Menyibukkan Diri Dengan Ilmu Lebih Utama Berbanding Ibadah Nafilah Yang Lain

OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi bin Rusli

Al-Syeikh Soleh al-‘Usoimi hafizahullah menyebutkan bahawa menyibukkan diri dengan ilmu adalah lebih utama (أفضل) berbanding seluruh ibadah nafilah yang lain seperti solat sunat, puasa sunat, tasbih dan doa. 

Berikut merupakan 6 faktor yang beliau sebutkan :

1- Ilmu ini, manfaatnya meliputi pemiliknya dan juga orang selainnya. Manakala ibadah sunat yang lain, manfaatnya terhad dan terbatas kepada pelakunya sahaja.

2- Ilmu berperanan untuk memperbetulkan ibadah-ibadah sunat. Solat, tasbih, zikir, doa, semuanya berhajat kepada ilmu dalam pelaksanaannya. Manakala ibadah-ibadah sunat tidak berperanan untuk memperbetulkan ilmu.

3- Begitu juga para ulama disifatkan sebagai pewaris para Nabi. Namun tidak disifatkan ciri yang sama kepada para ‘abidin (ahli ibadah). Berdalilkan hadis Rasulullah SAW :

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ 
Maksudnya : Para ulama merupakan pewaris para Nabi.
Riwayat Abu Daud (3461).

4- Dalam bab ilmu, mentaati orang yang berilmu adalah suatu kewajipan ke atas selainnya dari kalangan orang yang tidak berilmu. Ini berdalilkan firman Allah SWT :

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya : Hendaklah kamu bertanya kepada ahli al-zikr, sekiranya kamu tidak mengetahui.
Surah Al-Nahl (43).

Pada perintah untuk bertanya soalan kepada para ulama itu terdapatnya perintah untuk mentaati mereka.

Begitu juga berdasarkan firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ
Maksudnya : Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul, serta (taatlah kamu) kepada ulil amri dari kalangan kamu.
Surah Al-Nisa’ (59)

Sesungguhnya perkataan ‘ulil amri’ turut meliputi para ulama. Maka ini merupakan dalil kewajipan mentaati para ulama.


5- Kesan-kesan ilmu akan kekal meskipun setelah kematian pemiliknya. Berbeza dengan ibadah-ibadah sunat yang lain. Kerana secara kebiasaannya, kesan ibadah tersebut akan terputus dengan matinya pelakunya. Meskipun tidak dinafikan, ada ibadah sunat lain yang kekal, namun ilmu adalah jauh lebih utama yang akan kekal sesudah kematian pemiliknya. Ini seperti yang disebutkan dalam hadis :

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ 
Maksudnya : Apabila matinya seorang manusia itu, terputuslah darinya seluruh amalannya kecuali tiga amalan. Iaitu dari sedekah yang mengalir (manfaatnya), ilmu yang dimanfaatkan, atau anak soleh yang mendoakan kebaikan untuknya.
Riwayat Muslim (1631).

6- Kekalnya ilmu membawa kepada usaha menghidupkan syariah serta memeliharanya dari kecuaian dan pengabaian. Sesiapa sahaja yang membantu menjaga syariah serta menghidupkannya adalah lebih afdal berbanding mereka yang tidak melakukannya.

Catatan di atas ditulis dengan sedikit olahan. Semoga bermanfaat.

[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments