Mati Kemalangan Syahid

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


Sebahagian ulama melihat bahawa orang yang mati kemalangan dalam kategori mati syahid akhirat sama seperti mereka yang mati dalam runtuhan yang disebut dalam hadis.

Sabda Nabi ﷺ:

‌الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِيقُ وَصَاحب ‌الْهدم والشهيد فِي سَبِيل الله

“Orang-orang yang mati syahid ialah lima; orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, mati ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.”

[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Walau bagaimanapun perlu diketahui bahawa seseorang itu tidak boleh dihukum syahid secara spesifik sekalipun amalannya menepati amalan para syuhada kerana hal tersebut tidak dibenarkan.

Seperti mana tidak boleh menghukum seseorang individu secara spesifik sebagai ahli syurga sekiranya dia Mukmin atau ahli neraka sekiranya dia kafir.

Sebaliknya dihukum mereka yang mati kemalangan, mati lemas dan mati dalam runtuhan sebagai termasuk dalam kategori para syuhada secara umum, bukan secara spesifik.

Ini kerana antara akidah Ahli Sunah Waljamaah seseorang individu tidak boleh dihukum sebagai ahli syurga atau ahli neraka kecuali mereka yang disaksikan sedemikian secara spesifik oleh Rasulullah ﷺ.

Memandangkan hal tersebut termasuk dalam hal ghaib yang hanya diketahui oleh Allah ﷻ.

Maka dikatakan ‘semoga si fulan mati syahid’ atau ‘semoga beliau tergolong dalam kalangan para syuhada’.

Elakkan daripada mengatakan ‘si fulan syahid’.

Sebagaimana Imam Bukhari meletakkan judul bertajuk ‘Bab Jangan Dikatakan Si Fulan Syahid’ dalam kitab Sahihnya.


CATATAN

Syahid dunia dan akhirat ialah mereka yang mati dalam jihad fisabilillah di medan perang secara khusus di mana jasad mereka tidak perlu dimandikan, dikafankan atau disolatkan.

Berbeza dengan golongan syahid akhirat seperti mereka yang mati kerana taun, lemas, kebakaran atau runtuhan di mana jenazah mereka diuruskan seperti jenazah-jenazah lain dengan dimandikan, dikafankan dan disolatkan.

Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa pesawat terhempas semalam. Semoga semua mangsa tergolong dalam kalangan para syuhada.



[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments