'Grup' Whatsapp Keluarga

OLEH : Ustaz Idris Sulaiman

Zaman sentiasa berubah, demikian juga uruf dan adat manusia. Dahulu, bertanya khabar dilakukan melalui ziarah atau berutus warkah. Pada hari ini, ia lebih mudah dengan adanya aplikasi seperti WhatsApp.

Namun begitu, kewajipan menjaga hubungan silaturahim tetap kekal dan tidak berubah. Antara bentuknya ialah memberi salam serta bertanya khabar, dan hal ini boleh dicapai melalui grup keluarga di aplikasi WhatsApp yang lazim diwujudkan pada masa kini.
Maka, menyertai grup WhatsApp keluarga boleh dianggap sebagai salah satu cara menjaga silaturahim. Adapun perselisihan dan perbezaan pendapat dalam kalangan ahli keluarga adalah lumrah kehidupan yang memerlukan kesabaran dan toleransi.
Oleh itu, tidak wajar seseorang terbawa-bawa dengan emosi sehingga bertindak keluar daripada grup WhatsApp keluarga, kerana tindakan itu dibimbangi termasuk dalam erti memutuskan silaturahim.
Sedangkan Nabi ﷺ bersabda:
Barang siapa mahu supaya dilapangkan rezekinya atau dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silaturahim.”
[Sahih, riwayat Bukhari dan Muslim]
Sabdanya ﷺ:
Orang yang menyambung silaturahim bukanlah sekadar dengan membalas kebaikan ahli kerabatnya. Sebaliknya, orang yang menyambung silaturahim ialah apabila diputuskan hubungan dengannya, dia tetap berusaha menyambungnya.”
[Sahih, riwayat Bukhari]
Semoga kita semua diberi taufik.

Dr. Idris bin Sulaiman

Comments