Memerli Salafi Dengan Pendapat Ibn Taymiyah Yang Dicanggahi Salafi?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Tidak perlu mencari-cari pendapat Imam Ahmad, Ibnu Taymiyyah, atau Syeikh Muhammad b. 'Abd al-Wahhab yang ditinggalkan atau bahkan dicanggahi oleh Salafi untuk memerli mereka menyelisihi pendapat imam sendiri.

Salafi bukan seperti ahli bidaah yang menjadikan taqlid kepada individu ulama sebagai usul manhaj. Salafi tidak mengatakan mereka Taymi atau Wahabi. Yang mengatakan mereka Taymi atau Wahabi adalah musuh mereka. Mengapa mengilzam mereka dengan sesuatu yang tidak mereka kata?

Lihat apa yang dilakukan oleh al-Albani tatkala sabit di sisinya kesalahan Ibnu Taymiyyah dalam satu masalah akidah. Adakah beliau mempertahankan, mentakwil, atau mereka-reka alasan dan keuzuran untuk melepaskan Ibnu Taymiyyah? Nah, baca sendiri:

فهذا شيخ الإسلام ابن تيمية زلت به القدم فقال قولا لم يسبق إليه ولا قام الدليل عليه ومن هنا قالوا : ( زلة العالم زلة العالم ) فلو أننا كنا مبتلين بتقليده كما ابتلي كل مقلد بتقليد إمامه لزللنا بزلته ولذلك قالوا : ( الحق لا يعرف بالرجل اعرف الحق تعرف الرجال ) 

فالحمد لله الذي هدانا لهذا وما كنا لنهتدي لولا أن هدانا الله.

“Maka, Shaykh al-Islām Ibnu Taymiyyah ini telah tergelincir kakinya lalu mengatakan kata-kata yang tidak didahului (oleh sesiapa) dan tidak ditunjukkan oleh dalil. Dari sini mereka mengatakan, ‘ketergelinciran ulama adalah ketergelinciran dunia.’ Kalaulah kita diuji dengan bertaklid kepadanya sebagaimana setiap muqallid diuji dengan bertaklid kepada imamnya pasti kita akan tergelincir dengan tergelincirnya beliau. Oleh itu, mereka mengatakan, ‘kebenaran tidak dikenali dengan individu, (tetapi) kenallah kebenaran pasti kamu akan mengenali orang-orangnya.’ Maka, alhamdulillah yang telah menunjukkan kita kepada ini dan kalaulah tidak kerana petunjuk Allah, tentulah kami tidak mendapat petunjuk.”

Ya, sebahagian mereka bermazhab, seperti ramai Salafi daripada madrasah Syeikh Muhammad b. 'Abd al-Wahhab bermazhab Hanbali. Tapi adakah tamadhhub dalam istilah mereka menyamai tamadhhub dalam istilah ahli bidaah? Tidak. Mereka bersedia untuk menolak mazhab Hanbali dan mengikut mazhab lain kerana mengikut dalil. Mereka tidak bercakap kosong. Mereka telah membuktikannya secara praktikal dengan memfatwakan banyak pendapat yang bercanggah dengan pendapat mazhab kerana dalil (bukan kerana maslahat semata). Kata 'Abd Allah, anak Syeikh Muhammad b. 'Abd al-Wahhab tentang pendirian mereka tentang mazhab:

ونحن أيضا في الفروع على مذهب الإمام أحمد ابن حنبل... إلا أننا في بعض المسائل إذا صح لنا نص جلي من كتاب أو سنة غير منسوخ ولا مخصص ولا معارض بأقوى منه وقال به أحد الأئمة الأربعة أخذنا به وتركنا المذهب كإرث الجد والإخوة فإنا نقدم الجد بالإرث وإن خالف مذهب الحنابلة.

"Kami dalam furuk juga mengikut mazhab Imam Ahmad b. Hanbal... cuma, dalam sesetengah masalah, jika sahih kepada kami nas yang jelas daripada kitab atau sunnah yang tidak mansukh, dikhususkan, atau bercanggah dengan yang lebih kuat daripadanya dan dipakai oleh mana-mana imam yang empat, kami mengambilnya dan meninggalkan mazhab seperti masalah hak pewarisan datuk dan adik-beradik, maka kami dahulukan datuk dalam pewarisan meskipun bercanggah dengan mazhab Hanabilah."

Intisab Salafi adalah kepada Salaf, dan inilah yang diseru-seru oleh mereka. Salaf yang dimaksudkan tidak diwakili oleh sebahagian, tetapi kesemua Salaf. Sesuatu yang diterima oleh sebahagian Salaf tetapi diingkari oleh sebahagian yang lain, di sisi mereka, boleh dipertikaikan. Bukan kaedah mereka, kalau amalan ini diamalkan oleh sebahagian Salaf maka secara langsung ia tidak menjadi bidaah. Ini khurafat yang dipercayai oleh orang yang tidak memahami manhaj Salafi, lantas mereka membawa pendapat sebahagian Salaf untuk menghujah Salafi.

Berbeza dengan ahli bidaah, ahli bidaah mengakui bertaqlid kepada ulama tertentu, menyeru kepada muktamad mazhab, dan mengaibkan orang yang tidak beriltizam dengan sesuatu mazhab sebagaimana yang diiltizamkan oleh mereka. Mereka memuji-muji imam mujtahid seolah-olah mereka tidak pernah silap, melaung-laungkan seruan menghormati pendapat ulama sampai melenting apabila dikritik sebagai "tidak tepat". Apabila dihujah, mereka bukan hendak mempertahankan ijtihad imam mereka secara ilmiah tapi melontarkan soalan yang tidak relevan dengan isu, "Adakah kamu lebih alim daripada Imam al-Shafi'i?" 

Dalam keadaan ini, wajarlah mereka diperli dan disindir kerana menyalahi pendapat-pendapat imam dan mazhab sendiri. Perlian ini bukan sesuatu yang baru dan bukan Salafi-Wahabi yang memulakannya. Al-Dhahabi, ulama yang cuba direbut oleh ahli bidaah ini sudah lama memperkatakannya:

قَوْلُهُ: لاَ تَحِلُّ مُخَالَفَتُه: مُجَرَّدُ دَعْوَى وَاجْتِهَادٍ بِلاَ مَعْرِفَةٍ، بَلْ لَهُ مُخَالَفَةُ إِمَامِهِ إِلَى إِمَامٍ آخَرَ، حُجَّتُهُ فِي تِلْكَ المَسْأَلَةِ أَقوَى، لاَ بَلْ عَلَيْهِ اتِّبَاعُ الدَّلِيْلِ فِيْمَا تَبَرهَنَ لَهُ، لاَ كَمَنْ تَمَذْهَبَ لإِمَامٍ، فَإِذَا لاَحَ لَهُ مَا يُوَافِقُ هَوَاهُ، عَمِلَ بِهِ مِنْ أَيِّ مَذْهَبٍ كَانَ...

“Katanya, ‘Tidak harus (muqallid) menyalahinya (imam mazhab)’ adalah dakwaan kosong dan ijtihad tanpa ilmu. Bahkan, dia boleh menyelisihi imamnya dengan mengikut imam yang lain, yang hujahnya dalam masalah itu lebih kuat. Tidak, bahkan ia mesti mengikut dalil dalam hal yang jelas kepadanya. Tidak seperti orang yang bermazhab dengan mazhab seorang imam, jika ia nampak pendapat yang bertepatan dengan nafsunya, ia akan mengamalkannya tidak kira daripada mazhab mana sekalipun..."

Wallahualam.

Apabila dikatakan Salafī tidak terikat dengan pendapat Imam Aḥmad, Ibnu Taymiyyah, dan Ibnu ‘Abd al-Wahhāb, mereka mengatakan itu bukan ciri khas Salafī. Lalu, disebutkan mukhālafah aṣḥāb mazhab terhadap pendapat imam atau muktamad mazhab kononnya ulama-ulama lain juga terbuka, bukan Salafī sahaja.

Saya sebenarnya tidak mempunyai masa untuk melayan jawapan yang remeh-temeh, tapi untuk tidak menghampakan orang yang menyukai populariti murahan itu, saya cuba menjawabnya dengan mengajukan beberapa soalan ringkas:

1. Adakah ulama-ulama yang disebutkan itu menggalakkan ittibā’ sebagaimana yang dilakukan oleh ulama-ulama Najd dalam kata-kata mereka ini?

وأما قولكم: هل يجب على المكلف التقليد، في المسائل المختلف فيها، فهذا يحتاج إلى تفصيل وبسط، ليس هذا موضعه، لكن الواجب على المكلف: أن يتقي الله ما استطاع... فإن كان المكلف فيه أهلية لمعرفة دلائل المسائل، من الكتاب والسنة، وجب عليه ذلك، باتفاق العلماء، وإن لم يكن فيه أهلية، كحال العوام الذين لا معرفة لهم بأدلة الكتاب والسنة، فهؤلاء يجب عليهم التقليد، وسؤال أهل العلم فقط...

“Adapun kata-kata kamu, adakah wajib ke atas mukallaf bertaqlīd dalam masalah-masalah yang diperselisihkan? Maka ini memerlukan perincian dan penjelasan yang bukan ini tempatnya. Tetapi, yang wajib di atas mukallaf adalah bertakwa kepada Allah semampunya... Sekiranya mukallaf mempunyai kelayakan untuk mengetahui dalil-dalil masalah daripada al-Quran dan sunnah, maka ia wajib melakukannya dengan ittifak ulama. Sekiranya tidak, seperti orang awam yang tidak ada pengetahuan tentang dalil-dalil al-Quran dan sunnah, maka wajib ke atas mereka bertaklid dan bertanya ahli ilmu sahaja.”

2. Adakah mereka secara terang-terangan mengatakan tidak wajib bertaqlid kepada mana-mana imam mujtahid dan mazhab sebagaimana yang dilakukan oleh Shaykh al-Islām Ibnu Taymiyyah dalam kata-katanya ini? 

ولا يجب تقليد واحد بعينه غير النبي ﷺ... لا يجب على المالكي ولا غيره تقليد أحد من الأئمة بعينه في جميع الدين باتفاق الأئمة الكبار.

“Dan tidak wajib bertaqlīd kepada seseorang secara khusus kecuali Nabi SAW... Tidak wajib bagi seorang yang bermazhab Mālikī dan tidak juga pengikut mazhab lain bertaqlīd kepada mana-mana imam secara khusus dalam urusan agama seluruhnya dengan kesepakatan imam-imam yang besar.”

3. Adakah mereka pernah mengisytiharkan bahawa mereka bersedia untuk menyelisihi imam dan mazhab sendiri kerana mengikut dalil sebagaimana yang dilakukan oleh Syeikh Muḥammad b. ‘Abd al-Wahhāb dalam kata-katanya ini?

إذا اختلف كلام أحمد وكلام أصحابه فنقول في محل النزاع: التراد إلى الله وإلى الرسول، لا إلى كلام أحمد ولا إلى كلام أصحابه.

“Jika berselisih perkataan (Imam) Aḥmad dengan perkataan ulama-ulama mazhabnya, maka kami mengatakan pada titik pertentangan, ‘kembali kepada Allah dan kepada Rasul, bukan kepada kalam (Imam) Aḥmad dan tidak juga kepada kalam ulama-ulama mazhabnya.”

4. Adakah mereka pernah mengatakan bahawa seseorang boleh mengikuti pendapat mazhab lain hanya kerana pendapat tersebut lebih rājiḥ di sisinya berbanding mazhab sendiri sebagaimana kata Ibnu Taymiyyah dalam kata-katanya ini?

 ... فإذا ترجح عند الشافعي مثلا قول مالك قلده، وكذلك غيره.

“Bilamana rajih di sisi pengikut mazhab Shāfi‘ī, misalnya, pendapat (Imam) Mālik, ia bertaqlīd kepadanya, dan begitu juga orang lain.”

5. Adakah mereka pernah mengkritik ulama-ulama dan pengikut mazhab sendiri kerana terlalu mengangkat ulama-ulama muta’akhkhirīn sehingga mengabaikan imam mazhab dan ulama-ulama mutaqaddimīn seperti Syeikh Ḥamd b. Nāṣir b. Mu‘ammar, murid Syeikh Muḥammad b. ‘Abd al-Wahhāb dalam kata-katanya di bawah?

فأهل كل عصر إنما يقضون بقول الأدنى فالأدنى إليهم، وكلما بعد العهد، ازداد كلام المتقدمين هجراً ورغبة عنه.. .فالحنابلة قد اعتمدوا على ما في الإقناع، والمنتهى، ولا ينظرون فيما سواهما، ومن خالف مذهب المتأخرين، فهو عندهم مخالف لمذهب أحمد رحمه الله مع أن كثيراً من المسائل التي جزم بها المتأخرون مخالفة لنصوص أحمد، يعرف ذلك من عرفه، وتجد كتب المتقدمين من أصحاب أحمد مهجورة عندهم؛ بل قد هجروا كتب المتوسطين، ولم يعتمدوا إلا على كتب المتأخرين. فالمغني والشرح والإنصاف والفروع ونحو هذه الكتب، التي يذكر فيها أهلها خلاف الأئمة، أو خلاف الأصحاب، لا ينظرون فيها؛ فهؤلاء في الحقيقة أتباع الحجاوي وابن النجار، لا أتباع الإمام أحمد.

“Ahli setiap zaman hanya berhukum dengan pendapat orang yang lebih hampir dan lebih hampir kepada mereka. Semakin lama, semakin terpulaulah dan jauhlah pendapat-pendapat mutaqaddimīn daripada mereka... Maka, Ḥanābilah berpegang dengan yang terdapat dalam al-Iqnā‘ dan al-Muntahā, dan tidak merujuk selain dua kitab itu. Sesiapa menyelisihi mazhab muta’akhkhirīn, maka ia di sisi mereka menyelisihi mazhab Aḥmad rahimahullah, sedangkan banyak pendapat yang dijazamkan oleh muta’akhkhirīn menyalahi nas (Imam) Aḥmad. Yang tahu akan tahu. Kamu akan mendapati kitab-kitab mutaqaddimīn daripada aṣḥāb Aḥmad terpulau di sisi mereka. Bahkan, mereka memulau kitab-kitab ulama-ulama pertengahan dan tidak berpegang kecuali dengan kitab-kitab muta’akhkhirīn. Oleh itu, al-Mughnī, al-Sharḥ, al-Inṣāf, al-Furū‘, dan kitab-kitab seumpamanya yang penulisnya menyebutkan perselisihan para imam atau para ulama mazhab tidak dirujuk. Mereka hakikatnya adalah pengikut al-Ḥajjāwī dan Ibnu al-Najjār, bukan pengikut Imam Aḥmad.”

Mohon jawab.

Benar, kadang-kadang ulama bukan Salafī juga menyalahi pendapat imam dan muktamad mazhab sendiri; bahkan ada yang sampai ke peringkat tidak melazimi mana-mana mazhab seperti Syeikh ‘Abd Allāh al-Ghumārī pada akhir usianya, namun bezanya yang dilakukan oleh mereka bersifat peribadi dan secara individu yang tidak mencerminkan manhaj umum aliran mereka, atau dilakukan atas dasar pendapat lain lebih praktikal dan progresif, meraikan maslahat semasa, bersesuaian dengan maqāṣid, menepati adat setempat dan amalan nenek moyang – bukan sebagai usul manhaj yang disepakati oleh setiap penganutnya atau didasari prinsip ittibā‘ dan menolak taqlīd buta, serta mengagungkan dalil sehingga menjadi identiti aliran seperti halnya Manhaj Salafī.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments