Nikmat Yang Lebih Dari Syurga.

OLEH: Ustaz Idris Sulaiman.

NIKMAT LEBIH DARI SYURGA 

Apakah nikmat yang lebih daripada balasan syurga dengan segala isi kenikmatan yang terdapat di dalamnya; mahligai istana, pokok-pokok, buah-buahan, sungai-sungai, intan permata, emas, perak, bidadari-bidadari dan sebagainya? 

Jawapannya ialah nikmat dapat melihat Allah ﷻ. 

Sabda Nabi ﷺ: 

“Setelah ahli syurga memasuki syurga, Allah ﷻ berkata: Adakah kamu semua mahu Aku tambah lagi? Mereka menjawab: Bukankah Engkau telah pun menggembirakan kami semua? Bukankah Engkau telah pun memasukkan kami semua dalam syurga dan menyelamatkan kami dari neraka? Maka Allah ﷻ menyingkap hijab lalu tiada apa yang lebih mereka cintai daripada melihat Tuhan mereka ﷻ.” 

[Sahih. Riwayat Muslim]

Tiada apa yang lebih dicintai oleh ahli syurga berbanding segala apa yang terdapat dalam syurga daripada melihat Allah ﷻ. 

Justeru melihat Allah ﷻ merupakan kemuncak keinginan setiap orang beriman dan dia berusaha untuk merealisasikannya kerana ia merupakan ganjaran pahala yang lebih daripada syurga. 

Demikian halnya dengan reda Allah yang lebih tinggi daripada balasan syurga. Firman Allah ﷻ: 

“Dan keredaan Allah lebih besar (kemuliaannya); (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.”

 [Al-Quran, at-Taubah, 9:72]

Hadis-hadis yang menetapkan bahawa orang-orang beriman akan melihat Allah ﷻ sangat banyak sehingga mencapai darjat mutawatir dan Al-Quran turut menegaskannya sebagaimana dalam firman Allah: 

“Pada hari akhirat itu muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri. Melihat kepada Tuhannya.”

[Al-Quran, al-Qiyamah, 75:22-23]

Seperti mana dalam hadis Muslim di atas, ganjaran melihat Allah ﷻ hanya akan berlaku di akhirat kelak dan ia adalah khas bagi orang beriman. Adapun orang kafir, mereka terhijab. 

-------------------

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya sekalipun orang-orang kafir tidak suka.” 

[Al-Quran, as-Saf, 61:8] 

Jazakamullahu khaira kepada semua yang mendoakan.  

Idris bin Sulaiman 
Kajang 
14 Jamadilakhir 1443H /
17 Januari 2022 



Comments