Pekerjaan Terbaik

 OLEH: Abu Aqif


1. Apakah pekerjaan terbaik bagi seorang Muslim? Adakah berniaga lebih utama? Atau adakah pekerjaan yang memberikan gaji yang lumayan?


2. Rasulullah ﷺ  pernah ditanya,

أَىُّ الْكَسْبِ أَطْيَبُ قَالَ عَمَلُ الرَّجُلِ بِيَدِهِ وَكُلُّ بَيْعٍ مَبْرُورٍ

"Wahai Rasulullah, mata pencarian (kasb) apakah yang paling baik (thoyyib)?"

Baginda bersabda, "Pekerjaan seorang lelaki dengan tangannya sendiri dan setiap jual beli yang mabrur (diberkahi)." [HR. Ahmad 4: 141, hasan lighoirihi].



Pekerjaan Yang Thoyyib


3. Kasb yang dimaksudkan di dalam hadis di atas adalah usaha atau pekerjaan mencari rezeki.

4. Asy Syaibani mengatakan bahawa kasb adalah mencari harta dengan menempuh sebab yang halal. Sedangkan kasb thoyyib pula maksudnya adalah usaha yang barakah atau halal. Maka, pertanyaan dalam hadis di atas boleh juga dimaksudkan dengan "manakah pekerjaan yang paling diberkahi?".

5. Di sini kita dapat mengambil pengajaran penting bahawa para sahabat tidak bertanya apakah pekerjaan yang paling banyak beri pulangan. Namun yang mereka tanyakan adalah apakah pekerjaan yang paling thoyyib (diberkahi). Sehingga di sini kita dapat tahu bahawa tujuan dalam mencari rezeki adalah mencari yang paling barakah, bukan mencari manakah yang menghasilkan paling banyak pulangan. Kerana penghasilan yang banyak belum tentu barakah. Demikian penjelasan dari Syaikh Abdullah bin Soleh Al Fauzan dalam Minhatul 'Allam, 6:10.


Pekerjaan Dengan Tangan Sendiri

6. Ada dua mata pencarian yang dikatakan paling diberkahi dalam hadis di atas. Yang pertama adalah pekerjaan dengan tangan sendiri. Hal ini dikuatkan juga dalam hadis yang lain,


مَا أَكَلَ أَحَدٌ طَعَامًا قَطُّ خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ ، وَإِنَّ نَبِىَّ اللَّهِ دَاوُدَ – عَلَيْهِ السَّلاَمُ – كَانَ يَأْكُلُ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ

"Tidaklah seseorang memakan suatu makanan yang lebih baik dari makanan yang dia makan dari hasil kerja keras tangannya sendiri, kerana Nabi Daud عليه السلام dahulu juga bekerja dengan hasil kerja keras tangannya." [HR. Bukhari no. 2072]. 


7. Bahkan sebagaimana disebutkan dalam hadis ini, mencari kerja dengan tangan sendiri sudah dicontohkan oleh para nabi seperti Nabi Daud عليه السلام.

8. Contoh pekerjaan dengan tangan adalah bercucuk tanam, kraftangan, ukir kayu, menukang besi, dan juga menulis. Demikian disebutkan dalam Minhatul 'Allam karya Syaikh Abdullah bin Soleh Al Fauzan, 6:9.


Jual Beli Yang Mabrur

9. Mata pencarian kedua yang terbaik adalah jual beli yang mabrur. Kata Syaikh Abdullah Al Fauzan, jual beli yang mabrur adalah jual beli yang memenuhi syarat dan rukun jual beli, bebas dari jual beli yang bermasalah, dibangunkan di atas kejujuran, serta menghindarkan diri dari penipuan dan pengelabuan. Lihat Minhatul 'Allam Syarh Bulughil Maram, 6:9.


Apakah Jual Beli Mabrur?

10. Sebagaimana dijelaskan di atas, jual beli mabrur adalah jika memenuhi syarat dan rukun jual beli seperti:

• Redha antara penjual dan pembeli.

• Barang yang dijual mubah manfaatnya (bukan barang haram).

• Wang dan barang boleh diserah dan terima.

• Tidak ada gharar (ketidakjelasan).


11. Adapun jual beli yang bermasalah adalah:

• Jual beli yang mengandungi gharar seperti jual beli dengan sistem ijon.

• Jual beli yang mengandungi riba.

• Jual beli yang mengandungi dhorar (bahaya) pada pihak lain seperti menyorokkan barang.

• Jual beli yang mengandungi pengelabuan.

• Jual beli yang terlarang yang lain pula seperti jual beli pada waktu larangan pada hari Jumaat, jual beli di dalam masjid dan jual beli barang yang digunakan untuk tujuan haram.


12. Untuk mendapatkan jual beli yang mabrur mestilah meninggalkan jual beli yang bermasalah ini.


Kredit: rumaysho.com



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments