Merendahkan Nama Rasululah Dan Para Sahabat

OLEH: Taufiq Tuah

Nama Rasulullah SAW pada nabi junjungan besar kita pada akhir-akhir ini telah diperendahkan. Nama Muhammad di Nusantara bukan sahaja menjadi nama kepada Rasulullah SAW, tetapi juga merupakan nama kepada ramainya Muslim di Nusantara. Di Kad Pengenalan (KTP) mereka dituliskan nama 'Muhammad' atau 'Muhd' atau 'Mohamad' atau 'Mohd' di hadapan namanya. Menunjukkan betapa sinonimnya nama junjungan besar itu dengan masyarakat kita.

Namun disebabkan nama yang panjang, ada segelintir masyarakat yang suka memendekkan nama junjungan itu dengan nama 'kampung' yang akhirnya menjatuhkan martabat nama tersebut. Seperti, Muhammad yang disingkatkan menjadi 'Mamat' atau 'Mat'. Aminah disingkatkan menjadi 'Minah'. 'Uthman' menjadi 'Seman'.

Lalu Mamat dan Minah ini menjadi kata sinonim bagi perkataan 'lelaki' dan 'perempuan' bagi Melayu di Selatan Semenanjung. Tetapi penggunaannya kata ganti itu hanya kepada hal yang kurang baik seperti 'Mat Gian' dan 'Minah Rempit'. Hal yang sama juga telah diterangkan oleh Dr Kamilin Jamilin.

Malah masyarakat juga terkadang menganggap nama-nama Rasulullah SAW dan para sahabat ini sebagai nama-nama kampung. Maka sudah jarang orang yang menamakan nama anak mereka 'Fatimah' atau 'Aminah' atau 'Abdullah' atau 'Omar' atau 'Osman' atau 'Ruqayah'. Hal ini membuktikan bahawa nama-nama golongan mulia ini kurang tempatnya di hati masyarakat moden.

Lagi kan pula di TV banyak menyiarkan cerita yang mempunyai judul yang memburukkan nama-nama itu. Misalnya, nama ibu susuan nabi, Halimah Al-Sadiah yang ada sinonim namanya dengan drama bersiri 'Halimah Jonggang'. Akhirnya masyarakat tidak mahu menamakan nama anaknya 'Halimah' kerana takut akan jongang kelak. Juga drama bersiri 'Fatimah Juling' yang telah meminjam nama putri Rasulullah SAW untuk dijadikan bahan olokan.

Ada juga masyarakat pada hari ini yang tanpa segan silu memanggil nama Rasulullah SAW dan para sahabat dengan panggilan yang tidak menghormati junjungan itu. Misal, nama Rasulullah SAW dipanggil 'Che Mat'. Namun isu itu bukanlah isu pertama yang mengeluarkan nama kurang hormat terhadap baginda. Sebelum ini ada juga di meja-meja penceramah yang menyebut 'Si Muhammad' dan pernah juga viral ketika dahulu orang yang menyebut 'Si Khadijah'. Perkataan 'Si' atau 'Che' atau 'Dak' ialah perkataan harian sesama kita dalam pergaulan. Namun sangat tidak sesuai untuk kita gunakan julukan yang sama terhadap junjungan kita Rasulullah SAW dan para sahabat. Hal ini kerana perkataan tersebut bakal merendahkan kemuliaan seseorang yang telah mulia martabatnya.

لَّا تَجْعَلُوا دُعَاءَ الرَّسُولِ بَيْنَكُمْ كَدُعَاءِ بَعْضِكُم بَعْضًا...
Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu...
[Surah An-Nur: 63]

Tidak pernah di dalam budaya adat masyarakat Melayu menyebut 'Si Sultan' dihadapan Sultan mereka. Kerana menjaga lisan dalam memuliakan sultan. Begitulah juga terhadap Rasulullah SAW, perlulah dijaga lisan dalam menyandarkan nama baginda.

Wallahualam


___________________________
      Taufiq Tuah
      ~
Lajnah Makalah Agama
_____________________________

Comments