Menyambut Maulid, Jangan Putar Belitkan Hadis!!

 OLEH: Ustaz Huzaifah Hadis

Jikalau ingin meraikan maulid rasul sekalipun, janganlah memutar belit Nas dan dalil. Memang tiada dalil tentang sambutan Maulidur Rasul sebabnya tiada riwayat daripada hadith, sahabat mahupun zaman salaf tentang sambutan ini. 

Cuma lebih mengecewakan bila ingin juga dilihat ikut dalil dan nas, dibawakan hadith puasa sunat hari Isnin. Puasa sunat hari Isnin itu memang dalil bahawa Rasulullah mensyukuri pada hari kelahirannya. Bukan dalil Rasulullah menyuruh berpuasa pada hari Maulidur Rasul.

Allahul mustaan.

Tidak cukup lagi dengan pengisian program Maulidur Rasul yang ada dengan pengajian ilmu, ceramah dan tazkirah. Rasanya cukuplah sekadar itu tidak perlu ditambah-tambah dengan puasa, ibadah-ibadah lain yang tiada asalnya. 

Lebih afdhal sambutan terhadap sunnah ini dilakukan sepanjang tahun dengan program-program sunnah seperti memperbanyakkan kuliah-kuliah mega berkenaan hadith-hadith dan sirah-sirah nabi sepanjang tahun dengan syarat penyampaian tersebut bersumber daripada fakta sejarah yang terdapat daripada buku-buku sirah bukan dongengan penglipurlara.

 Barulah masyarakat lebih memahami sunnah Rasulullah yang sebenar. 

Tidak cukup sebenarnya hanya sehari atau satu ceramah sahaja untuk mengingati Rasulullah. Untuk mengenali artis semasa pun, follower dan media mempopularkan sepanjang masa, maka bagaimana pula sambutan Rasulullah hanya boleh difahami dalam masa sehari sahaja?

Fikir-fikirkanlah...


P/s: Hakikatnya hadith riwayat Muslim dibawah adalah dalil berkenaan puasa sunat Isnin bukan puasa Maulidur Rasul.

Allahul mustaan.

Terkejut tengok ianya dijadikan dalil dalam khutbah rasmi.


[Gerakan PENA Malaysia]

Comments