Bermasyarakat vs Toleransi Dalam Beragama.

OLEH: Ustaz Ahmad Fazrin

Dalam keadaan seorang tokoh pendakwah ditekan dengan beberapa laporan polis hasil dari ulasan beliau tentang hukum membasuh kuil hindu semasa banjir baru-baru ini, akademi yang dikaitkan dengan tokoh pendakwah Muslimah pula mempromosi hari agama sedunia yang jelas sekali bertentangan dengan prinsip Aqidah Islamiyyah.

Baiknya orang kita, baru tarik balik poster tanpa menitipkan apa-apa prinsip sebenar pihak akademi terhadap sambutan pluralisme ini, semua dah reda dan memaafkan. Saya sambut baik sikap baik ini.

Namun sikap baik kita kena seimbang dengan sikap baik kita terhadap hak Allah. Bila ada sahaja isu-isu berkaitan pertembungan agama, selalunya pihak agama minoriti yang akan sentiasa dibiarkan naik toncang dalam memberi tekanan juga dakwaan ke atas pihak Islam, lebih menyedikan yang sering terbeban dengan tekanan-tekanan ini ialah para pendakwah kita yang kita semua tahu jasa mereka dalam dakwah.

Tak habis dengan cerita tekanan ke atas tokoh dakwah tauhid dunia Dr Zakir Naik, saudara Firdaus Wong juga banyak kali ditekan dan didakwa. Terbaru Ustaz Idris Sulaiman pula yang dicabar mereka.

Semua ini berlaku kerana kegagalan sebahagian besar masyarakat termasuk para pendakwah yang kita harapkan mereka menjadi pegar yang menjaga padi. Sedihnya ada sebahagian daripada mereka juga masih lagi kabur akan prinsip penting dalam menjaga keharmonian aqidah.

Jika para pendakwah pun gagal memahami prinsip ini, bagaimana kita nak harapkan masyarakat yang lebih jauh dari ilmu untuk memahaminya? Bagaimana pula kita nak masyarakat agama minoriti ingin memahaminya? Yang mereka tagih toleransi, yang kita bagi sepatutnya prinsip, toleransi pula kita sudah sedia berikan dalam bentuk hidup bermasyarakat dengan harmoni. Toleransi di mana-mana pun ada hadnya, dan Islam had toleransinya adalah pada aqidah.

Ayuh bangkitlah kita bersama memahamkan masyarakat akan perbezaan antara toleransi hidup bermasyarakat vs toleransi dalam beragama.



Comments