Adakah Wanita Haid, Nifas, Orang Bermusafir, Orang Yang Tidur Boleh Mendapat Ganjaran Beribadah Pada Lailatul Qadr?

OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli


1- Asasnya, sesiapa sahaja yang boleh melakukan amalan soleh tanpa mengira apa situasi dirinya, dia pasti akan memperoleh habuan dan ganjaran beribadah pada malam al-qadr.

2- Seorang ulama tafsir bernama Al-Dahhak bin Muzahim ditanya oleh muridnya yang bernama Juwaibir bin Sa’id :

أرأيت في النفساء والحائض والمسافر والنائم لهم في ليلة القدر نصيب ؟

‎Maksudnya : Menurut pendapatmu, adakah wanita yang nifas, wanita haid, orang yang bermusafir, orang yang tidur, akan mendapat bahagian mereka (dari ganjaran beribadah) pada lailatul qadr ?

Lalu Al-Dahhak menjawab :

‎نعم ، كل من تقبل الله عمله سيعطيه نصيبه من ليلة القدر

‎Maksudnya : Ya, setiap orang yang Allah terima amalannya nescaya Allah akan berikan bahagiannya (ganjaran beribadah) dari malam al-qadr.

‎Rujukan Lata’if al-Ma’arif, Ibn Rajab (442).

3- Justeru dari kenyataan ini, wanita haid dan nifas tidak perlu berdukacita pada 10 hari terakhir Ramadan. Ini kerana, bukan semua ibadah itu mensyaratkan suci dari haid atau nifas untuk dilakukan. Wanita haid boleh sahaja berdoa, berzikir, berselawat, bersedekah, menuntut ilmu, dan lain-lain. 

Boleh amalkan doa yang Rasulullah SAW ajarkan kepada Sayyidah A’isyah R.Anha :

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي 

Maksudnya : Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Kau sukakan kemaafan, maka Kau maafkanlah aku.

Riwayat Ibn Majah (3850).

4- Demikian juga dengan orang yang bermusafir. Mungkin situasi ini menyulitkan dirinya untuk solat tarawih dan witir berjemaah. Namun, jika dia melakukan ibadah-ibadah lain semasa permusafirannya, nescaya dia akan turut mendapat bahagiannya dari Lailatul Qadr.

5- Orang yang tidur pula, meski zahirnya tampak yang dirinya tidak beribadah, pastikan kita semua tidur dalam keadaan jantung hati yang sejahtera. Bersih dari syirik, penuh dengan sangka baik kepada Allah, suci dari hasad dengki kepada sesama makhluk, maka jantung hati ini kekal dalam zikrullah meski jasad sedang tidur.

Kerana itu Imam Ibn Rajab al-Hanbali berkata :

رب قائم حظه من قيامه السهر ، كم من قائم محروم ومن نائم مرحوم ، هذا نام وقلبه ذاكر ، وهذا قام وقلبه فاجر

Maksudnya : Boleh jadi orang yang qiyam itu, habuannya dari qiyamnya itu adalah berjaga malam semata. Berapa ramai orang yang qiyam itu terhalang (dari mendapat kebaikan Lailatul Qadr), dan berapa ramai orang yang tidur itu mendapat rahmat. Orang ini tidur dalam keadaan jantung hatinya berzikir. Manakala orang ini pula qiyam dalam keadaan jantung hatinya jahat.

Rujukan Lata’if al-Ma’arif, Ibn Rajab (442)



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments