Helah Ahli Bidaah Dalam Menjawab Kritikan Salafī Mengenai Pengamalan Hadis Da‘īf

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Helah ahli bidaah dalam menjawab kritikan Salafī mengenai pengamalan hadis ḍa‘īf dan palsu dalam amalan-amalan mereka:

1. Mula-mula, mereka menggunakan kaedah “Hadis ḍa‘īf boleh digunakan dalam faḍā’il al-a‘māl” dan menukilkan ittifak ulama mengenainya, biasanya daripada kalam Imam al-Nawawī. Contohnya:

وقد اتفق العلماء على جواز العمل بالحديث الضعيف في فضائل الأعمال.

“Telah bersepakat ulama pada keharusan mengamalkan hadis ḍa‘īf  dalam faḍā’il al-a‘māl."

2. Kemudian, jika dinyatakan bahawa hadis yang digunakan oleh mereka bukan ḍa‘īf biasa, tetapi terlampau lemah, seperti terdapat dua tiga rawi majhūl atau seorang rawi yang dituduh berdusta, mereka akan mengatakan ulama membolehkan mengamalkan hadis ḍa‘īf selagi tidak palsu. Antara kata-kata ulama yang akan dibawakan ialah kata-kata Imam al-Nawawī:

ويجوز عند أهل الحديث وغيرهم التساهل في الأسانيد ورواية ما سوى الموضوع من الضعيف والعمل به من غير بيان ضعفه في غير صفات الله تعالى والأحكام كالحلال والحرام وغيرهما وذلك كالقصص، وفضائل الأعمال، والمواعظ وغيرها مما لا تعلق له بالعقائد والأحكام، والله أعلم.

“Dan harus di sisi ahli hadis dan selain mereka bermudah-mudahan tentang sanad dan meriwayatkan selain hadis palsu daripada hadis-hadis ḍa‘īf dan mengamalkannya tanpa menjelaskan kelemahannya pada selain bab sifat-sifat Allah taala, hukum-hakam seperti halal haram dan selainnya, dan yang demikian itu seperti hikayat-hikayat, faḍā’il al-a‘māl, tazkirah, dan lain-lain yang tidak bersangkutan dengan akidah dan hukum-hakam. Wallahualam.”

3. Jika dinyatakan bahawa hadis tersebut palsu pula, mereka akan mengatakan bahawa ulama tidak bersepakat menghukumnya palsu. Mereka akan menukilkan nama-nama ulama yang mengatakan hadis tersebut ḍa‘īf sahaja, atau malah hasan dan sahih. Contohnya, al-Ḥākim dalam al-Mustadrak.

4. Jika dinyatakan bahawa ulama bersepakat menghukumnya palsu, mereka akan mengatakan ada ulama yang menyebutkannya dalam kitab-kitab mereka dan mengamalkannya. Sikap amanah, warak, keilmuan, dan ketegasannya dalam bab meriwayatkan hadis-hadis palsu ulama berkenaan diceritakan untuk menggambarkan seolah-olah mustahil beliau tersilap meriwayatkan dan mengamalkan hadis palsu. Contoh ulama yang diperlakukan sedemikian ialah Imam al-Ghazālī.

5. Jika mereka tidak mampu menepis kepalsuan hadis tersebut, mereka akan mendakwa bahawa amalan mereka dibina berdasarkan dalil-dalil atau keumuman nas yang lain. Contohnya, amalan membaca Yāsīn pada malam Jumaat dikatakan dibina di atas galakan membaca al-Quran dan berzikir secara umum. 

Atau, mereka akan pergi kepada kaedah, "Setiap sesuatu adalah harus kecuali ada dalil yang melarang." Cara lain ialah dengan mengatakan hadis tersebut sahih berdasarkan kasyaf, walaupun kasyaf tidak diterima dalam disiplin ilmu hadis. Contoh, hadis:

 من عرف نفسه فقد عرف ربه.

"Sesiapa yang mengenali dirinya, maka dia telah mengenali Tuhannya."

Begitulah gambaran permainan ahli bidaah. Segala yang dilakukan oleh mereka hanyalah untuk membela adat tradisi dan maruah ulama terpilih sahaja.



Sebelum menjawab tulisan ini, saya ingin memuji gaya bahasa yang digunakan, indah dan harmoni berbanding yang biasanya terpacul di pentas-pentas ceramah. Saya harap gaya bahasa ini dikekalkan, kerana saya percaya ia akan mencambahkan perbahasan ilmiah dan memeriahkan dunia ilmu secara sihat.


Berkenaan pendapat yang dipilih oleh beliau, alhamdulillah, masih dalam lingkungan pendapat muktabar (walaupun silap). Di sana ada pendapat ekstrem yang mengatakan hadis ḍa‘īf jiddan pun boleh diamalkan. Bukan ḍa‘īf jiddan sahaja, malah hadis palsu pun boleh diamalkan, tetapi dengan bersandar kepada apa yang dipanggil sebagai aṣl ‘āmm dan bukannya hadis terbabit. Syukur kerana beliau tidak sampai ke tahap ini.

Dalam tulisan ini ada dua kesilapan yang dibuat oleh ḥafiẓa-hu Allāh kerana salah faham dan/atau bertaqlīd kepada ulama-ulama lain, iaitu: mengharuskan meriwayatkan hadis ḍa‘īf dalam dalam bab faḍā’il dan sebagainya tanpa menerangkan kelemahannya secara mutlak, dan mengharuskan mengamalkan hadis ḍa‘īf dalam amalan sunat secara mutlak. 

Kesilapan pertama adalah kesalahan umum yang berpunca daripada kegagalan membezakan antara “meriwayatkan” dengan “menyebut”. Maklum dalam ilmu hadis bahawa meriwayatkan adalah dengan sanad. Oleh sebab itu, apabila seorang ulama menyebut hadis tanpa sanad atau sumber, adat ulama tidak mengatakannya meriwayatkan, tetapi menyebutkan. Yang dimaksudkan oleh Imam al-Nawawī adalah meriwayatkan, bukan menyebutkan. Dalam al-Taqrīb disebutkan:

ويجوز عند أهل الحديث وغيرهم التساهل في الأسانيد ورواية ما سوى الموضوع من الضعيف والعمل به من غير بيان ضعفه في غير صفات الله تعالى والأحكام كالحلال والحرام وغيرهما وذلك كالقصص، وفضائل الأعمال، والمواعظ وغيرها مما لا تعلق له بالعقائد والأحكام، والله أعلم.
“Dan harus di sisi ahli hadis dan selain mereka bermudah-mudahan tentang sanad dan meriwayatkan selain hadis palsu daripada hadis-hadis ḍa‘īf dan mengamalkannya tanpa menjelaskan kelemahannya pada selain bab sifat-sifat Allah taala, hukum-hakam seperti halal haram dan selainnya, dan yang demikian itu seperti hikayat-hikayat, faḍā’il al-a‘māl, tazkirah, dan lain-lain yang tidak bersangkutan dengan akidah dan hukum-hakam. Wallahualam.”

Maklum di sisi ulama hadis, sirah, dan sejarah bahawa dengan menyebut sumber, seseorang tidak lagi dipertanggungjawab dengan kelemahan riwayat yang diriwayatkan. Jika riwayat itu ternyata dusta sekalipun, kita tidak boleh dituduh bersubahat, kerana kita sekadar menukilkannya daripada orang lain tanpa mengesahkan atau membenarkannya. Semakna dengannya juga mendatangkan riwayat tersebut dengan ṣīghah tamrīd seperti “dikatakan” dan “ada riwayat menyebut” kerana dengan lafaz-lafaz itu riwayat itu tidak dijazamkan sahih.

Kata Imam al-Nawawī dalam al-Majmū’:
قَالَ الْعُلَمَاءُ الْمُحَقِّقُونَ مِنْ أَهْلِ الْحَدِيثِ وَغَيْرِهِمْ إذَا كَانَ الْحَدِيثُ ضَعِيفًا لَا يُقَالُ فِيهِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْ فَعَلَ أَوْ أَمَرَ أَوْ نَهَى أَوْ حَكَمَ وَمَا أَشْبَهَ ذَلِكَ مِنْ صِيَغِ الْجَزْمِ...
“Kata ulama-ulama muḥaqqiqūn daripada ahli hadis dan lain-lain, sekiranya hadis ḍa‘īf, tidak boleh dikatakan tentangnya ‘Rasulullah SAW bersabda’, ‘Baginda melakukan’, ‘Baginda menyuruh’, ‘Baginda melarang’, ‘Baginda memutuskan’, dan sebagainya daripada ṣīghah jazam...”

Jadi, kesimpulannya, yang dimaksudkan oleh ulama bahawa hadis ḍa‘īf dalam selain bab akidah dan halal haram tidak perlu disebutkan kelemahannya adalah yang secara sarih. Adapun secara ḍimnī, yakni sama ada dengan menyebutkan sanad/sumber atau dengan ṣīghah tamrīḍ, maka tetap perlu dilakukan. Kata Imam Ibnu Ḥajar al-Haytamī dalam fatwa yang dinukilkan dalam al-Ajwibah al-‘Ajībah oleh Zayn al-Dīn al-Malībārī tentang tazkirah di masjid dengan membaca hadis-hadis palsu, ḍa‘īf, dan kisah-kisah nabi:
... وأما الأحاديث الضعيفة فإن بين ضعفها أو أتى بما يشير إليه كـ(روى) جاز، وإلا امتنع...
“Dan adapun hadis-hadis ḍa‘īf, sekiranya ia menyebutkan kelemahannya atau apa-apa yang mengisyaratkan kepada kelemahan seperti ‘diriwayatkan’ maka harus. Jika tidak, dilarang.”

Walau bagaimanapun, keharusan menyebut hadis ḍa‘īf tanpa bayān ṣarīḥ tidaklah disepakati khususnya apabila melibatkan orang yang tidak ahli dalam bidang hadis dan pada zaman muta’akhkhirīn, kerana secara praktikalnya, kebanyakan orang tidak memahami bayān ḍimnī, lantas menyangka hadis-hadis ḍa‘īf itu sabit daripada Nabi SAW – sebagaimana yang berlaku pada hari, hadis-hadis tersangat lemah dan palsu disangka sahih lantaran sangat biasa disebut oleh para penceramah yang jahil ilmu hadis.
Menurut Ibnu Ḥajar al-Haytamī, orang-orang ini perlu ditakzir dan dilarang daripada berceramah. Katanya menjawab soalan tentang khatib yang membacakan hadis tanpa menyebut sumber atau nama rawinya:
مَا ذكره من الْأَحَادِيث فِي خطبه من غير أَن يبين رواتها أَو من ذكرهَا فَجَائِز بِشَرْط أَن يكون من أهل الْمعرفَة فِي الحَدِيث، أَو ينقلها من كتاب مؤلفه كَذَلِك، وَأما الِاعْتِمَاد فِي رِوَايَة الْأَحَادِيث على مُجَرّد رؤيتها فِي كتاب لَيْسَ مُؤَلفه من أهل الحَدِيث، أَو فِي خطب لَيْسَ مؤلفها كَذَلِك فَلَا يحل ذَلِك، وَمن فعله عُزِّر عَلَيْهِ التعزيز الشَّديد، وَهَذَا حَال أَكثر الخطباء فَإِنَّهُم بِمُجَرَّد رُؤْيَتهمْ خطْبَة فِيهَا أَحَادِيث حفظوها وخطبوا بهَا من غير أَن يعرفوا أَن لتِلْك الْأَحَادِيث أصلا أم لَا، فَيجب على حكام كل بلد أَن يزجروا خطباءها عَن ذَلِك...
“Hadis-hadis yang disebutkannya dalam khutbah tanpa menerangkan nama periwayat atau orang yang menyebutnya, maka harus, dengan syarat ia termasuk dalam orang yang mahir tentang ilmu hadis atau menukilkannya daripada penulisnya begitu. Adapun meriwayatkan hadis dengan sekadar melihatnya dalam kitab yang penulisnya bukan ahli hadis, atau khutbah yang penulisnya bukan ahli hadis, maka tidak harus. Sesiapa melakukannya perlu ditakzir dengan hukuman yang berat. Dan inilah keadaan kebanyakan khatib. Dengan semata-mata melihat khutbah yang mengandungi beberapa hadis, mereka menghafalnya dan menggunakannya untuk berkhutbah tanpa mengetahui adakah hadis-hadis itu mempunyai asal atau tidak. Maka, wajiblah ke atas pemerintah di setiap negeri untuk memperingatkan khatib-khatibnya daripada yang demikian..."

Ini untuk kesalahan yang pertama. Untuk kesalahan yang kedua pula, iaitu mengharuskan mengamalkan hadis ḍa‘īf dalam amalan sunat secara mutlak, buat masa ini saya hanya mampu mengatakan, hadis ḍa‘īf pernah diterima dan pernah ditolak oleh ulama untuk mengisbatkan amalan sunat. Dengan kata lain, amalan berdasarkan hadis ḍa‘īf kadang-kadang dianggap sunat dan mustaḥabb, dan kadang-kadang dianggap mungkar dan bidaah oleh ulama. Sebagai contoh, Imam al-Nawawī yang menjadi ‘umdah bagi mereka yang mengatakan hadis ḍa‘īf boleh diamalkan dalam perkara sunat sendiri pernah menolak mengamalkan hadis ḍa‘īf dalam masalah menyapu tengkuk semasa wuduk. Katanya:
(وَالرَّابِعُ) لَا يُسَنُّ وَلَا يُسْتَحَبُّ وَهَذَا الرَّابِعُ هُوَ الصَّوَابُ... وَلَمْ يَثْبُتْ فِيهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ... وَأَمَّا الْحَدِيثُ الْمَرْوِيُّ عَنْ طَلْحَةَ بْنِ مُصَرِّفٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّهُ رَأَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ رَأْسَهُ حَتَّى يَبْلُغَ الْقَذَالَ وَمَا يَلِيهِ مِنْ مُقَدَّمِ الْعُنُقِ فَهُوَ حَدِيثٌ ضَعِيفٌ بِالِاتِّفَاقِ...
“Dan pendapat keempat, tidak sunat dan tidak digalakkan, dan yang keempat ini adalah yang benar... Dan tidak sabit tentangnya daripada Nabi SAW... Adapun hadis yang diriwayatkan daripada Ṭalḥah b. Muṣarraf daripada ayahnya, daripada datuknya bahawa dia melihat Rasulullah SAW menyapu kepala sehingga mencapai belakang kepala dan bahagian yang mengiringinya berupa permulaan tengkuk adalah hadis ḍa‘īf dengan sepakat...”

Imam al-Nawawī juga menolak menjadikan hadis Surāqah b. Mālik RA bahawa “Rasulullah SAW mengajar kami apabila pergi ke tempat membuang najis untuk bertongkat dengan kaki kiri” sebagai dalil sunat melakukannya, walaupun beliau membolehkan beristi’nās dengannya, dan mungkin menggalakkannya sebagai adab dan alasan lain. Katanya:
هَذَا الْحَدِيثُ ضَعِيفٌ...  وَاحْتَجُّوا فِيهِ بِمَا ذَكَرَهُ الْمُصَنِّفُ وَقَدْ بَيَّنَّا أَنَّ الْحَدِيثَ لَا يُحْتَجُّ بِهِ فيبقى المعنى ويستأنس بالحديث والله أعلم.
“Hadis ini ḍa‘īf... Dan mereka berhujah dalam masalah ini dengan hadis yang disebutkan oleh pengarang dan telah kami jelaskan bahawa hadis tersebut tidak boleh dijadikan hujah, maka berbaki makna dan diisti’nāskannya dengan hadis itu. Wallahualam.”

Dan sekiranya hadis yang disebutkan oleh para ulama tetapi tidak diketahui sanadnya tidak boleh dihukum palsu, maka Imam al-Nawawī pernah menolak beri’timād dengan hadis “Bersugilah secara melintang” – walaupun beliau mensahihkan kemustaḥabban bersugi secara melintang sebagai pendapat mazhab dengan sebab lain – kerana:
هَذَا الْحَدِيثُ ضَعِيفٌ غَيْرُ مَعْرُوفٍ... وَأَمَّا الْحَدِيثُ الَّذِي اعْتَمَدَهُ الْمُصَنِّفُ فَلَا اعْتِمَادَ عَلَيْهِ وَلَا يُحْتَجُّ بِهِ.
“Hadis ini ḍa‘īf tidak dikenali... Adapun hadis yang menjadi pegangan pengarang tidak boleh dijadikan pegangan dan tidak boleh dijadikan hujah.”




Setakat ini sahajalah jawapan yang sempat saya coretkan buat masa ini. (Saya tidak cukup masa sebenarnya. Semoga Allah memberikan kelapangan dari segi harta dan masa. Jawapan tentang kesalahan kedua pun sebenarnya dipetik daripada tulisan sebelum ini.) Insya-Allah jika berkelapangan nanti, saya akan melanjutkan perbahasan dengan lebih mendalam.

Wallahualam.


MENJAWAB BALAS:


Ya, memang pun. Banyak hadis dan athar da'if, bahkan da'if jiddan dan palsu, diriwayatkan dan disebutkan oleh ulama-ulama Hanabilah-Athariyyah mutaqaddimin dan muta'akhkhirin. Tapi, perbuatan mereka itu salah dan tidak diredai. Cuma, seperti yang diakui oleh orang itu, mereka tidak menjadikannya sebagai dalil utama, malah disebutkan secara taba' kepada dalil-dalil lain. Itupun secara bersanad, bukan jazam. Berbeza dengan ahli bidaah yang disayangi orang itu, hadis palsu kadangkala menjadi dalil tunggal bagi pegangan dan amalan mereka, dan dijazamkan sebagai sabda Nabi SAW.
Dan sekiranya ternyata hadis atau athar yang disebutkan oleh imam dan ulama mereka tidak sahih, mereka tidak mereka-reka alasan untuk membelanya. Ibnu Taymiyyah sendiri diselisihi dan dikritik oleh ulama-ulama Salafi kerana menggalakkan amalan yang tidak sabit dalam hadis sahih. Berbeza dengan ahli bidaah, sampai sekarang mereka tidak boleh menerima hakikat terdapat banyak hadis palsu dan amalan bidaah dalam Ihya' walaupun yang menghukum palsu dan bidaah adalah ulama muktabar di sisi mereka sendiri.

Saya bercakap berdasarkan pengalaman. Saya pernah menghantar surat kepada penceramah masjid kampung saya kerana mengajar kitab Sayr al-Salikin yang mengandungi hadis-hadis palsu. Apa jawab beliau? Jawabnya, beliau sudah merujuk ustaz lain, dan ustaz itu mengatakan tiada hadis palsu dalam Ihya'. Yang ada hanyalah hadis-hadis da'if! Seakan-akan mereka tidak pernah membaca kata-kata al-Dhahabi, al-Subki, dan al-'Iraqi tentang hadis-hadis Ihya'.

Jauh bezanya dengan Salafi. Salafi-Wahabi, kitab al-Tawhid oleh Syeikh Ibnu 'Abd al-Wahhab, kitab terpenting di sisi mereka disemak berkali-kali. Sekurang-kurangnya ada empat kajian khusus tentang hadis-hadisnya. Beriltizam dengan ilmu hadis, kalau da'if, mereka kata da'if, kalau munkar, mereka kata munkar. Adapun ahli bidaah, hanya kerana tuan kitab adalah ulama sealim Syeikh Dawud al-Fatani, misalnya, maka segala hadis yang dinukilkannya tidak perlu disemak. 

Selain itu, umumnya kesilapan Salafi adalah kesilapan yang tidak disengajakan, dengan erti kata lain, faktor manusia. Ini kerana mereka telah berusaha mempelajari hadis, menyemak riwayat, dan menyaring banyak riwayat yang jelas da'if dan palsu. Namun, sebagai manusia, adakalanya mereka tercuai. Adapun kebanyakan ahli bidaah, hadis adalah bidang yang paling mereka jahil. Ada beza antara orang yang silap membaca al-Fatihah selepas belajar dan berusaha dengan silap membaca al-Fatihah kerana taqsir dalam belajar dan sombong untuk menerima teguran.

Saya menutup nama orang itu kerana saya tidak suka memasyhurkan mubtadi'. Namun, jika ada yang mengenalinya, maka ketahuilah bahawa sekarang saya mentahzirnya secara sarih.
Wallahualam.

[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI








Comments