OLEH : Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Wanita tidak perlu meminta izin ibu bapa atau suami untuk menaiki kereta berdua bersama lelaki lain. Serius? Ya, sangat serius. Tidak perlu, kerana tidak perlu meminta izin untuk perkara haram. Perlukah meminta izin untuk berzina?!
Keluar berdua dalam satu kenderaan tanpa ditemani orang lain termasuk dalam khalwat yang dilarang. Tidak kisah sama ada kenderaan itu dipandu oleh tunang, adik ipar, pemandu Grab, atau (Ustaz) Izzat, hukumnya sama. Bapa atau suami yang membiarkan – apalagi mengizinkan – wanita di bawah jagaannya keluar dalam keadaan ini tanpa apa-apa keuzuran seperti dalam kes kecemasan adalah lelaki yang dayus. Wanita yang melakukannya perlu khuatir kerana mereka sudah kehilangan lelaki yang bertanggungjawab.
Pada hari ini, kemungkaran ini dilihat sudah diterima umum dan mendarah daging dalam masyarakat. Suami yang melarang dan bapa yang menegur mungkin dianggap kolot dan mengongkong. Lelaki dan wanita yang melakukannya – tidak kira siang atau malam, duduk sebelah-menyebelah atau depan belakang, kereta bercermin gelap atau cerah, mahupun jarak perjalanan dekat atau jauh – tidak berasa salah sedikit pun, malah siap rakam dan buat TikTok lagi, kecuali jika sudah berpunya (dan itupun cuma kerana curang kepada pasangan, bukan kerana berdosa kepada Tuhan. Sebab itulah ramai suami isteri sangat marah jika mendapat tahu bahawa pasangan mereka keluar berdua dengan orang lain, sedangkan mereka sendiri pernah keluar berdua zaman “couple”).
Jika ada lelaki di luar sana yang dari awal tidak selesa membiarkan anak isteri keluar dengan ajnabi sama ada atas urusan peribadi atau kerja dan ingin bertaubat tetapi tidak tahu bagaimana hendak melarang, lebih-lebih lagi dosa ini sudah menjadi budaya dan tidak kedengaran pula ada fatwa yang mengharamkan, rasanya anda sudah mempunyai alasan yang kukuh untuk menegur dan mengugut untuk menarik semula nafkah bulanan atas alasan nusyuz. Jika isteri masih berdegil, anda perlu bersedia untuk membina rumah tangga baharu, kerana dalam hubungan kita perlu ada prinsip: Tiada sayang, tiada setia melebihi sayang dan setia kepada Tuhan.
Ini hukum asal dan umum. Dalam keadaan-keadaan yang tertentu kita mungkin terpaksa keluar berdua. Sekiranya keadaan ini berlaku maka maklumkan dahulu kepada pasangan supaya tidak ditohmah, elakkan duduk sebelah-menyebelah, dan kalau boleh buka tingkap terutamanya jika kereta bercermin gelap dan bawa kanak-kanak walaupun belum baligh sebagai peneman. Pada masa yang sama, jangan lupa beristighfar dan mencari jalan untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang pada masa akan datang.
Ini cuma baru satu masalah daripada ribuan isu yang kita hadap setiap hari, yang mencabar keimanan dan kepatuhan kita kepada syariat Rabbulalamin. Semoga diampunkan dosa-dosa yang lalu dan diberi taufik oleh Allah SWT untuk tidak mengulanginya semula.
Comments
Post a Comment