OLEH : Ustaz Muhammad Fahmi Rusli
Seseorang itu tidak dapat masuk ke dalam syurga, sehinggalah dia telah melalui beberapa proses pembersihan dan penyaringan terlebih dahulu.
Menurut Al-Imām Ibn Qayyim Al-Jauziyyah رحمه الله (w. 751 h), proses ini di dunia berlaku dengan empat cara :
بالتّوبة، والاستغفار، والحسنات الماحية، والمصائب المكفِّرة
Meskipun begitu, sekiranya empat perkara ini masih belum membersihkan seseorang itu dari noda dan dosa, proses ini berlanjutan pula di alam barzakh dengan tiga perkara :
أحدها: صلاة أهل الإيمان عليه، واستغفارهم له، وشفاعتهم له.
الثّاني: تمحيصه بفتنة القبر
الثّالث: ما يُهدي إليه إخوانُه المسلمون من هدايا الأعمال، من الصّدقة عنه، والحجِّ عنه، والصِّيام عنه، وقراءة القرآن، والصّلاة؛ وجعل ثوابِ ذلك له. وقد أجمع النّاسُ على وصول الصّدقة والدُّعاء،
Terjemahan : Pertama : Solat golongan beriman ke atas dirinya, istighfar dan syafa’at mereka buat dirinya.
Kedua : Dibersihkan dirinya dengan fitnah (ujian) kubur.
Ketiga : Pahala amalan soleh yang dihadiahkan oleh saudara-saudaranya yang beriman, seperti sedekah bagi pihak dirinya, melakukan haji, berpuasa bagi pihak dirinya, membaca Al-Quran, mendirikan solat, dan pahala amalan tersebut semuanya dihadiahkan kepadanya. Para ulama telah bersepakat akan sampainya pahala sedekah dan doa (kepada orang yang telah mati).
Dan sekiranya tiga proses ini masih belum mencukupi, maka seseorang itu akan disaring lagi pada mauqif (hari akhirat) kelak dengan tiga cara :
أهوال القيامة وشدّة الموقف، وشفاعة الشُّفعاء، وعفو الله.
Terjemahan : Kegerunan hari kiamat dan kedahsyatan mauqif, syafa’at dari para pemberi syafa’at, serta kemaafan daripada Allah SWT.
Kata Ibn Al-Qayyim lagi :
فإن لم تف هذه الثّلاثة بتمحيصه، فلا بدّ له من دخول الكِير رحمةً في حقِّه، ليتخلّص ويتمحَّص ويتطهَّر في النّار، فتكون النّارُ طهرةً له وتمحيصًا لخَبثه، ويكون مَكْثُه فيها على حسبِ كثرة الخَبَث وقلّته، وشدّته وضعفه فإذا خرج خَبَثُه أُخرِجَ من النّار، وأُدخِلَ الجنّة.
Terjemahan : Sekiranya tiga perkara ini masih belum mencukupi untuk membersihkan dirinya, maka tidak dapat tidak dia kena masuk juga ke dalam kepanasan api neraka sebagai suatu rahmat pada hak dirinya, untuk dia dibersihkan, disaringkan, serta disucikan di dalam neraka. Maka api neraka menjadi penyuci buat dirinya juga sebagai pembersih kotoran-kotoran dirinya. Tempoh duduknya dia di dalam neraka adalah mengikut kepada banyak dan sedikitnya dosa, juga berat dan lemahnya ia. Dan apabila telah habis segala kotoran dosanya, dia pun akan dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
Rujuk Madārij Al-Sālikīn, Ibn Al-Qayyim (1/217-219)
Semoga Allah SWT memasukkan kita semua ke dalam syurga dengan keluasan rahmat-Nya. Amēn.
Comments
Post a Comment