Buat Dosa Tapi Solat?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Mendedahkan aurat, zina, curang, rogol, bunuh, rasuah, dan segala kemungkaran lain sebenarnya berpunca daripada kegagalan menjaga solat. Orang yang solat lima kali sehari semalam secara automatik terpelihara daripada kemungkaran. Dan, jika terjebak sekalipun, solat akan menariknya semula ke pangkal jalan atau mengawalnya daripada pergi lebih jauh. 

Orang yang berbuat dosa tetapi menjaga solatnya, batinnya berkecamuk dalam pertempuran dan dilema antara dosa dan pahala, iman dan kufur. Dirinya melakukan maksiat, namun bukan dengan sepenuh kerelaan, kerana ada solat yang meronta-ronta di dalam hati. Perempuan tidak akan menjadi pelacur melainkan setelah nekad meninggalkan solat. Lelaki tidak akan meneguk arak melainkan ia sudah tidak mempedulikan apakah ia akan bangkit atau tidak subuh nanti. Hal ini demikian kerana maksiat dan solat ibarat minyak dan air – tidak akan bercampur. Sesungguhnya seseorang tidak akan berzina dan mencuri dalam keadaan beriman dan solat adalah iman itu sendiri. 

Allah mensyariatkan solat dengan sebaik-baik aturan. Lima kali sehari pada waktu-waktu tertentu dan dengan syarat-syarat sah yang perlu dipatuhi, dilihat orang atau ketika bersendirian, di kampung atau di tengah-tengah kota metropolitan, solat menjaga kita. Seseorang tidak mampu menjadi kaki botol dan penzina tegar melainkan terpaksa mengorbankan solatnya. Seseorang juga tidak mampu tega terlibat dengan rasuah dan pecah amanah melainkan rukuk dan sujudnya hanya dilakukan dengan anggota, tapi bukan dengan jiwa.   

Satu demi satu kemungkaran yang tidak pernah terlintas dalam fikiran terzahir di depan mata kita hari ini menambah koleksi kemungkaran yang sedia melimpah. Ramai yang meluahkan kemarahan dan menghambur kecaman, namun ibarat menebas lalang tanpa mencabut akarnya, selagi kita sekadar fokus melegakan gejala, tetapi tidak bersungguh merawat punca, iaitu kegagalan menjaga solat, kemungkaran akan kembali – lagi dan lagi sampai kita semua lali.



[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments