Didik Masyarakat Berfikir Secara Logik?

Oleh: Ustaz Idris Sulaiman.

DIDIK MASYARAKAT BERFIKIR SECARA LOGIK? 

Kenyataan di atas tidak tepat. 

Masyarakat Islam seharusnya dididik supaya berfikir dan menilai mengikut neraca syarak, bukan dengan logik akal semata-mata. 

Ini kerana bagi setiap Muslim syariat Islam bukan sahaja menjadi panduan dalam hal-hal Agama malah turut menjadi panduan dalam hal-hal yang berkaitan dengan keduniaan. 

Pendek kata, Islam ialah cara hidup. 

Dalam masa yang sama perlu ditegaskan bahawa agama Islam berdiri di atas wahyu dan bukan logik akal. 

Wahyu bersifat yakin dan maksum manakala akal bersifat sangka-sangka dan terdedah kepada salah silap. 

Justeru berbeza dengan wahyu, akal manusia mempunyai banyak kelemahan. Antaranya ialah:

1. Akal manusia berbeza-beza antara satu dengan yang lain. Masing-masing ada cara berfikir yang tersendiri.

2. Akal manusia bersifat cetek. 

Firman Allah ﷻ: 

“Kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” 

[Al-Quran, al-Isra’, 17:85]

3. Akal manusia sentiasa dipengaruhi oleh hawa nafsu. 

Firman Allah ﷻ: 

“Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan.” 

[Al-Quran, Yusuf, 12:53]

4. Akal manusia tidak lekang daripada melakukan salah silap. 

Sabda Nabi ﷺ:

“Setiap anak Adam melakukan salah silap.” 

[Hadis hasan. Riwayat Ahmad]

Oleh sebab itu, sekiranya kebenaran itu ditentukan oleh logik akal maka akan timbul banyak percanggahan dan pertembungan seperti mana yang berlaku dalam perbahasan-perbahasan ilmiah antara sarjana. 

Walau bagaimanapun, ini tidak bererti bahawa akal manusia tidak berperanan sama sekali. Cuma perlu difahami bahawa ia hanyalah faktor pembantu dan bukan penentu. 

Akal berfungsi untuk membantu manusia memahami hal-hal yang berkaitan dengan urusan Agama dan juga dunia tetapi syariat Islam jualah yang menjadi penentunya.  

Sabda Nabi ﷺ: 

“Aku tinggalkan buat kamu dua perkara di mana kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang kepada kedua-duanya; Kitab Allah dan Sunnahku.” 

[Hadis hasan. Riwayat al-Hakim]

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan panduan. 

Idris bin Sulaiman 
Kajang 
17 Jamadilakhir 1443H /
20 Januari 2022 





Comments