Taqlid Mazhab Bagi Orang Awam


OLEH : Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Harus dibezakan antara taqlīd secara mutlak dengan taqlīd kepada mazhab tertentu. Tidak dinafikan bahawa ulama bersepakat bahawa orang awam wajib bertaqlīd, tetapi tentang hukum orang awam bermazhab, mereka berselisih.

Mengikut sebahagian ulama mazhab Shāfi‘ī, wajib bertaqlīd kepada satu mazhab tertentu pada satu-satu masa dalam semua perkara. Imam al-Ghazālī (505 H) ditanya oleh muridnya, Ibnu al-‘Arabī yang bermazhab Mālikī tentang masalah ini, dan jawabnya:

ولا يجوز عدول المالكي لمذهب الشافعي إلا لمن غلب على ظنه أنه أصوب رأيًا، فحينئذ يجب تقليده في جميع المسائل.

“Tidak harus orang yang bermazhab Mālikī berpindah kepada mazhab (Imam) al-Shāfi‘ī kecuali yang berat pada sangkaannya bahawa ia (Imam al-Shāfi‘ī) lebih benar. Maka, dalam keadaan ini, wajib bertaqlīd kepadanya dalam semua perkara.”
Tidak syak lagi bahawa pendapat ini silap, sukar diamalkan, dan bercanggah dengan dalil, sebagaimana kata Imam al-Nawawī dalam Rawḍah al-Ṭālibīn:

وَالَّذِي يَقْتَضِيهِ الدَّلِيلُ أَنَّهُ لَا يَلْزَمُهُ التَّمَذْهُبُ بِمَذْهَبٍ، بَلْ يَسْتَفْتِي مَنْ شَاءَ، أَوْ مَنِ اتَّفَقَ، لَكِنْ مِنْ غَيْرِ تَلَقُّطٍ لِلرُّخَصِ.

“Dan yang berdasarkan dalil, tidak wajib baginya (orang awam) bermazhab dengan mazhab tertentu, bahkan ia boleh meminta fatwa daripada sesiapa yang dikehendaki, atau sesiapa yang berkebetulan, tetapi tanpa mencari-cari pendapat yang mudah.”
Kata al-Samhūdī (911 H), “maka, penjelasannya bahawa yang demikian itu berdasarkan dalil memadai untuk mentarjīhkannya” (yakni sebagai mazhab Imam al-Nawawī). Maka, ini adalah pegangan Imam al-Nawawī, dan sebenarnya juga pegangan aṣḥāb mutaqaddimīn yang asli. Al-Nawawī menukilkan daripada Abū al-Fatḥ al-Harawī, ulama mutaqaddimīn mazhab bahawa katanya:

مَذْهَبُ عَامَّةِ أَصْحَابِنَا أَنَّ الْعَامِّيَّ لَا مَذْهَبَ لَهُ، فَإِنْ وَجَدَ مُجْتَهِدًا قَلَّدَهُ. وَإِنْ لَمْ يَجِدْهُ، وَوَجَدَ مُتَبَحِّرًا فِي مَذْهَبٍ، فَإِنَّهُ يُفْتِيهِ عَلَى مَذْهَبِ نَفْسِهِ، وَإِنْ كَانَ الْعَامِّيُّ لَا يَعْتَقِدُ مَذْهَبَهُ.

“Mazhab kesemua aṣḥāb kita, orang awam tidak mempunyai mazhab. Sekiranya ia menemui seorang mujtahid, maka ia perlu mengikutinya. Jika tidak dan ia menemui pakar dalam mazhab tertentu, maka ia boleh berfatwa kepadanya (orang awam itu) mengikut mazhabnya sendiri, meskipun orang awam itu tidak berpegang dengan mazhabnya.”

Beginilah amalan pada zaman salaf sebelum mazhab-mazhab disusun. Hakikatnya, sedar atau tidak sedar, kita kini kembali mengamalkan pendapat ini. Orang awam kita, meskipun mengaku bermazhab Shāfi‘ī namun hakikatnya tamadhhub mereka hanyalah sekadar nama. Kata Ibnu Abī al-Dam (642 H) sebagaimana yang dinukilkan daripadanya dalam masalah berimamkan orang yang berlainan mazhab:

وهذا الخلاف كله في المجتهدين، فأما عوام الناس المقلدون في الأحكام فليسوا المقصودين من هذا الخطاب، فإنهم لا مذهب لهم يقومون عليه، وإنما فرضهم التقليد عند نزول النازلة، فمن أفتاهم من أهل الفتوى وجب عليهم قبول قوله، وإنما انتسابهم للمذاهب محض عصبية، ومعناه: أنه ارتضى أن يعمل في عبادته وكل أحواله بقول الإمام الذي انتسب إليه.

“Perselisihan ini semuanya tentang mujtahid. Adapun orang awam yang muqallid dalam hukum-hakam, mereka tidak dimaksudkan dengan perkara ini, kerana mereka tidak mempunyai mazhab yang dijadikan pegangan. Mereka cuma wajib bertaqlīd ketika ada masalah berlaku. Oleh itu, mana-mana orang yang layak berfatwa memberikan fatwa kepada mereka, wajib mereka menerima fatwanya. Penisbahan diri mereka kepada mazhab adalah semata-mata penggolongan, yakni mereka senang hati untuk beramal dalam ibadat dan kesemua urusan mereka dengan pendapat imam yang dinisbahkan kepadanya itu.”

Punca sebahagian ulama mewajibkan orang awam melazimi satu mazhab adalah untuk mengelakkan tatabbu’ rukhās. Kata al-Nawawī, “barangkali orang yang melarangnya (orang awam daripada tidak bermazhab) tidak yakin bahawa ia tidak akan bertatabbu’ rukhaṣ.” Namun, kata al-Samhūdī:

وما زعمه الموجب من النظر إلى المصلحة الآن في وجوب ذلك لئلا يلتقط الرخص بخلاف العصر الأول فلم تكن مذاهب مدونة فيتلقط رخصها، جوابه: أنا إذا جعلنا تلقط الرخص محذورًا على الخلاف الآتي فيه فقد خرجنا عن عهدته بقولنا: (ما لم يتبع الرخص) إذ هو الممتنع، لا ما تجرد عنه.

“Dakwaan golongan yang mewajibkan berupa mengambil kira maslahat sekarang untuk mewajibkannya (bermazhab) supaya tidak berlaku tatabbu’ rukhaṣ, berbeza dengan zaman dahulu kerana mazhab-mazhab belum disusun untuk memungkinkan berlakunya tatabbu’ rukhaṣ, maka jawabnya: apabila kami melarang tatabbu’ rukhaṣ – dengan khilaf yang akan datang – maka kami sudah terlepas daripadanya dengan kata kami, ‘selagi ia (orang awam itu) tidak bertatabbu’ rukhaṣ’ kerana yang demikian itu dilarang, tidak yang bebas daripadanya (tatabbu’ rukhaṣ).”


Sebenarnya, tatabbu’ rukhaṣ boleh dikekang dengan membudayakan manhaj beragama dengan dalil, bukan dengan taqlīd buta. Dengan mengajak orang awam mengikut dalil, bukan sahaja pendapat-pendapat yang syaz, malah pendapat yang lemah dalam mazhab-mazhab muktabar – seperti pendapat harus berkahwin tanpa wali, tidak sunat bersedekap, dan tidak wujud khiyār majlis –, (serta pendapat harus tatabbu’ rukhās itu sendiri dan pendapat tidak wajib bermazhab, bagi golongan yang mewajibkan) boleh ditangani.

Wallahualam.

Comments