Sunnah Menyambut Kelahiran Bayi

 OLEH: Abu Aqif


Menerima 2 ahli keluarga baharu, kembar lelaki. Rupanya belah aku pun ada dna twin. Ingatkan sebelah isteri je. Cuma belum ada rezki dpt kembar. Tp mana la tau akan datangkan..


Tahniah Yuslan Yusof dan Siti Hawa Abdollah. 


ُ‎اَللّٰهُمَّ أَكِْثرْ مَالَهُ وَوَلَدَهُ ، وَبَارِكْ لَهُ فِيْمَا أَعْطَيْتَه 

"Allaahumma akthir maalahu wa waladah, wa baarik lahuu fiimaa a'taitah"

"Ya Allah perbanyakkanlah hartanya dan anaknya serta berkatilah untuknya apa yang Engkau berikan kepadanya." [Hr al-Bukhari, No. 6378 dan Muslim, No. 660]


Cubalah amalkan sunnah-sunnah ini, ikut kemampuan.


Sunnah menyambut kelahiran bayi:

1. Tahnik sejurus selepas lahir
2. Doa kebaikan buat bayi
3. Menyegerakan menamakan bayi
4. Aqiqah pada hari ke-7
5. Cukur botak pada hari ke-7
6. Bersedekah mengikut berat rambut bayi
7. Khitan pada hari ke-7 atau selewat-lewatnya ketika baligh
8. Menyusukan bayi 2 tahun penuh
9. Ayah wajib memelihara ibu dan bayi mengikut kadar kemampuan
10. Azan kepada bayi hadis tidak sahih. Tidak perlu lakukan


1. Tahnik

Tahnik bermaksud melenyekkan kurma hingga hancur, menyuapkan ke mulut bayi dan menyapu kurma tersebut (yang telah hancur tadi) ke seluruh mulut si bayi. Ia dilakukan dengan memasukkan sedikit kurma yang telah hancur dikunyah ke mulut bayi, kemudian menggerak-gerakkannya ke kanan dan kiri dengan lemah lembut. Ia dilakukan sehinggalah mulut bayi tersebut dapat mengecapi/memakan/menghisap kurma yang dimamah tadi dengan sebaiknya.

Dari Abu Musa radhiyallahu anhu, katanya: "Telah dilahirkan untukku seorang bayi lelaki lalu aku membawanya kepada Nabi ﷺ, dan baginda menamakannya Ibrahim lalu ditahnikkannya dengan sebiji buah kurma. Beliau mendoakan keberkatan dan kemudiannya memulangkannya kembali kepadaku." [HR. Bukhari no. 376].

Berdasarkan pembuktian saintifik, gula yang merupakan binaan dari glucosa terutamanya gula dari buah-buahan seperti kurma merupakan gula teringkas yang mudah dicernakan dan pemberi tenaga segera kepada tubuh badan sekaligus membantu menentukan kandungan gula dalam darah. Gula juga memainkan peranan dalam kadar metabolisma dalam badan yang mana berupaya memberikan kesan peningkatan suhu badan pada kadar tertentu.


2. Doa Keberkatan Buat Bayi

Dari Abu Musa رضي الله عنه, katanya: "Telah dilahirkan untukku seorang bayi lelaki lalu aku membawanya kepada Nabi sallallahu alaihi wassalam, dan baginda menamakannya Ibrahim lalu ditahnikkannya dengan sebiji buah kurma. Beliau mendoakan keberkatan dan kemudiannya memulangkannya kembali kepadaku." [HR. Bukhari no. 376]

Doa Nabi ﷺ meminta perlindungan untuk Hasan dan Husain (cucu baginda),

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ

"'Audzu bi kalimaatillahit taammati min kulli syaithonin wa haammatin wa min kulli 'ainin laammatin

(aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang telah sempurna dari godaan syaitan, binatang beracun dan dari pengaruh 'ain yang buruk)." [HR. Bukhari no. 3371]

Nabi katakan bahawa dulu bapa kalian berdua iaitu Nabi Ismail dan Ishaq meminta perlindungan pada Allah dengan doa tersebut.


3. Aqiqah

Dari satu hadis, Rasulullah ﷺ bersabda:

"Sesuatu yang perlu mengiringi bayi yang lahir itu adalah aqiqah. Oleh itu, sembelihlah untuk tujuan aqiqah itu dan singkirkanlah darinya bahaya." [HR. Bukhari  no. 380].

Dalam hadis yang lain,

"Setiap anak (yang lahir) dipelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke tujuh, lalu diberi nama dan dicukur rambutnya." [HR. Tirmidzi disahihkan oleh al-Albani no. 4184].


Hukum Aqiqah

Hukum aqiqah, menurut Syaikh Dahlawi رحمه الله‌‎, "Disunnahkan bagi orang yang memiliki atau mampu membeli dua ekor kambing agar menyembelih dua ekor untuk anak- lelaki." [Hujjatullah al-Baalighah, 2/144].

Menurut Imam Ahmad bin Hanbal رحمه الله‌‎, "Sesungguhnya aqiqah itu menghidupkan sunnah dan aku berharap agar Allah memberi ganjaran yang setimpal." [Rujuk: Kitab Tuhfat al-Maulud, m/s. 39].

Menurut Imam Malik, "Persoalan aqiqah menurut pandangan kami adalah bahawa orang yang menyembelih aqiqah. Ia boleh melakukan aqiqah untuk anaknya dengan kambing, sama ada kambing jantan mahupun betina. Aqiqah itu bukanlah wajib, akan tetapi mustahab (disukai/sunnah) dan ia sentiasa diamalkan oleh orang-orang dari kalangan kita." [al-Muwattha’, Kitab Aqiqah (26), no. 7].



Haiwan Sembelihan

i - Aqiqah itu dilakukan untuk anak lelaki adalah dengan dua ekor kambing dan bagi anak perempuan adalah dengan seekor kambing. Dan jantina haiwan itu tidak mengapa sama ada jantan ataupun betina.

Imam Ahmad meriwayatkan dari Asma’ binti Yazid secara marfu', "Aqiqah adalah hak yang mesti ditunaikan. Untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sepadan, dan untuk anak perempuan satu ekor kambing." [Disahihkan oleh al-Albani, lihat: Shahihul Jami’, no. 4106 dan 4107].

Dari Aisyah رضي الله عنها, Rasulullah ﷺ bersabda, "Aqiqah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing, dan untuk anak perempuan adalah satu ekor kambing." [Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 1565. Ibnu Majah, no. 3163. Disahihkan oleh al-Albani].

Menurut Imam Malik, "Persoalan aqiqah menurut pandangan kami adalah bahawa orang yang menyembelih aqiqah. Ia boleh melakukan aqiqah untuk anaknya dengan kambing, sama ada kambing jantan mahupun betina..." [al-Muwattha’, Kitab Aqiqah (26), no. 7].

ii - Haiwan mestilah sihat, sempurna, dan tidak cacat.

Menurut Imam Malik, "Mereka yang melaksanakan aqiqah untuk anaknya, sama hal nya dengan melaksanakan ibadah korban. Binatang yang disembelih tidak boleh buta sebelah matanya, tidak boleh kurus, cacat, atau sakit. Juga tidak boleh dijual dagingnya mahupun kulitnya dan tidak boleh dipatahkan tulangnya. Keluarga yang melakukan aqiqah boleh makan dagingnya dan menyedekahkannya kepada orang lain. Namun, si anak tidak boleh menyentuh darahnya." [al-Muwattha’, Kitab Aqiqah (26), no. 7].


4. Memberi Nama Yang Baik

Disunnahkan memberi nama pada hari aqiqah dilaksanakan atau ketika rambut dicukur, sebagaimana hadis "...lalu diberi nama dan dicukur rambutnya" iaitu dengan memberikan kepadanya nama yang baik. Ini dapat dilihat dalam beberapa hadis antaranya,

Dari Abu Wahb al-Jusyami r.a., bahawa Nabi ﷺ bersabda, "Namakanlah (anak-anakmu) dengan nama-nama para nabi. Sedangkan nama yang paling disukai oleh Allah adalah Abdullah dan Abdurrahman, dan nama yang paling benar adalah Harits dan Hammam, sedangkan nama yang paling buruk adalah Harb dan Murrah." [Hadis Riwayat Abu Daud dan an-Nasa’i. Sanad Hadis ini majhul, namun dapat dikuatkan dengan beberapa hadis-hadis yang lain. Lihat: Jami’ al-Ushul, 1/357, Tahqiq Syu’aib al-Arnauth].

Dari Abu Basrah, Nabi ﷺ bersabda, "Sebaik-baik nama kamu adalah Abdullah dan Abdurrahman serta Harits." [Hadis Riwayat ath-Thabrani. Lihat: Shahihul Jami’, no. 3269].

Haram memberi nama yang buruk kepada anak juga haram memberi nama khusus umtuk Allah kepada makhluk. Nama atau panggilan untuk anak memberi kesan besar kepada dirinya.


5. Mencukur Keseluruhan Rambut

"Setiap anak (yang lahir) dipelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke tujuh, lalu diberi nama dan dicukur rambutnya." [Hadis Riwayat Tirmidzi. Disahihkan oleh al-Albani. Lihat: Sahihul Jami’ oleh al-Albani, no. 4184].

Selain melaksanakan aqiqah, disunnahkan untuk mencukur keseluruhan rambut si anak sebagaimana hadis di atas.

Kemudiannya, rambut yang telah dicukur, disunnahkan juga untuk menimbangnya dan kemudian mengeluarkan sedekah berdasarkan kiraan berat rambut yang ditimbang dengan beberapa keping perak. Iaitu menukarkan berat rambut dengan berat perak.

Imam Malik meriwayatkan, bahawa "Fatimah, anak Rasulullah ﷺ menimbang rambut Hasan, Hussein, Zainab, dan Ummi Kaltsum dan mengeluarkan sedekah mengikut kiraan berat rambut yang ditimbang dengan (nilai) perak." [al-Muwattha’, Kitab Aqiqah (26), no. 2].


6. Bersedekah Mengikut Berat Rambut Bayi

Bahawa Nabi ﷺ mengakikahkan Hasan dengan kambing, dan beliau menyuruh Fatimah;

'Cukur rambutnya, dan bersedekahlah dengan perak seberat rambut itu.'

Fatimah pun menimbang rambut itu, dan ternyata beratnya sekitar satu dirham atau kurang dari satu dirham. [HR. Tirmidzi 1519, Ibnu Abi Syaibah dalam Mushanaf 24234, disahihkan al-Hakim dalam Mustadrak 7589 dan didiamkan azd-Dzahabi].

Cara bersedekah: Timbang rambut bayi. Jika tiada timbang boleh pergi ke mana-mana kedai menjual emas untuk menimbang dan mengupah mereka untuk menimbang rambut bayi. Atau jika tidak boleh juga, boleh diagakkan berapa beratnya. Berat tadi dikira kepada harga semasa perak dan jumlahnya disedekahkah kepada orang miskin disekitar. Boleh ditambah sedekahnya atau digenapkan.


7. Mengkhatankan Anak

Al 'Allamah Al Mawardi sebagaimana disebutkan di dalam kitab Fathul Bari (10/342) berkata:

Dalam hal khitan ada 2 waktu; iaitu waktu Wajib dan waktu Sunnah.

Waktu Wajib adalah ketika baligh dan waktu Sunnah adalah sebelumnya.

Yang terbagus adalah pada hari ke-7 setelah kelahiran. Dan disukai agar tidak menunda dari waktu Sunnah kecuali kerana uzur.


8.Menyusukan Anak Dan Memberi Nafkah

Allah سبحان و تعالىٰ berfirman (maksudnya):

"Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan warispun berkewajiban demikian. Apabila keduanya ingin berhenti menyusu (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permesyuwaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan bayaran menurut yang patut. Bertakwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan." [al-Baqarah, 2: 233].

Kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan waris juga berkewajiban demikian.

Seorang ayah wajib memberinya makan. Ertinya, memberi nafkah dan pakaian iaitu upah bagi pekerjaan menyusui yang dilakukan. Ini juga menunjukkan bahawa apabila masih dalam ikatan pernikahan, suaminya wajib memberi nafkah dan pakaian, sesuai menurut keadaannya. Allah berfirman, (maksudnya) "seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya." Tidaklah seseorang yang fakir dibebankan untuk memberikan nafkah seperti nafkahnya orang yang kaya, dan tidak juga seorang yang tidak mempunyai harta hingga mendapatkannya." [Tafsir as-Sa’di (Judul Asli: Taisir al-Karim al-Rahman fii Tafsir Kalam al-Mannan), jil. 1, m/s. 377-379].

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments