Ibu Meninggal Dunia, Ayah Hendak Berkahwin Lagi, Tapi Anak-anak Tidak Mengizinkan

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Ibu meninggal dunia, ayah hendak berkahwin lagi, tapi anak-anak tidak mengizinkan. Pernah dengar kes-kes seperti ini? Sebenarnya, anak-anak bukan setakat tidak berhak menghalang, malah dalam mazhab Shāfi‘ī dan jumhur, diwajibkan – kalau mampu – untuk mencari pasangan kepada bapa yang miskin tetapi memerlukannya. Dalam Minhāj al-Ṭālibīn disebut:

يلزم الولد إعفاف الأب والأجداد على المشهور بأن يعطيه مهر حرة أو يقول انكح وأعطيك المهر أو ينكح له بإذنه ويمهر أو يملكه أمة أو ثمنها ثم عليه مؤنتها.

“Si anak diwajibkan mengiffahkan bapa dan nenek moyang mengikut pendapat yang masyhur dengan memberikannya mahar perempuan merdeka, mengatakan (kepadanya) ‘kahwinlah dan saya akan memberikan ayah mahar’, mengakad nikah bagi pihaknya dan memberi mahar (kepada perempuan), memberikan hamba perempuan kepadanya atau nilainya, kemudian dia wajib menanggung perempuan itu.”

Ulama mengatakan, إعفاف الأب ini wajib ke atas anak kerana merupakan keperluan asas bapa, mengelak perzinaan, menjaga kehormatan orang tua, dan termasuk arahan dalam ayat 15, Surah Luqmān, ayat 15, وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفاً, “Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” Selain itu, ia bertepatan dengan firman Allah dalam ayat 32, surah al-Nūr, وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ, “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu...” Pada asasnya ibu sama seperti bapa, tetapi ulama mengatakan tidak wajib mengahwinkan ibu dengan alasan لِأَنَّ الْحَقَّ لَهَا لَا عَلَيْهَا وَإِلْزَامُهُ بِالْإِنْفَاقِ عَلَى زَوْجِهَا مَعَهَا عُسْرٌ جِدًّا عَلَى النُّفُوسِ.

Tentang ayat وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ ini ada noktah yang menarik untuk diperhatikan, kenapa dalam ayat yang sama Allah memberi jaminan, إِن يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ “Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari kurnia-Nya,” tetapi selepas ayat itu, Allah SWT berfirman pula, وَلْيَسْتَعْفِفِ الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ نِكَاحًا حَتَّىٰ يُغْنِيَهُمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ “Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya,” tidakkah ini zahirnya bertentangan, ayat pertama menyuruh berkahwin walaupun miskin tetapi ayat kedua meminta bersabar sehingga kaya?

Jawapannya, wallahualam, adalah pada perbezaan خطاب, sasaran ayat. Ayat pertama menggunakan lafaz إنكاح, mengahwinkan, dan sasaran ialah wali atau seumpamanya, manakala ayat kedua نكاح, berkahwin ditujukan kepada orang yang hendak berkahwin itu sendiri. Sebagaimana dikatakan, لكل مقام مقال dan seperti perbezaan jawapan dengan berbezanya keadaan penanya, Allah menggunakan ayat yang berbeza untuk sasaran yang berlainan. Jadi, jaminan dalam ayat إِن يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ ini untuk semisal ibu bapa yang selalu risau tentang rezeki anak-anak sampai enggan membenarkan mereka berkahwin; manakala arahan supaya bersabar sehingga mampu dalam ayat وَلْيَسْتَعْفِفِ الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ نِكَاحًا حَتَّىٰ يُغْنِيَهُمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ pula untuk anak-anak, misalnya yang ingin berkahwin tetapi terpaksa akur dengan realiti kemampuan diri.

Berbalik kepada masalah إعفاف الأب tadi, kita perlu sedar bahawa banyak hukum fiqh yang kita selalu abaikan dan langgar kerana kita tidak tahu, malas ambil tahu, dan kadang-kadang kalau tahu pun kita masih degil untuk mempertahankan falsafah dan prinsip kita yang entah apa-apa itu.

Wallahualam.



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments