Perlukah Kita Habiskan Sebegitu Banyak Masa Terhadap Makanan?

 OLEH: Mukhtaruddin Sahid


Makanan adalah sebahagian dari keperluan hidup kita. Dengan rezeki yang Allah kurniakan kepada kita, kita dapat menikmati pelbagai makanan yang Allah halalkan keatas kita. Kita boleh saja menikmati makanan tersebut asalkan kita sentiasa bersyukur dengan lisan dan hati kita, serta sentiasa berusaha menambah amalan soleh seiring dengan kurniaan tersebut. 

Meskipun banyak yang Allah halalkan keatas kita dari sekian banyak makanan dalam kehidupan dunia ini, makanan yang kita ambil bukanlah tujuannya untuk menjadi pemuas citarasa kita, meskipun ia tidak dilarang. Makanan yang kita ambil tujuannya untuk menegakkan tulang dan menguatkan tubuh guna untuk beribadah dan sebagai bekal menjalani kehidupan harian. 

Maka seseorang yang menghabiskan masa 3 jam untuk beratur mendapat makanan yang bukan asasi, bukan pula dalam keadaan darurat, adalah jelas merupakan sikap obses yang keterlaluan terhadap makanan. Bayangkan ada yang beratur seawal pagi, tatkala manusia lain memperbanyak amal soleh dengan solat dhuha, membaca Alquran, berzikir dan sebagainya, mereka sanggup beratur seawal pagi hanya untuk mendapatkan makanan semata-mata kerana mengikuti 'trending' dan viral. Lebih malang lagi, selepas penat 3 jam beratur, sebahagian pelanggan pulang dengan hampa kerana makanan yang ditunggu telah habis dijual. Lebih dari itu, ada pula pelanggan yang bertegang dengan peniaga tatkala makanan yang mereka hajati tidak tercapai.

Ada baiknya kita merenung kan kisah ulama silam tentang bagaimana sikap mereka terhadap makanan, di antaranya ialah kisah Ibnu Aqil Al-Hanbali, seorang syeikh mazhab Hanbali, lahir pada tahun 431 H. 

Kisah menarik itu disebutkan oleh Ibn Rajab dalam Thabaqat Hanabillah (1/143), menurut pengakuan Ibn Aqil Al-Hanbali sendiri. 

Dikatakan Ibnu Aqil Al-Hanbali tidak ingin buang-buang waktu lama untuk makan, kerana hal ini akan mencuri waktu beliau untuk belajar dan mengajar. Salah satu upaya beliau untuk menyingkat waktu makan adalah dengan sering memilih makan adunan roti yang masih mentah dan lembut daripada roti yang sudah masak dengan sempurna. Makanan yang lembut akan menjimat waktu kerana tidak perlu mengunyah dengan lama, selain itu beliau tidak perlu menunggu lama agar roti tersebut masak dengan sempurna.

Dalam versi lain dari sumber yang sama disebutkan, beliau berkata,

"Aku berusaha membatasi seminima mungkin waktu makanku, sampai-sampai aku lebih menyukai makan roti kering yang dicelupkan di dalam air agar mudah dikunyah dan dicerna daripada harus memakan roti biasa. Hal itu aku lakukan agar waktu membaca ku lebih banyak sehingga dapat menulis ilmu yang belum ku ketahui."


Perhatikan, makanan yang di santap oleh Ibnu Aqil ini ialah makanan asasi untuk dimakan sehari-hari yang sangat sederhana, namun itu pun beliau tetap cuba meminimakan waktu penyediaan dan santapan. Bandingkan dengan diri kita pada hari ini, bukan sahaja mewah dengan pelbagai makanan, malah sanggup pula membuang-buang waktu untuk mencari makanan-makanan penyedap lidah dan pemuas citarasa. 

Ingatlah, ada dua nikmat yang sering di lupakan dan di lalaikan oleh manusia, iaitu nikmat sihat dan masa yang terluang. 



Daripada Ibnu Abbas r.a beliau berkata; Nabi shallallahu alaihi wa sallam bersabda: “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.” (HR Bukhari No: 5933).

Masa lapang adalah salah satu dari nikmat-nikmatNya. Kita akan ditanya tentang apa yang telah kita manfaatkan dengan nikmat waktu tersebut. 


Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:


ثُمَّ لَـتُسْئَـلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيْمِ

"Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!"

(QS. At-Takasur 102: Ayat 8)


Oleh itu kita seharusnya memanfaatkan waktu kita dengan perkara yang berguna. Makan, meskipun adalah perkara harus dan - boleh-boleh saja merasai kepelbagaian makanan yang ada, namun bukanlah dengan membuang masa sekadar merasai sesuatu makanan hanya semata ia viral dan 'trending'. Ingatlah hadis Nabi shallallahu alaihi wa sallam bersabda, 

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu , dia berkata: “Rasululah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Di antara (tanda) kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya’. (Hadits hasan. Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan selainnya seperti itu).


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments