Tidak Ada Lelaki Yang Mahu Isteri Yang Buruk

 OLEH: Abu Aqif


Berapa ramai lelaki yang mendambakan isteri yang solehah, taat dan menyejukkan hati, namun berapa ramai yang mendoakan dan mendidik isterinya menjadi wanita seperti itu?

Pernah Malik bin Huwairits رضي الله عنه dan rombongannya datang ke Madinah khusus untuk belajar agama daripada Nabi ﷺ selama lebih kurang 20 hari.


Apabila tiba hari untuk Malik pulang ke kampung asalnya, Nabi ﷺ berpesan,


ارْجِعُوا إِلَى أَهْلِيكُمْ، فَأَقِيمُوا فِيهِمْ وَعَلِّمُوهُمْ وَمُرُوهُمْ

"Kembalilah ke isterimu, tinggallah di tengah-tengah mereka, ajarkanlah mereka, dan perintahkanlah mereka." [HR. Bukhari no. 631, 7246, dan Muslim no. 674].


Mendidik isteri adalah tugas para suami dan ia adalah hak terhadap isteri yang wajib ditunaikan.


Syaikh Abdul Adzim Al-Badawi حفظه الله berkata,


"Di antara hak isteri yang menjadi kewajipan suami adalah memerintahkan mereka untuk menegakkan Agamanya dan menjaga solatnya. Hal ini berdasarkan firman Allah Ta'ala,


وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا 

"Dan perintahkanlah kepada isterimu untuk mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya." [QS. Thaaha 10:132, Al-Wajiiz fi Fiqhis Sunnah wal Kitaabil 'Aziiz, hal. 356].


Jangan salahkan isteri 100% jika kita sendiri tidak ada usaha untuk mendidik, menasihati dan membimbing mereka.

Para isteri pula, taatlah suamimu. Allah beri jaminan melalui Nabi-Nya ﷺ kepada kalian, tunai yang wajib, taat kepada suami maka kau masuklah ke dalam Syurga dari pintu mana pun kau mahu.


Sabda Rasulullah ﷺ,


إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ

"Apabila seorang isteri mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga kemaluannya (menjaga kehormatannya), dan taat kepada suaminya, nescaya dia akan masuk Syurga dari pintu mana sahaja yang dikehendakinya." [HR. Ibnu Hibban no. 1296, Shahiih Mawaariduzh Zham'aan no. 1081].


Betul, tidak mudah untuk taat suami, tambah-tambah lagi jika suami yang cerewat, apatah lagi jika suami itu jauh dari agama. Tetapi itulah perintah yang diberitahu oleh agama. Jika begitu keadaannya, bersabarlah dan mengharaplah pahala dari Allah.


Kredit:

1. Dr Ustadz Khalid Z.A Basalamah

2. muslim.or.id

3. almanhaj.or.id


[Gerakan PENA Malaysia]



Comments