Kami Melihat Engkau Daripada Kalangan Orang-orang Yang Baik

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


KAMI MELIHAT ENGKAU DARIPADA KALANGAN ORANG-ORANG YANG BAIK

Demikian apa diucapkan kepada Nabi Yusuf - alaihissalam.

Sebaik dua kali ia diucapkan kepadanya “Kami melihat engkau daripada kalangan orang-orang yang baik.”

Dalam ayat 36 dan ayat 78, surah Yusuf.

Kali pertama diucapkan kepadanya semasa beliau dalam penjara manakala kali kedua semasa di istana!

Dua keadaan yang jauh berbeza; di penjara dalam keadaan susah tertekan dan di istana dalam keadaan senang gembira.

Tetapi ternyata budi pekerti Nabi Yusuf tidak berubah; tetap sama konsisten menjadi orang baik.

Baik daripada segi sifat-sifat kelakuan dan tabiat, dan baik daripada segi layanan dan hubungan dengan orang-orang lain di sekeliling.

Demikian seharusnya seorang Muslim yang sentiasa berkelakuan baik tidak kira masa dan tempat.

Keadaan senang atau susah, gembira atau sedih, selesa atau tertekan, semua itu tidak akan mempengaruhi budi pekertinya.

Muslim itu bukanlah orang yang mudah emosi, kelakuan berubah-ubah, tidak stabil atau hanya berkelakuan baik apabila ada maslahat dan kepentingan.

Sama sekali tidak.

Sebaliknya dia sentiasa berkelakuan baik, lemah lembut dan bersopan santun dengan orang-orang lain kerana itulah yang diperintahkan ke atasnya oleh agama dan itulah penjana ganjaran pahala buatnya.



CATATAN

Sebahagian orang baik dan lemah lembut apabila bersemuka tetapi berubah apabila di media sosial; kasar, garang, menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dan sebagainya.

Ini tidak wajar.

Firman Allah ﷻ dalam surah Yusuf, ayat 36:

وَدَخَلَ مَعَهُ ٱلسِّجۡنَ فَتَيَانِۖ قَالَ أَحَدُهُمَآ إِنِّيٓ أَرَىٰنِيٓ أَعۡصِرُ خَمۡرٗاۖ وَقَالَ ٱلۡأٓخَرُ إِنِّيٓ أَرَىٰنِيٓ أَحۡمِلُ فَوۡقَ رَأۡسِي خُبۡزٗا تَأۡكُلُ ٱلطَّيۡرُ مِنۡهُۖ نَبِّئۡنَا بِتَأۡوِيلِهِۦٓۖ إِنَّا نَرَىٰكَ مِنَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

“Dan masuklah bersamanya ke dalam penjara dua orang anak muda. Salah seorang daripadanya berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur". Dan seorang lagi berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung." (Kata mereka): "Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. Sesungguhnya kami melihat engkau daripada kalangan orang-orang yang baik.”

Firman Allah ﷻ dalam surah Yusuf, ayat 78:

قَالُواْ يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡعَزِيزُ إِنَّ لَهُۥٓ أَبٗا شَيۡخٗا كَبِيرٗا فَخُذۡ أَحَدَنَا مَكَانَهُۥٓۖ إِنَّا نَرَىٰكَ مِنَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

“Mereka pun merayu dengan berkata: "Wahai menteri! Sesungguhnya dia (Bun’yamin) mempunyai bapa yang sudah tua lagi berpangkat. Oleh itu, ambilah salah seorang di antara kami sebagai gantinya. Sesungguhnya kami melihat engkau daripada kalangan orang-orang yang baik.”


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments