Lahanat Kau...

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman


# Bahaya ucapan laknat 

# Contoh perkataan laknat & mencela

Sekiranya laknat itu daripada Allah maka maksudnya dihalau dan dijauhkan daripada rahmatNya. 

Adapun laknat daripada manusia maka ia merujuk kepada celaan ke atas sesuatu perbuatan atau pelakunya serta mendoakan keburukan ke atasnya. 

Maka dikatakan “Si fulan melaknat si fulan” sekiranya dia mencela dan menghinanya. 

Seorang Muslim perlu berhati-hati dalam ucapannya terutamanya perkataan yang berbentuk laknat dan mencela.  

Ini kerana Nabi ﷺ bersabda:  

‌لَعْنُ ‌الْمُؤْمِنِ ‌كَقَتْلِهِ.

“Melaknat orang beriman seperti membunuhnya.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Sabda Nabi ﷺ: 

سِبَابُ ‌الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ، وَقِتَالُهُ كُفْرٌ.

“Mencela sesama Muslim adalah kefasikan manakala membunuhnya adalah kekufuran.

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Dalam sebuah hadis Nabi ﷺ menjelaskan: 

“Sesungguhnya jika seseorang itu melaknat sesuatu maka laknatnya akan naik ke langit. Kemudian pintu-pintu langit akan tertutup buatnya lalu kembalilah ia menjunam ke bumi. Akan tetapi pintu-pintu bumi akan tertututp buatnya lalu ia beralih ke kanan dan ke kiri, dan sekiranya ia tidak menemui jalan keluar maka ia akan menuju kepada orang yang dilaknat itu sekiranya dia layak. Jika tidak maka ia akan kembali kepada orang yang melaknat itu.” 

[Hasan. Riwayat Abu Daud]

Tidak kurang mereka yang mudah mengungkapkan perkataan-perkataan berbaur laknat dan celaan sedangkan hal ini sangat tidak wajar, lebih-lebih lagi ucapan antara suami isteri, anak-anak dan rakan taulan. 

Malah celaan kepada objek yang tidak bernyawa pun boleh mengundang bahaya seperti jika seseorang itu memaki hamun kenderaannya, peralatannya atau apa sahaja objek. 

Ini kerana Nabi ﷺ bersabda: 

لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ وَلَا تَدْعُوا عَلَى أَوْلَادِكُمْ وَلَا تَدْعُوا عَلَى أَمْوَالِكُمْ لَا تُوَافِقُوا مِنْ اللَّهِ سَاعَةً يُسْأَلُ فِيهَا عَطَاءٌ فَيَسْتَجِيبُ لَكُمْ.

“Janganlah kamu mendoakan kecelakaan atas diri kamu, anak-anak kamu ataupun harta-harta kamu. Dikhuatiri ia menepati waktu mustajabnya doa lalu diperkenankan buat kamu.” 

[Sahih. Riwayat Muslim]

Sedar atau tidak ucapan seseorang itu boleh menjadi doa yang diaminkan oleh para malaikat. Sedangkan doa para malaikat adalah mustajab. 

Sabda Nabi ﷺ: 

 لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِلَّا بِخَيْرٍ فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ.

“Janganlah kamu mendoakan untuk diri kalian kecuali apa yang baik kerana sesungguhnya malaikat mengaminkan apa yang kamu ucapkan.” 

[Sahih. Riwayat Muslim]

Pernah Nabi ﷺ mendengar seorang wanita Ansar melaknat untanya lalu baginda ﷺ memerintahkan supaya unta itu ditinggalkan kerana ia telah dilaknat. Kesudahnnya unta itu dibiarkan mundar-mandir tanpa ada sesiapa yang mahu mendekati unta tersebut. 

[Sahih. Riwayat Muslim]

Berikut sebahagian daripada ucapan-ucapan laknat dan celaan yang sewajarnya dielakkan.

1.  “Celaka betullah...” 

2.  “Siallah...”

3.  “Lahanat...”

4.  “Tak guna kau!”

5.  “Jahanam!”

6.  “Bodoh kau...”

7.  “Babi / anjing...”

8.  “Bangsat...”

9.  “Anak haram...” 

(boleh dihukum qazaf)

10. dan lain-lain.



CATATAN: 

Ada yang tanpa sedar mendoakan kecelakaan ke atas pasangan atau anak sendiri. 


[Gerakan PENA Malaysia]

Comments