Berani hukum "haram".

OLEH: Dr Fadhlan Othman

Berani hukum “haram”

Apabila saya kemas almari, saya dapati baju-baju saya agak banyak yang masih elok dan dihukum “gantung” sekian lama, sehinggakan saya lupa akan kewujudannya…

Tiba-tiba terdetik di hati saya apakah hukumnya jika saya ingin beli lagi? 

Dengan segala ilmu yang ada pada saya, saya terus memberi hukum “haram” ke atas diri saya untuk membeli baju.

Walaupun saya jenis suka “shoping”, saya terpaksa akur dengan fatwa hasil audit kendiri ini…

“Audit kendiri”…

Agaknya ini sesuai untuk dikategorikan dalam “audit kendiri”. Bahasa arabik-islamiknya adalah “muhasabah”.

Muhasabah ini berkait rapat dengan tauhid dan ihsan; iaitu kita merasakan Allah yang perlu kita perhatikan dalam urusan seharian kita dan meyakini Allah pastinya memerhatikan kita dalam keputusan seharian kita.

Semoga rumusan hukum “haram” ini tepat buat diri saya. Namun saya rasa hukum ini bersifat sementara, iaitu sekitar setahun hingga dua tahun. Bila ada keperluan kelak, mungkin hukum ini akan berubah menjadi “sunat” atau “wajib”.

Apapun, saya kena kuatkan hati ini untuk tidak menyalahi hukum “haram” ini kerana berpotensi untuk terjerebak dalam pembaziran. Dan kita semua maklum orang yang membazir adalah saudara syaitan.

Semoga Allah memelihara kita semua. Kita mesti berbelanja dengan berpatutan dan berjimat cermat. Lihat keperluan diri sendiri dan jangan terpengaruh dengan tindakan orang lain. Jika hari ini “cerah”, ingatlah ada hari “mendung”.

Sekian dahulu coretan dhuha ini (rasa lama tak membuat coretan muhasabah sebegini).

Akhukum,
DFO
11 Rajab 1443
13 Feb 2022



Comments