Maksud Fitnah

 OLEH: Ustaz Mohd Safwan Mohd Rusydi


Fitnah adalah kata mufrad (singular) dari perkataan jama' (plural) di dalam bahasa Arab iaitu Fitan. Fitnah merangkumi malapetaka, ujian dan cubaan. Istilah fitnah banyak digunakan pada perkara-perkara yang mendatangkan cubaan bagi sesuatu (perkara) yang dibenci. Kemudian istilah tersebut akhirnya digunakan untuk segala yang dibenci atau sesuatu yang patut dijauhi, seperti dosa, kufur, peperangan, kebakaran dan lain-lain lagi (Asyraatis-Saa'ah, Yusuf bin Abdullah bin Yusuf Al-Wabil, Dar Ibnu Jauzi, hlm 90).

Firman Allah SWT:

فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: "...Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana (fitnah), atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (An-Nur: 63)

Yang dimaksudkan dengan mengingkari perintahnya di dalam ayat di atas adalah menyelisihi perintah Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.

Imam Asy-Syaukani rahimahullah (wafat 1250 Hijrah) berkata:

أَيْ: يُخَالِفُونَ أَمْرَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِتَرْكِ الْعَمَلِ بِمُقْتَضَاهُ

"Yakni: mereka yang menyelisihi perintah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dengan meninggalkan mengamalkan tuntutan baginda." (Fathul Qadir, 4/68)

Beliau menjelaskan lagi:

وَالْمَعْنَى: فَلْيَحْذَرِ الْمُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِ اللَّهِ، أَوْ أَمْرِ رَسُولِهِ، أَوْ أَمْرِهِمَا جَمِيعًا، إِصَابَةَ فِتْنَةٍ لَهُمْ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذابٌ أَلِيمٌ أَيْ: فِي الْآخِرَةِ، كَمَا أَنَّ الْفِتْنَةَ الَّتِي حَذَّرَهُمْ مِنْ إِصَابَتِهَا لَهُمْ، هِيَ فِي الدُّنْيَا

"Maknanya adalah: hendaklah mereka yang mengingkari perintah Allah, atau perintah RasulNya, atau perintah kedua-duanya (Allah dan Rasul), ditimpakan kepada mereka fitnah (ujian dan cubaan) atau ditimpakan kepada mereka azab yang pedih, yakni: di akhirat. Sebagaimana sesungguhnya fitnah (ujian dan cubaan) yang diperingatkan kepada mereka akan menimpa kepada mereka, iaitulah ketika di dunia." (Fathul Qadir, 4/68)

Imam Ibnu Kathir rahimahullah (wafat 774 Hijrah) menjelaskan pada ayat "...Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya.." dengan kata beliau:

أَيْ: عَنْ أَمْرَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، سبيله هو وَمِنْهَاجُهُ وَطَرِيقَتُهُ [وَسُنَّتُهُ] وَشَرِيعَتُهُ، فَتُوزَنُ الْأَقْوَالُ وَالْأَعْمَالُ بِأَقْوَالِهِ وَأَعْمَالِهِ، فَمَا وَافَقَ ذَلِكَ قُبِل، وَمَا خَالَفَهُ فَهُوَ مَرْدُود عَلَى قَائِلِهِ وَفَاعِلِهِ، كَائِنًا مَا كَانَ

"Maksudnya adalah: (menyalahi) dari perintah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, jalannya, manhajnya (metodenya), tariqahnya, sunnahnya, serta syariatnya. Maka ditimbang seluruh ucapan dan amalan dengan ucapan-ucapan serta amalan-amalannya. Sesiapa yang bertepatan dengan (sunah) itu maka diterima, dan sesiapa yang menyelishinya maka dialah yang ditolak (dikembalikan) kepada yang berkata dan melakukannya, tidak kira siapa pun dia."

Manakala pada ayat "..beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana (fitnah).." beliau berkata:

أَيْ: فِي قُلُوبِهِمْ، مِنْ كُفْرٍ أَوْ نِفَاقٍ أَوْ بِدْعَةٍ

"Maksudnya adalah: (ditimpa) di dalam hati-hati mereka berupa kekufuran, kemunafikan atau bidaah." (Tafsir Al-Quranul 'Azhim, 6/90)



[Gerakan PENA Malaysia]


Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments