Maksud Islam Akan Kembali Asing

 OLEH: Zulfikar Egar


Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Islam bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Kemudian ia akan kembali menjadi seperti permulaannya, dianggap ganjil dan asing semula. Namun berikanlah khabar gembira kepada ghuraba’ iaitu orang-orang yang asing ini” 

[Riwayat ibn Asaakir dan dinilaikan Sahih oleh al-Albani]

Baginda ditanya, “siapakah orang-orang yang asing itu?”

Baginda menjawab, “iaitulah mereka yang berusaha memperbaiki manusia ketika golongan ramai sudah menjadi rosak”

.

Baik apa yang dimaksudkan dengan menjadi orang asing seperti hadis di atas?

Contoh:

1. Ketika orang ramai selesa dengan makan apa sahaja yang ada di depan mata, tanpa perlu mengambil kira halal haramnya sesuatu makanan itu. 

Kita pula memilih untuk bersusah payah mencari yang halal di celah-celah syubhat dan haram yang berleluasa, lalu silap kita ini dianggap berlebih-lebihan dan ekstrim kerana pilihan tersebut.

2. Tatkala orang ramai semakin menerima cara hidup barat yang membelakangkan agama, seperti mendedahkan aurat, bergelumang dengan maksiat, hingga cara hidup sedemikian dikaitkan sebagai aras tanda mengukur kemodenan diri. 

Tiba-tiba kita memilih untuk membungkus tubuh dengan pakaian yang menyembunyikan anggota yang bersangkutan dengan harga diri, menutup aurat dengan sempurna. Lantas kita dicemuh Dan diperlekeh kerana memilih untuk tidak berfesyen seperti manusia yang ramai pada hari ini.

3. Ketika kawan-kawan memilih untuk terus bermain atau bekerja hingga mentari sudah sirna menuju malam. Lantas kita memilih berhenti seketika untuk bersolat. 

Atau dikala orang lain tidur nyenyak hingga terbitnya fajar. Kita memilih untuk bangun mengerjakan solat Subuh. Lalu perbuatan kita itu dipandang asing oleh rakan-rakan lain.

4. Kononnya memakan riba dan menerima rasuah sudah menjadi amalan kebiasaan dalam urusan perniagaan, mahupun proses untuk mendapatkan tender atau kontrak. 

Tapi kita memilih untuk tidak mahu terlibat dan menerima semua itu kerana yakin dengan kebenaran ajaran Allah Subhana Wa Ta'ala.

Lantas kita berasa terasing, dipulaukan, disinis bahkan disindir kerana tidak ikut kebiasaan ramai.

Jadi, itulah asing atau ghuraba seperti yang disebutkan dalam hadis itu.

Yakni menjadi sekumpulan manusia asing di tengah-tengah masyarakat. Seperti datangnya Islam ditengah-tengah masyarakat Arab Jahiliyyah pada 1400 tahun yang lalu.

Kenapa dikatakan ganjil?

Kerana ketika manusia sudah selesa dengan kerosakan dan sudah sebati menerimanya sebagai satu cara hidup. Tiba-tiba datang sekelompok "ganjil" ini menyeru kepada sebaliknya. Mereka mengajak kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran.

Lalu akhirnya dianggap aneh dan ganjil pada pada pandangan mata masyarakat sekeliling.

Justeru itu, andai kita pernah berasa asing, ganjil, pelik hingga ke tahap ditertawakan, dipandang sinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti dinyatakan.

Ketahuilah sesungguhnya itulah khabar gembira seperti yang dinyatakan oleh baginda Nabi.

Maka terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wa sallam itu dengan hati yang terbuka.

Wallahualam.


[Gerakan PENA Malaysia]



Comments