Benarkah Lipat Sejadah Cara Kanan Satu Kesalahan & Lipatan Cara Kiri Suatu Tuntutan ?

 OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli



1- Saya melihat gambar ini disebarkan. Secara peribadi saya tidak bersetuju kerana dua sebab. Pertama, ia boleh menimbulkan kekeliruan. Kedua, perkongsian sebegini tiada keperluan.

2- Melipat sejadah ini termasuk dalam urusan kehidupan kita (mu’amalat). Kaedah bagi urusan sebegini adalah :

الأصلُ فِي الأشْيَاءِ الإِبَاحَة

Maksudnya : Hukum asal bagi setiap perkara (berkaitan mu’amalat) adalah harus.

4- Maknanya, kedua-dua cara lipatan adalah harus. Dalam erti kata, tiada larangan syarak pada lipatan cara kanan. Demikian tiada arahan syarak pada lipatan cara kiri. Melakukan cara kanan tidak haram atau makruh. Demikian melakukan cara kiri tidak wajib atau sunat. Itulah hakikat harus. Nak buat boleh, tidak buat pun tidak mengapa.

5- Mengapa saya kata sebaran gambar dan kenyataan sebegini mengelirukan dan tiada keperluan ? Jawabnya, disebabkan perkongsian sebeginilah berlaku dalam kalangan masyarakat, apabila mereka melihat orang lain melipat sejadah dengan cara kanan, mereka akan menegur :

“Salah cara macam itu”.

“Tidak beradab lipat sejadah begitu”.

6- Soalnya, salah dari sudut apa ? Dari sudut hukum, ia tidak salah. Dari sudut adab, mengapa pula lipatan cara kanan dikatakan tidak beradab ? Saya secara peribadi menyatakan, orang yang suka menyalahkan perbuatan yang tidak salah itulah yang sebenarnya tidak beradab.

7- Sebahagian cuba mendatangkan justifikasi. Kata mereka, kalau lipatan cara kanan menjadikan sejadah itu kotor. Bahagian kaki tempat sejadah dipijak bercantum dengan bahagian kepala saat kita sujud.

8- Saya agak sukar memahami rasional kenyataan ini. Kerana Rasulullah SAW sebut :

جُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا أَيْنَمَا أَدْرَكَ رَجُلٌ مِنْ 

أُمَّتِي الصَّلاَةَ صَلَّى 

Maksudnya : Dijadikan buatku tanah bumi ini keseluruhannya merupakan tempat bersujud lagi suci bersih. Di mana sahaja seseorang lelaki dari kalangan umatku memasuki waktu sol‏at, solatlah dia (di tempat tersebut).

Riwayat Al-Nasa’ie (736)

9- Maka berdalilkan hadis ini, selama satu-satu tempat itu suci daripada najis, boleh dan sah sahaja solat padanya. Tidak sepatutnya berlaku menyalahkan cara lipatan yang kanan atas hujahan “ia kotor, tidak bersih”.

10- Sebelum ini pun, permaidani masjid yang kita masuki itu dilalui dan dipijak oleh ramai jemaah. Tetapi tidak pula timbul isu kotor. Entah mengapa kebelakangan ini, kenyataan-kenyataan sebegini dibangkitkan. Sehingga sebahagian, menegur dan menyalahkan cara lipatan orang lain pula.

11- Kita ini apabila masuk ke masjid, kita telah basuh kaki menerusi wuduk, maka tidak sayugia ditimbulkan isu “kotor dan tidak bersih” menerusi cara lipatan sejadah begitu.

12- Saya katakan, kotor itu mungkin pada perasaan anda sahaja. Adapun syarak, tidak menilainya sebagai kotor. Cuba perhatikan kata-kata Saiduna Ali bin Abi Talib R.A :

لو كَانَ الدِّينُ بِالرَّأْىِ لَكَانَ أَسْفَلُ الْخُفِّ أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلاَهُ وَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَمْسَحُ عَلَى ظَاهِرِ خُفَّيْهِ 

Maksudnya : Sekiranya agama ini semata berdasarkan pendapat (logik), nescayalah bahagian bawah khuf lebih utama untuk disapu berbanding bahagian atasnya. Sesungguhnya aku pernah melihat Rasulullah SAW menyapu di bahagian atas dua khuf Baginda.

Riwayat Abu Daud (162.)

13- Isu ini isu kecil. Kedua-dua cara lipatan tidak salah. Jangan menyalahkan perkara yang tidak salah. Jangan mengatakan tidak beradab pada orang yang tidak berpendirian bahawa cara yang kanan itu melanggar dan bercanggahan dengan adab.

Wallahul Muwaffiq.


[Gerakan PENA Malaysia]

Comments