Percanggahan Tarikh Kelahiran Nabi ﷺ

 OLEH: Abu Aqif


Kuliah Imam 2 Masjid Al-Muhaimin, Bemban, Melaka yang membahaskan Surah Al-Fil (Gajah) semalam ada menyebutkan sedikit fakta tentang percanggahan tarikh kelahiran Nabi Muhammad ﷺ.

Ringkasnya begini, ada yang mengatakan bahawa baginda lahir pada 2 Rabiul Awal, ada juga yang mengatakan 8 Rabiul Awal, ada yang mendakwa pada 10 Rabiul Awal, atau 12 Rabiul Awal, atau 17 Rabiul Awal.

Namun semua pendapat ini tidak berdasarkan hadis yang sahih.

Dalam hadis Jabir dan Ibnu Abbas رضي الله عنهما ada menyatakan bahawa tarikh kelahiran Nabi ﷺ adalah pada 12 Rabiul Awal, tetapi ianya juga tidak sahih.

Jika sahih, tentu ia akan menjadi hakim (pemutus perkara) dalam masalah ini.

Ibnu Katsir رحمه الله‎‎ berkata tentang hadis tersebut bahawa sanadnya terputus. [Rujuk al-Bidayah wan Nihayah karya Ibnu Rajab hlm. 184-185].

Ekoran dari percanggahan fakta tentang tarikh kelahiran Nabi tersebut, pakar dari kalangan ahli-ahli falak tampil memberikan pendapat dengan bukti-bukti dari kiraan-kiraan yang lebih tepat.

Ramai ahli falak seperti Syaikh Mahmud Basya al-Falaki, Syaikh Muhammad Sulaiman al-Manshur Fauri (sebagaimana dinukil oleh Sofiyurrohman al-Mubarokfuri dalam ar-Rahiqul Makhtum hlm. 62), dan Syaikh Abdullah bin Ibrahim bin muhammad as-Sulaim, berpendapat bahawa hari kelahiran baginda adalah pada tarikh 9 Rabiul Awal, mereka mengatakan,

"Dalam kitab-kitab sejarah dan sirah dikatakan bahawa Nabi ﷺ lahir pada hari Isnin tanggal 10, atau 8, atau 12 dan ini yang dipilih oleh majoriti ulama.

Telah tetap tanpa keraguan bahawa kelahiran baginda adalah pada 20 April 571 M (tahun Gajah), sebagaimana telah tetap juga bahawa baginda wafat pada 13 Rabiul Awal 11 H yang bertepatan dengan 6 Jun 632 M.

Selagi tarikh-tarikh ini telah diketahui, maka dengan mudah dapat diketahui hari kelahiran dan hari wafatnya dengan jitu, demikian juga usia Nabi ﷺ.

Dengan mengubah tahun-tahun ini pada kiraan hari, akan ditemui 22,330 hari dan apabila diubah ke tahun qamariyyah akan diketahui bahawa umur baginda adalah lebih kurang 63 dan lebih 3 hari.

Dengan demikian, hari kelahiran baginda adalah hari Isnin, 9 Rabiul Awal tahun 53 sebelum hijriah, bertepatan dengan 20 April 571 M. [Rujuk Taqwimul Azman hlm. 143, cetakan pertama 1404 H].

Jika anda belajar matematik, anda tentu faham bahawa angka jika dikira dengan betul ia tidak akan menipu dan akan memberikan jawapan dan fakta yang tepat.

Jadi tarikh kelahiran Nabi yang lebih tepat adalah pada 9 Rabiul Awal, bukan 12 Rabiul Awal. الله أعلم.


Larangan Melancong Ke Tempat Yang Pernah Diturunkan Bala

Gambar menunjukkan lokasi Wadi (lembah) Muhassir di mana tentera bergajah Abrahah dibinasakan oleh Allah. Kelahiran Nabi ﷺ sering dikaitkan dengan peristiwa ini kerana baginda dilahirkan tidak lama selepas itu yang mana tahun itu juga dinamakan sebagai Tahun Gajah.

Jika boleh, elakkan. Tetapi jika tidak dapat dielakkan dan terpaksa juga melalui Wadi Muhassir ini, kita disunnahkan untuk mempercepatkan perjalanan.

Nabi ﷺ pernah menuju ke Tabuk pada tahun ke-9 hijrah. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ ketika berada di Hijr (daerah kaum Thamud), baginda bersabda,


لا تدخلوا على هؤلاء القوم المعذبين إلا أن تكونوا باكين فإن لم تكونوا باكين فلا تدخلوا عليهم أن يصيبكم مثل ما أصابهم

"Janganlah kalian masuk ke tempat orang-orang yang diseksa itu kecuali jika kalian dalam keadaan menangis. Jika tidak dapat menangis, maka janganlah kalian memasukinya, dikhuatiri kalian tertimpa seperti apa yang telah menimpa mereka." [HR. Bukhari no. 3200, Muslim no. 2980 dan Ahmad].


Diriwayatkan bahawa baginda menutup kepala dan mengarahkan kenderaannya bergerak laju sehinggalah dapat meninggalkan kawasan tersebut.


Imam Ibn Qayyim رحمه الله‎‎ menyebut,

"Barangsiapa yang melalui kawasan kaum yang pernah dimurkai oleh Allah سبحان و تعالىٰ atau pernah terkena azab-Nya maka hendaklah dia tidak memasuki atau menginap di situ sebaliknya perlu segera beredar dan menjauhkan diri serta menutup kepala dengan pakaiannya sehingga dia meninggalkan kawasan tersebut.

Dia juga sepatutnya tidak memasuki kawasan seperti itu kecuali dalam keadaan menangis kerana mengambil pengajaran. Bahkan Rasulullah ﷺ pernah menunjukkan contoh dan sunnah kepada kita apabila melalui Wadi (lembah) Muhassir sebuah kawasan di antara Mina dan Mudzalifah kerana di situ pernah berlaku pemusnahan pasukan tentera bergajah. [Lihat Kitab Zaad al-Ma'aad 3/560].

Al-Hafiz Imam Ibn Hajar رحمه الله‎‎ juga turut mengutarakan pendapat bahawa hukum perbuatan Nabi ﷺ tersebut turut berlaku kepada semua tempat dan kawasan yang ditimpa bala dan azab serta tidak hanya kepada kaum Thamud sekalipun hujah yang diberikan adalah berkenaan mereka. [Lihat Fathul Bari 6/380].

Jadi, janganlah melancong dan menjadikan tempat-tempat seperti ini sebagai hentian untuk berselfie. Takut nanti ada sisa-sisa bala yang tertimpa kepada pengunjung.

Kredit:

1. Ustaz Mohd Rizuan Abd Rasip 

2. muslim.or.id

\

[Gerakan PENA Malaysia]


Comments