OLEH: Ustaz Abid Annuriyy
Abu Bakr al-Siddiq (Allah ridha kepadanya) berkata,
“Saya tidak meninggalkan Sunnah Rasul saw yang baginda amalkan, melainkan pasti saya amalkan, saya takut sekiranya saya meninggalkannya saya menjadi sesat.”
Umar ‘Abd al-‘Aziz berkata, “Tiada pendapat bagi seseorang bersama Sunnah yang disunnah oleh Nabi saw.”
Ahmad ibn Hanbal berkata, “Sesiapa yang menolak hadith Rasul, maka ia berada di jurang kebinasaan.”
‘Alim Madinah Ibn Abi Zi’b membacakan satu hadith Nabi, lalu ditanya “Adakah kamu mengambilnya?”. Ibn Abi Zi’b memukul dada lelaki tersebut.
Sesungguhnya salaf menzahirkan Sunnah yang telah ditinggalkan dan tersembunyi. Mereka menganggap itu adalah kewajipan mereka terhadap Sunnah Rasulillah saw.
Contohnya; ketika mendengar hadith bahawa Allah di atas segala makhluk dan istiwa’ di atas arsy, wajib terus beriman, menerima dan tunduk kepadanya. Bukan menolaknya dengan pelbagai alasan dangkal. Begitu juga Sunnah mengeluarkan zakat fitrah dengan makanan ruji, wajib tunduk tanpa mendebatkannya, atau mengambil pendapat lain dengan alasan khilaf atau lebih menepati maslahah.
Ibn ‘Abbas berkata, Nabi melihat emas di tangan seorang lelaki lalu mencabutnya dan melemparkannya. Nabi berkata, “Seseorang dari kamu sengaja mengambil satu bara neraka lalu meletakkannya di tangannya!.” Setelah Nabi berlalu pergi, dikatakan kepada lelaki itu, ‘Ambillah cincin itu kembali dan gunakanlah ia.’ Lelaki itu berkata, “Tidak demi Allah, saya tidak akan mengambilnya selama-lamanya, sungguh ia telah dilemparkan oleh Rasulullah saw.” (Sahih Muslim).
Sahabi ini sangat bersungguh-sungguh mematuhi Nabi, sangat menjauhi larangan baginda, dan tidak mengambil rukhsah dengan ta’wilan-tawilan yang lemah.
[Gerakan PENA Malaysia]

Comments
Post a Comment