OLEH : Ustaz Muhammad Fahmi Rusli
Saya nak ulas berkenaan solat qabliah zuhur kepada jemaah yang solat di surau-surau pejabat yang mengadakan kuliah zuhur.
Biasanya kuliah zuhur bermula jam 1.00 tengah hari dan tamat pada 1.45 tengah hari. Kemudian diteruskan dengan solat fardu zuhur.
Solat qabliah zuhur termasuk dalam 10 solat rawatib yang mu’akkad di sisi ulama Al-Syāfi’eyyah.
Kata Al-Imām Al-Nawāwi رحمه الله (w. 676 h) :
أَحَدُهُمَا: رَاتِبَةٌ تَسْبِقُ الْفَرِيضَةَ فَيَدْخُلُ وَقْتُهَا بِدُخُولِ وَقْتِ الْفَرِيضَةِ، وَيَبْقَى جَوَازُهَا مَا بَقِيَ وَقْتُ الْفَرِيضَةِ. وَوَقْتُ اخْتِيَارِهَا مَا قَبْلَ الْفَرِيضَةِ.
Terjemahan : (Solat sunat ratibah) yang pertama : Solat ratibah yang mendahului solat fardu. Waktunya masuk dengan masuknya waktu solat fardu, dan kekal waktu harus pelaksanaannya selama waktu solat fardu masih berbaki. Waktu terpilih untuk pelaksanaannya adalah sebelum solat fardu.
Rujuk Raudah Al-Tālibīn, Al-Nawāwi (1/337)
Sekiranya solat qabliyah dilakukan selepas solat fardu, adakah ia dikira sebagai qada’ ? Jawapannya : Tidak. Ia dikira ada’ (أداء), kerana ia dilakukan dalam waktunya.
Kata Al-Syaikh Hasan bin Ahmad Al-Kāf :
القبلية : يدخل وقتها بدخول وقت الفريضة ويخرج بخروجه، فيجوز أن تكون القبلية بعد فعل الفريضة وتكون أداء
Solat qabliah : Waktunya bermula dengan masuknya waktu solat fardu dan waktunya tamat dengan tamatnya waktu solat fardu. Maka boleh dilakukan qabliah selepas solat fardu dan ia dikira sebagai ada’ (dilakukan di dalam waktunya).
Rujuk Al-Taqrīrāt Al-Sadīdah (Halaman 285).
Justeru, jika para jemaah tidak sempat untuk qabliah zuhur kerana mengikuti kuliah zohor yang diadakan di surau-surau pejabat, boleh sahaja mereka melakukan solat qabliah tersebut selepas selesai solat fardu.
Bahkan jika seseorang itu tidak sempat melaksanakan solat qabliah kerana kesibukan urusan, dia boleh sahaja melakukannya setelah berlalu waktu bagi solat fardu. Ini dikira sebagai qada’ solat qabliah.
Kata Imam Al-Nawawi :
أَنَّ الصَّحِيحَ عِنْدَنَا اسْتِحْبَابُ قَضَاءِ النَّوَافِلِ الرَّاتِبَةِ
Pendapat yang sahih di sisi kami adalah mustahab hukumnya untuk mengqadakan solat-solat sunat ratibah.
Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/43) Rasulullah SAW pernah dikunjungi delegasi sehingga menyebabkan baginda tidak sempat melakukan qabliah zuhur. Baginda kemudian melakukannya setelah masuk waktu asar.
Wallahul Muwaffiq.

Comments
Post a Comment