Kelebihan Solat Tarawih



OLEH : Ustaz Muhammad Fahmi Rusli

Antara kelebihan solat tarawih, ia mendatangkan keampunan dosa buat mereka yang melaksanakannya dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran. Rasulullah SAW bersabda :

مَن قَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا واحْتِسَابًا، غُفِرَ له ما تَقَدَّمَ مِن ذَنْبِهِ
Terjemahan : Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan (tarawih) dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran, akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.
Riwayat Al-Bukhāri dalam Al-Sahīh (37)
Al-Imām Al-Nawāwi رحمه الله (w. 676 h) ketika mengulas berkenaan dosa-dosa yang diampunkan menerusi amalan soleh sebegini, beliau berkata :
فَإِنْ وَجَدَ مَا يُكَفِّرُهُ مِنَ الصَّغَائِرِ كَفَّرَهُ وَإِنْ لَمْ يُصَادِفْ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً كُتِبَتْ بِهِ حَسَنَاتٌ وَرُفِعَتْ بِهِ دَرَجَاتٌ وَإِنْ صَادَفَتْ كَبِيرَةً أَوْ كَبَائِرَ وَلَمْ يُصَادِفْ صَغِيرَةً رَجَوْنَا أَنْ يُخَفِّفَ مِنَ الْكَبَائِرِ
Terjemahan : Sekiranya ia (amalan soleh) menemukan dosa-dosa kecil yang boleh diampunkan dengannya, maka ia akan memadamkan dosa-dosa kecil tersebut. Sekiranya ia tidak bertemu dengan dosa kecil atau dosa besar, maka akan dicatat buat diri pelakunya disebabkan amalan tersebut kebaikan yang banyak dan diangkat dirinya sebanyak beberapa darjat. Sekiranya ia bertemu dengan satu atau banyak dosa besar, dan tidak bertemu dengan dosa kecil, maka kami berharap ia dapat meringankan dosa-dosa besar.
Rujuk Syarah Al-Nawāwi ‘ala Muslim (3/113)
Kesimpulannya, amalan soleh seperti tarawih dapat menghapuskan dosa kecil, meringankan dosa besar, dan mengangkat darjat seseorang yang mengerjakannya.
✍🏻 Muhammad Fahmi Rusli

Comments