ صَلَّاهَا مُسَافِرُونَ، خَطَبَ إِمَامُهُمْ.

“Sekiranya kita mengikut pendapat al-madhhab (muktamad), maka ia dilakukan oleh orang perseorangan, ia tidak berkhutbah mengikut pendapat yang sahih. Jika orang-orang yang bermusafir melakukannya, ketua mereka berkhutbah.”

Dan keadaan kita ashhbah, lebih serupa dengan orang yang bermusafir.


Ketiga: adakah khutbah tersebut sama seperti khutbah Jumaat?

Ya, kecuali dari sudut syarat. Kata Khatib al-Sharbīnī dalam al-Iqnā‘:

(ويخطب بعدهمَا) أَي الرَّكْعَتَيْنِ (خطبتين) لجَماعَة لَا لمنفرد كخطبتي الْجُمُعَة فِي أَرْكَان وَسنَن لَا فِي شُرُوط...

“[Dan disampaikan selepasnya] yakni dua rakaat [dua khutbah] untuk jemaah dan bukan untuk orang perseorangan pada rukun dan sunat-sunat, bukan pada syarat...”

Keempat: sekiranya semua jemaah termasuk imam adalah perempuan, adakah khutbah tetap disyariatkan?

Tidak. Kata Syeikh al-Qalyūbī:

(وَيَخْطُبُ إمَامُ الْمُسَافِرِينَ) وَكَذَا غَيْرُهُمْ كَالْعَبِيدِ وَالصِّبْيَانِ. وَكَذَا النِّسَاءُ إنْ أَمَّهُنَّ ذَكَرٌ، وَلَا تَخْطُبُ إمَامَتُهُنَّ فَإِنْ وَعَظَتْهُنَّ وَاحِدَةٌ بِغَيْرِ خُطْبَةٍ فَلَا بَأْسَ.

“[Dan imam orang-orang yang bermusafir menyampaikan khutbah], dan demikian juga yang lain-lain seperti para hamba dan kanak-kanak, dan demikian juga perempuan jika mereka diimamkan lelaki. Imam perempuan tidak menyampaikan khutbah. Sekiranya salah seorang daripada mereka menyampaikan tazkirah tanpa berkhutbah, tidak mengapa.”

Wallahualam.


[Gerakan PENA Malaysia]


Comments