Sekolah, Murid, dan Fitnah Pandangan: Wacana yang Kita Jarang Sentuh


OLEH : Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Semasa di sekolah menengah, saya menulis surat kepada sekolah mencadangkan beberapa perkara, antaranya meja perempuan diletakkan di belakang meja lelaki, seperti kedudukan semasa solat berjemaah. Tetapi, mungkin demi maslahat pelajar perempuan, cadangan ini tidak dilaksanakan ketika itu. (Sekarang, sekolah saya itu sudah pun mengasingkan kelas lelaki perempuan. Syukur.)
Saya memberi cadangan ini kerana menyedari pandangan rakan-rakan lelaki dalam kelas tidak terjaga daripada melihat perempuan yang berada di tepi, apatah lagi di hadapan. Tudung labuh semata-mata tidak cukup untuk menjaga pelajar perempuan daripada menjadi mangsa mata pelajar lelaki yang nakal, dan apabila perempuan berada di depan, sudah tentu mereka seperti orang mengantuk disorongkan bantal.
Selaku pengawas saya pernah menegur seorang pelajar lelaki yang tidak masuk bersolat zohor bersama, sebaliknya menunggu di tangga masjid. Katanya, dia tidak boleh solat, bahkan haram memasuki masjid. Alasannya, ada "sesuatu" keluar daripada tubuhnya dan "entahlah, orang perempuan terlalu cantik." (Walau bagaimanapun, saya kira dia tertukar antara mazi dengan mani.)
Masalah di sekolah mana sekalipun ialah percampuran (ikhtilat) yang ditegah agama. Tetapi, hal ini diambil mudah oleh pihak guru dan orang atasan sendiri. Rukhsah perempuan mengajar lelaki dan lelaki mengajar perempuan yang termaktub dalam kitab-kitab fiqh dengan syarat-syarat yang ketat diambil kesempatan semahu-mahunya. Fitnah antara lelaki dengan perempuan tidak disekat, malah dibiarkan dan kadang-kadang seperti disengajakan.
Bagaimana tidak, bukankah sekolah sendiri yang mengajar perempuan supaya tidak malu berbusana, menyanyi, berlakon, dan menari di atas pentas sekolah? Bukankah guru-guru perempuan sendiri yang bermekap, bertudung singkat, dan berkurung sendat untuk ditatap oleh murid-murid lelaki? Bukankah sekolah sendiri yang membiarkan (atau malah menggalakkan?) pelajar dengan ghairah dan bersemangatnya menyanyikan lagu-lagu cinta dan maksiat?
Tidak dinafikan bahawa kes-kes yang tidak diingini seperti yang didengari hari ini mempunyai banyak faktor. (Sekolah satu jantina pun ada masalah gay dan lesbian.) Ya, benar, tetapi kalau sudah tahu begitu, bukankah kita sepatutnya mengambil langkah-langkah pencegahan dengan lebih serius? Namun begitulah... kita lebih suka meratapi kemalangan yang sudah terjadi daripada bermuhasabah dengan menurap segala lubang supaya ia tidak berulang - lagi, lagi, dan lagi.



Comments