Cukai Dan Zakat Di Dalam Pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

ZAKAT BOLEH DIISTILAHKAN SEBAGAI SALAH SATU CABANG CUKAI

Ini satu polimik yang panjang apabila isu apakah zakat termasuk salah satu jenis cukai. Setelah melihat dengan saksama dari sudut akal budi Melayu maka secara umum boleh dikatakan bahawa zakat merupakan salah sati instrumen cukai. Namun kita ingin dimaksudkan 100% persis sama, maka ia tidak berapa tepat. Tetapi pada dasarnya ia menepati takrifan masing-masing. Berikut adalah takrifan zakat dan cukai:

Takrifan Zakat : nama bagi suatu pengambilan tertentu dari harta yang tertentu, menurut sifat-sifat yang tertentu dan untuk diberikan kepada golongan tertentu (Al Mawardi dalam kitab Al Hawiy)

Takrifan Cukai : Mengeluarkan harta tertentu dengan nilai tertentu kepada kerajaan


Daripada sini kita melihat bahawa wujud kesamaan yang sangat akrab iaitu:

1) Harta tertentu
2) Di pungut oleh orang tertentu. Malah amil zakat hanya boleh dilantik oleh kerajaan.
3) Kiraan dan ciri-ciri tertentu

Maka berdasarkan kedua-dua takrifan ini, saya membuat kesimpulan bahawa "pada umumnya zakat boleh dikelompokkan ke dalam cukai dalam Budaya Melayu kerana kesamaan takrifannya, namun jika ditinjau para perincian kaifitanya dan hakikatnya maka wujud perbezaan yang mendasar".


BANGSA ARAB MEMILIKI BANYAK ISTILAH KHUSUS
Bahasa Melayu memiliki sifat yang berbeza dari Bahasa Arab, begitu juga Bangsa Melayu berlainan sifat dengan Bangsa Arab.Dalam Bahasa Melayu, tidak wujud makna untuk sebuah suku kata tetapi dalam Bahasa Arab ia terjadi, seperti kata "yad" yang membawa makna tangan.

Sedangkan dalam Bahasa Melayu, sebuah makna perlu wujud paling kurang dua suka kata, sehingga Bahasa Melayu dilihat sebagai bahawa yang berkonsepkan 'gam' iaitu perlu menggabungkan beberapa suku kata untuk mewujudkan makna.Begitu juga bahawa Bangsa Melayu tidak terlalu menitikberatkan kepada perincian dalam setiap perkara, sehingga kita memiliki istilah-istilah umum.

Namun Bangsa Arab sebaliknya, mereka terlalu banyak istilah khusus dalam sesuatu perkara. Paling mudah dalam bab zakat adalah perincian tentang haiwan ternakan. Cuba kita lihat istilah yang digunakan oleh Arab dalam Zakat Ternakan.

Zakat Unta Ternak

Jumlah Unta ---- Kadar Zakat

25-35 = 1 ekor unta Bintu Makhad
36-45 = 1 ekor unta Bintu Labun
45-60 = 1 ekor unta Hiqah
61-75 = 1 ekor unta Jadz’ah
76-90 = 2 ekor unta bintu Labun
91-120 = 2 ekor unta Hiqah

(1) Bintu makhad: Unta betina yang berumur telah 1tahun
(2) Bintu labun: Unta betina yang telah berumur 2 tahun
(3) Hiqqah: Unta betina yang telah berumur 3 tahun
(4) Jadza’ah: Unta betina yang telah berumur 4 tahun

Apakah wujud Istilah Khusus untuk Unta dalam Masyarakat Melayu?

Bila kita sebut Akal-Budaya, maka perkara utama adalah melihat kepada makna yang terkandung dalam kalimat Bhudi dan Dhaya. Ia adalah bahasa sanskrit dan orang melayu sebelum Islam adalah manusia beragama Budha - Hindu. Sebab itu di candi-candi Melayu, sukar dijumpai patung2 selain Gautama sebab orang Melayu condong kepada Budha. Ketika ini Umat Melayu bersembahyang kepada Buddha dan dewata Hindu.

Setelah Islam masuk maka mereka menggunakan istilah sembahnyang untuk solat. Lalu benarkah hal ini?


Takrifan Sembah Hyang Dan Solat

Sembah Hyang : memuji dan memuja Dewa Hyang dengan mantra tertentu

Solat : ibadah yang dimulakan dengan takbir dan diakhiri dengan salam

Daripada takrifan di atas kita dapati bahawa Sembah Hyang dan solat sangat jauh beza, pada zatnya dan pada kaifiatnya dan pada hakikatnya! Namun yang sama hanya pada sisi lafaz bahasa untuk solat iaitu berdoa. Namun bagaimana umat Islam Melayu boleh menerimanya? Ini berlaku sebab perubahan takrifan bahasa oleh orang Melayu.

Apakah pernah berlaku dalam hidup kita situasi seperti di bawah:

1) Orang kafir berkata "saya mau pergi sembahyang"
2) Ada tulisan "Upacara Sembahyang"
3) Kita tanya kat orang kafir "Apek, ini limau sembahyang kah".

Kalau mengikut hakikat sebenar, mungkin penyebutan "sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan" merupakan kesalahan yang fatal! Tetapi nampaknya hal ini tidak dijadikan satu permasalahan oleh umat Melayu. Lalu bagaimana 2 benda yang berbeza tetapi akhirnya dijadikan sama? Ini sebab fungsi Bahasa yang dinamik. Ada dua sikap dalam hal ini iaitu:

1) Mengembangkan skop perkataan seperti perkataan sembahyang dikembangkan kepada solat.
2) Mengambil dan mengubahsuai perkataan asing dan dimelayukan seperti garpu.

Ada satu hal yang perlu kita perhatikan lagi:

1. Pada pemerintahan seorang Ulama Tabi'in iaitu Abdul Malik Bin Marwan - dia termasuk 4 pemuka tabi'in di Madinah - maka dia mengenakan "Cukai Kepala" yang dinamakan juga sebagai Jizyah kepada Non Arab yang Muslim.

2. Bagaimana perkataan Jizyah ini boleh digunakan kepada golongan tersebut? Lalu apakah perkataan Cukai tidak boleh digunakan untuk Zakat dalam kontek Melayu

3. Umar telah menetapkan zakat kepada Bani Taghlib yang merupakan penganut Nasrani, walhal sebelum ini kita telah nyatakan bahawa zakat hanya dikenakan kepada kaum Muslimin.  Lihat apa yang Ibnu Munzir sebutkan dalam Al Ausath: "Para ulama yang telah hafal pendapat mereka berkata "tidak ada kewajiban membayar zakat bagi ahli zimmah kecuali yang kami sebutkan Nasrani, Bani Taghlib" Dan beliau ulang hal ini dalam Al Ijma' pada bab Jihad.

Setelah merenung, maka kita dapati bahawa ia adalah permasalahan bahasa dan istilah. Justeru sekiranya ia adalah permainan bahasa dan istilah, lantas apakah menjadi haram dan berdosa ketika mana kita menyebutkan bahawa zakat merupakan salah satu instrumen cukai?


JAWABAN KEPADA GOLONGAN YANG MENOLAK PEMASUKAN ZAKAT KE DALAM CUKAI
Saya menemukan sanggahan yang dibuat dari blog Lembaga Zakat Selangor yang ditulis oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid (http://blog.e-zakat.com.my/?p=1314). Berikut adalah jawaban saya kepada beliau sekaligus kepada Lembaga Zakat Selangor.

Perkataan beliau:

1. "Sudah menjadi lumrah, cukai sering dianggap menekan"

2. "Namun Umar al-Khattab r.a sebenarnya lebih mengenakan cukai kepada kalangan orang-orang kafir (khususnya kafir zimmi) yang mendiami negara Islam"

3. "Zakat dikutip daripada orang-orang Islam dan cukai dikutip daripada orang-orang bukan Islam"

4. "Jizyah yang dikenakan ke atas setiap individu non-muslim dalam negara Islam"

5. "Fuqaha juga menyatakan, kutipan seakan-akan cukai hanya boleh dilakukan semasa negara dalam kegawatan"

Dengan 5 hujah inilah beliau mengatakan bahawa zakat tidak boleh disebut sebagai Cukai.


BANTAHAN:

1. Umar mengenakan cukai Import dan Eksport tanpa mengira agama. Lalu apakah Umar menekan rakyat? dan apakah rakyat di bawah pemerintahan Umar rasa tertekan?

2. Umar mengenakan cukai kepada Islam dan Bukan Islam.

3. Umar mengenakan Zakat dan nilaian yang sama kepada Nasrani Bani Taghlib.

4. Jizyah dikenakan dengan nilai yang sama oleh Abd Malik Bin Marwan kepada Muslim Non Arab.

5. Umar mengenakan Cukai dan Kharaj dan dieruskan oleh khalifah seterusnya walau tidak GAWAT.



JENIS-JENIS CUKAI YANG WUJUD
Saya bahagikan jenis perolehan di zaman Khalifah sebagai 3 jenis yang saya istilahkan sebagai cukai. Berikut adalah pecahannya:

JENIS A : Berikut adalah "cukai" yang ditetapkan oleh Syariat Islam:

1. Zakat Maal dikenakan kepada kaum Muslimin
- Ushr adalah zakat atas hasil pertanian atau buah-buahah
- Rikaz adalah zakat atas harta karun
- Emas dan Perak
- Wang Simpanan
- Haiwan Ternakan

2. Jizyah seperti cukai kepala kepada Lelaki Kafir yang mampu


JENIS B : Berikut pula adalah Cukai yang diwujudkan oleh pemerintah Islam:

3. Kharaj adalah cukai tanah pertanian milik negara yang diusahakan oleh kaum Kafir

4. ‘Ushur adalah cukai import dan export barang dagangan


JENIS C : Berikut pula adalah "cukai" yang diperselisihkan dalam Hukum Zakat Maal:

5. 'Zakat' Pendapatan

6. 'Zakat' Perlombongan

7. 'Zakat' Perniagaan


Tandaan:
Daripada memerhatikan Cukai Jenis B maka kita dapat membuat kesimpulan bahawa Kerajaan boleh mewejudkan cukai yang munasabah untuk membangunkan negara.


ZAKAT DAN PENERIMA HARTA ZAKAT
Zakat adalah kewajiban yang Allah kenakan kepada kaum Muslimin yang layak. Terdapat dua jenis zakat iaitu zakat harta dan zakat fitrah yang dikeluarkan saat hari Raya. Yang diberi fokus adalah zakat harta atau Zakat Maal. Dalam pembahagian zakat harta, ada 5 perkara yang disepakai dan 3 perkara yang diperselisihkan.

Seluruh zakat Maal akan dialirkan kepada 8 saluran, berikut adalah senaraikan 8 saluran tersebut:

1. Al Fuqara’ (fakir yang melarat)
2. Al Masakin (orang miskin)
3. Al 'Amilin (dianggap seperti komisyen kepada Amil)
4. Al Muallafah (orang yang sedang berjinak dgn Islam)
5. Dzur- Riqab (hamba yg ingin merdeka)
6. Al Gharim (orang yang terjerat hutang)
7. Al Mujahidin (para tentera yang akan berperang)
8. Ibnu Sabil (musafir yang mengalami musibah)

Melalui 8 saluran di atas, apakah kita melihat wujudnya saluran untuk membangunkan infrastruktur negara seperti jalan raya, stadium, hospital, balai raya, papan tanda dan sebagainya?

Perlu kita ketahui bahawa dalam pengurusan zakat, Nabi dan Khalifah tidak menerima wang untuk zakat kambing, zakat tanaman dan zakat rikaz. Sebaliknya kaum muslimin akan memberikan unta, kambing atau sapi kepada Baitul Mal. Begitu juga memberikan kurma atau gandum atau barli kepada amil. Dan harta zakat tidak akan terpuruk dalam Baitul Mal melebihi 3 hari!

Kesannya apa? Bahawa Baitul Mal tidak akan simpan lama untuk 'membiakkan' keuntungan sepertimana yang berlaku pada hari ini. Malah tidak ada sesiapa yang mahu menyimpan lama kambing yang akan membuat tahi berkepuk.

Secara kesimpulannya, Kaum Muslimin dikenakan beberapa zakat seperti di bawah, satu perbandingan antara kaum muslimin dan ahli zimmah:


# "Cukai" Kaum Muslimin:
1. Zakat Wang simpanan
2. Zakat Emas dan Perak
3. Zakat Haiwan ternak
4. Zakat Tanaman
5. Zakat Perdagangan
6. Zakat Harta Qarun
7. Zakat Amwal Fadhla
8. Zakat Nawaib
9. Zakat Perlombongan
10.Cukai 'Ushur


# Cukai kepada Kafir Zimmi
1. Cukai Jizyah
2. Cukai Kharaj
3. Cukai 'Ushur

Umat Islam dikenakan 9 jenis zakat dan 1 cukai sementara ahli zimmah hanya dikenakan 3 jenis cukai.  Walaupun begitu, ada satu kejadian khusus dimana Umar menetapkan zakat kepada Bani Taglib yang kafir. Mengikut Abu Ubaid berkata: Hadis Zar'ah Ibnu an Nu'man yang menjadi rujukan perlaksanaan hukum bagi mereka iaitu orang yang paling lemah diantara mereka yang diwajibkan mengeluarkan zakat SEBAGAIMANA YANG DIWAJIBKAN KEATAS KAUM MUSLIMIN" (Al Amwaal)


PEROLEHAN CUKAI YANG LAIN
Perolehan cukai yang lain selain zakat boleh disebut sebagai berikut:
1. Ghanimah
2. Fa'i
3. Kharaj
4. 'Ushur
5. Jizyah


Jizyah : Cukai Kepala yang dikenakan kepada Ahli Zimmah kerana tidak memeluk Islam

Harta ini berupa wang yang dikeluarkan kepada orang kafir yang menjadi warganegara dan mereka wajib membayarnya setiap tahun. Abu Ubaid meriwayatkan hadits dalam kitab Al-Amwal dari Hasan bin Muhammad yang mengatakan: "Nabi SAW pernah menukis surat kepada Majusi Hajar untuk mengajak mereka memeluk Islam, “Siapa saja yang memeluk Islam sebelum ini, serta siapa saja yang tidak diambil jizyah atas dirinya, hendaknya sembelihannya tidak dimakan, dan  kaum wanitanya tidak dinikahi" (Al Amwaal)Berikut beberapa penjelasan ringkas tentang jizyah:

1. Jizyah wajib diambil dari orang-orang kafir selama mereka tetap kufur.
2. Jizyah tidak diambil dari orang yang tidak mampu.
3. Jizyah diambil dari kaum lelaki dan tidak wajib bagi kaum wanita, anak-anak dan orang gila.
4. Jizyah tidak ditetapkan dengan jumlah tertentu, bergantung kepada kebijakan khalifah.
5. Harta Jizyah digunakan untuk pembangunan negara.

 Ibnu Abi Najih menuturkan: "Aku bertanya kepada Mujahid, “apa alasannya penduduk Syam dikenakan 4 dinar, sedangkan penduduk Yaman hanya 1 dinar?”, Mujahid menjawab, “hal itu hanya untuk mempermudah” (Al Bukhari)

Jizyah dikenakan kepada orang lelaki Kafir yang mampu atas alasan kekafirannya. Ia bukan wang perlindungan, sehingga jika berlaku peperangan maka mereka lepas bebas, sebaliknya mereka tetap wajib untuk mempertahankan negara.

Kisah diatas menceritakan perbezaan nilai cukai yang berlaku dalam Pemerintahan Dinasti Umawiyah. Syam sebagai pusat pemerintahan dan Yaman yang di hujung Semenanjung Arab mengalami 2 tarif cukai yang berbeza: terlalu besar iaitu 3 dinar bersamaan RM1500.

"Jizyah" mula dikenakan kepada Kaum Muslimin Yang Bukan Arab pada pemerintahan Abd Malik Bin Marwan. Abd Malik Bin Marwan adalah Khalifah pertama yang membuat mata wang Islam.

Maka segala macam pembangunan seperti jalan raya, saluran air bersih, papan tanda, hospital, balairaya, universiti, sekolah, pusat rekreasi dan segala macam harta umum diwujudkan melalui wang jizyah.



Kharaj : Cukai Mengusahakan Tanah Pertanian diatas Tanah Kharajiyah

Tanah Kharajiyah adalah tanah yang dimiliki oleh kerajaan daripada orang kafir melalui peperangan mahupun tidak berlaku pertempuran dimana orang kafir lari kerana takut sebelum tentera Islam menggempur. Abu Ubaid meriwayatkan hadis dalam kitab An-Amwal dari Az Zuhri yang mengatakan:

"Rasulullah saw menerima jizyah dari orang Majusi Bahrain". Az-Zuhri menambahkan, "siapa saja di antara mereka yang memeluk Islam, keIslamannya diterima, dan keselamatan diri dan hartanya akan dilindungi, selain daripada tanah (miliknya). Sebab, tanah mereka adalah harta fai’ (rampasan) bagi kaum Muslimin, kerana orang tersebut sejak awal tidak (mahu) menyerah (sebaliknya melakukan pertempuran), sehingga dia terlindung".

Tanah Kharajiyah merupakan hak milik kerajaan dimana kerajaan memberikannya kepada rakyat untuk diusahakan, walaupun pengusaha adalah seorang muslim.Berikut beberapa penjelasan ringkas tentang kharaj:

1.  3 aspek diperhatikan iaitu luas tanah, luas tanaman, kadar hasil tuaian.
2 Jika hasil tuaian bertambah kerana usaha petani, maka kadar cukai tidak dinaikkan.
3. Jika hasil tuaian berkurang kerana faktor perani maka kadar cukai tetap sama.
4. Jika hasil tuaian bertambah kerana usaha negara, maka negara boleh menambah pungutan kharaj.
5. Jika hasil tuaian berkurang kerana usaha negara maka negara wajib mengurangi pungutan kharaj.

Dana yang terhasil dari cukai tanaman ini akan digunakan 100% untuk pembangunan negara.



Ghanimah : Harta rampasan perang yang berlaku pertempuran

Bentuk-bentuk harta rampasan yang diambil tersebut boleh berupa harta bergerak, harta tidak bergerak, dan tawanan perang. Dilihat dari sejarah perang, kebiasaan ini telah dikenal sejakz aman sebelum Islam. Nabi menyebutkan bahawa ghanimah dibahagikan kepada 2 bahagian besar, iaitu satu bahagian untuk Allah dan satu bahagian untuk tentera. Kemudian Allah berfirman tentang bahagian-Nya:

"Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnu sabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad) di hari furqan, yaitu di hari bertemunya dua pasukan. Dan Allah Mahakuasa atas segala sesuatu" (Al-Anfal: 41)

Pembahagian Ghanimah:

1. 20% untuk Allah, yang kemudian dibahagi menjadi 5 bahagian iaitu

- 4% Rasul (setelah wafat Rasulullah maka menjadi Harta Negara)
- 4% fuqarah dan masakin (kaum fakir miskin)
- 4% zill qurba (untuk kerabat Nabi)
- 4% ibnu as  sabil (musafir yang kehabisan sumber kewangan)
- 4% yatama (anak-anak yatim)

2. 80% untuk : diserahkan bulat sebagai bagian tentara yang ikut serta.

Dalil bahawa tentera yang mendapatkan ghanimah mestilah mereka yang ikut serta: "Ghanimah itu dibagikan kepada orang yang menyaksikan peperangan." (Riwayat at-Tabrani dan Baihaqi)

Nampaknya harta ghanimah boleh digunakan untuk membangunkan negara melalui bahagian Rasul yang telah ditinggalkan setelah kewafatan baginda. Namun bahagian ini sangat kecil.



Fa'i : Harta yang diperoleh dari orang kafir tanpa peperangan atau peperangan yang tidak berlaku pertempuran

Perbezaan antara fa'i dan ghanimah adalah ghanimah merupakan harta yang diperoleh melalui pertempuran sementara fa'i adalah harta yang diambil dari kaum kafir tanpa pertempuran. Seperti ketika kaum kafir mendengar bahawa tentera Islam telah hampir ke perbatasan negara mereka maka mereka melarikan diri dan meninggalkan sebahagian harta mereka. Maka harta ini dianggap sebagai fa'i.

Termasuk harta fa'i adalah tanah yang diperoleh dalam pertempuran (iaitu ghanimah) lalu pemiliknya ditawan kemudian pemiliknya memeluk Islam.Harta fa'i adalah hak milik mutlah Rasulullah saw kemudian setelah itu (iaitu ketika negara ditadbir oleh khalifah) ia adalah hak milik khalifah.

"Apa saja harta rampasan (fai) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (dari harta benda) mereka, maka untuk mendapatkan itu kamu tidak mengerahkan seekor kuda pun dan (tidak pula) seekor unta pun, tetapi Allah yang memberikan kekuasaan kepada Rasul-Nya terhadap siapa yang dikehendaki-Nya. Allah Mahakuasa atas segala sesuatu" (al-Hasyr 59 : 6)

Namun dengan besar hati, Rasulullah saw telah memberlakukan harta fa'i mengikut cara pembahagian ghanimah iaitu dibahagikan kepada 2 bahagian besar. Berikut adalah perinciannya berdasarkan firman Allah:

"Apa saja harta rampasan (fai) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya dari penduduk suatu negeri, maka (harta benda itu) untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak yatim, orang miskin dan ibnu sabil, dan agar supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kalian" (al-Hasyr 59:  7)

1. 20% untuk Allah yang kemudian dibahagikan kepada 5 bahagian kecil:

- 4% Rasul
- 4% fuqarah dan masakin (kaum fakir miskin)
- 4% zill qurba (untuk kerabat Nabi)
- 4% ibnu as  sabil (musafir yang kehabisan sumber kewangan)
- 4% yatama (anak-anak yatim)

2. 80% untuk : diserahkan bulat sebagai bagian tentara yang ikut serta atau dijadikan pembangunan negara.

Setelah Nabi wafat, ulama sepakat menyatakan bahawa harta fa’i menjadi milik negara. Dalam hal ini, menurut ulama, pembagian harta fai diserahkan kepada pendapat dan ijtihad imam. Imam boleh menafkahkan harta itu untuk keperluan apa pun, sejauh menurut ijtihadnya mendatangkan kemaslahatan.

Daripada catatan ini kita mendapati bahawa harta fa'i boleh digunakan untuk memajukan negara seperti membina harta umum.



'Ushur : Cukai yang dikenakan untuk import dan export barang dagangan

'Ushur mula dikenakan pada zaman pemerintahan Umar untuk barang dagangan yang diimport atau di export. Mengikut catatan yang boleh dipercayai bahawa Umar mengenakan cukai ini kepada seluruh ahli perniagaan dan cunai ini dikenakan setiap kali pembawaan masuk barang dagangan atau pembawaan keluar dari sempadan negara.

Cukai ini dikenakan kepada para pedagang tanpa mengira agama. Imam Malik dalam Muwatta’ dan Imam Baihaqi dalam Sunan nya menyebutkan pembahagian kadar cukai tersebut seperti di bawah:

Pedagang dari Kafir Harbi :10%
Pedangang Kafir Zimmi : 5%
Pedangang Muslim : 2.5%

Al-Baihaqi meriwayatkan dari Anas bin Malik yang menuturkan: "Umar telah memerintahku agar aku memungut dari kaum Muslim ¼ ‘usyr (2,5%), dari ahl adz-dzimmahjika mereka perdagangkan sebesar ½ ‘usyr (5 %), dan dari ahl al-harb ‘usyr(10 %)".

Ibrahim bin Muhajir telah meriwayatkan dari Ziyad bin Hudair yang berkata: "Umar mengangkatku menjadi amil untuk memungut ‘usyr. Dia menulis kepadaku agar aku memungut dari pedagang Muslim ¼ ‘usyr (2,5%), dari pedagang ahl adz-dzimmah ½ ‘usyr (5%), dan dari pedagang ahl al-harb ‘usyr penuh (10%)"

Ibn Qudamah menyatakan, semua peristiwa tersebut terjadi di Irak.  Hal sama juga berlangsung di Mesir.

'Ushur ini digunakan untuk pembanguna negara secara total.



JIKA CUKAI MUTLAK HARAM MAKA BAGAIMANA DENGAN PERBUATAN KHALIFAH AR RASYIDIN

Imam As-Syatibi berkata tentang cukai: "Disyaratkan keharusan itu - di sisi mereka (ulama) - adalah pemerintah mestilah adil, dan perbelanjaan dari sudut pengambilan harta dan pemberian harta itu atas jalan yang dibenarkan syarak" (Kitab Al-'Itisam) Ibnu Taimiyah juga menyatakan hal yang sama ketika membahas tentang cukai dan tentang pemilikan harta negara.

Walaupun terdapat dalil-dalil hadis tentang larangan mengambil cukai kepada kaum muslimin, namun tindakan 4 khalifah iaitu Umar, Uthman, Ali dan Muawiyah, menyebabkan kita tertanya-tanya; apakah status larangan tersebut? Apakah statusnya haram secara mutlak atau makhrukh?Saya akan nyatakan cukai yang dibuat oleh para khalifah ar rasyidin bermula dengan Umar.


 Pemerintahan Umar
1. Cukai 'Ushur
2. Cukai Kuda / Unta Yang Membawa Dagangan
3. Pemberhentian zakat kepada mualaf

Lihat Dalil yang menjelaskan bahawa Umar mengambil Zakat Kuda:

Haritsah bin Mudharrib, ia berkata: "Beberapa orang dari negeri Syam datang menemui 'Umar r.a, mereka berkata, 'Kami baru saja memperoleh harta, yakni kuda dan budak. Kami ingin mengeluarkan zakat untuk membersihkannya.' 'Umar berkata: 'Hal itu tidak dilakukan oleh kedua Sahabatku (yakni Rasulullah dan Abu Bakar) lantas apakah aku akan melakukannya.' Kemudian 'Umar bermusyawarah dengan para Sahabat lainnya termasuk di antaranya 'Ali bin Abi Thalib. 'Ali berkata: 'Itu perbuatan yang baik, jika bukan termasuk jizyah yang wajib diambil'," (Hasan, HR Ibnu Khuzaimah dan 'Abdurrazzaq)


Pemerintahan Uthman
1. Meneruskan sistem Umar
2. Menambah Zakat harta terpendam


Pemerintahan Ali
1. Meneruskan sistem Umar
2. Zakat Sayur
3. Cukai Hutan
4. Cukai Perikanan

Tetapi ada diperselisihkan tentang cukai Hasil Hutan dan Hasil Perikanan. Setengah ulama' menolaknya dan setengah ulama' membenarkannya. Menurut Baladhuri, Ali membebankan para pemilik hutan (ajamat) cukai sebanyak 4000 dirham.



Pemerintahan Muawiyah
1. Meneruskan sistem Umar

Muawiyah menubuhkan 'LHDN' pertama dalam negara Islam dengan diberi nama Diwan al Kharaj untuk menguruskan segala jenis cukai. Pada zaman ini, kharaj merupakan sumber utama kerajaan.




MENELITI KONFLIK UMAR DALAM TIMBANGAN EKONOMIS
Terdapat satu kisah dalam buku sejarah tentang antara punca Umar ditentang adalah terhadap masalah tanah di Iraq dan juga tentang tanah yang dimiliki oleh Fatimah. Kononnya Umar telah melakukan penyelewengan kepada tanah-tanah di sana. Untuk melihat kebenaran kisah ini, molek kiranya kita meneliti hadis-hadis berikut:

Kes Tanah Fadak Milik Fatimah
Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam bab Maghazi Bab Hadits Bani an-Nadhir seperti berikut:

Sa`id bin `Ufair meriwayatkan kepada kami, katanya: al-Laits meriwayatkan kepadaku, katanya: Uqail meriwayatkan kepadaku daripada Ibnu Syihab, katanya: Malik bin `Aus bin al-Hadatsan telah menceritakan kepadaku, ketika itu Muhammad bin Jubair bin Mut`im telah pun menyebutkan kepadaku sedikit daripada haditsnya itu lalu aku pun pergi sehingga aku masuk menemui Malik bin Aus al-Hadatsan lalu aku bertanya kepadanya tentang hadits itu

Lalu Malik pun berkata: “Aku masuk menemui `Umar. Selepas itu datanglah penjaga pintu rumahnya, namanya Yarfa`. Dia bertanya: “Mahukah Tuan berjumpa dengan Utsman, Abdul Rahman, Zubair dan Sa`ad (mereka meminta izin untuk bertemu dengan Tuan)?” Dia menjawab: “Boleh. Izinkanlah.” Lalu Yarfa` mengizinkan mereka masuk. Kemudian (tidak lama selepas itu) Yarfa` (datang lagi dan) berkata: “Adakah Tuan mahu bertemu dengan `Ali dan `Abbas?” `Umar menjawab: “Boleh.” (Setelah mereka duduk) `Abbas pun berkata: “Wahai Amiral Mukminin! Putuskanlah / Selesaikanlah kes saya dengan dia ini.” Utsman pun berkata: “Wahai Amiral Mukminin! Elok benar tu, selesaikanlah biar tenang mereka berdua ni.”

`Umar pun berkata: “Bertenang / Nanti dulu. (Sebelum aku buat keputusan) Aku mahu bertanya kepada kamu terlebih dahulu, dengan nama Allah yang mana dengan kebenaran-Nya dan keizinan-Nya tegak langit dan bumi ini, adakah kamu tahu bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dahulu: “Kami tidak diwarisi, apa yang kami tinggalkan merupakan sedekah (untuk orang-orang Islam).” Rasulullah s.a.w. maksudkan dirinya.” Kumpulan itu pun berkata: “Memang, dia ada bersabda begitu.”

Lalu `Umar pun berpaling menghadap `Ali dan `Abbas lalu dia berkata: “Aku mahu bertanya kepada kamu, dengan nama Allah yang mana dengan kebenaran-Nya dan keizinan-Nya tegak langit dan bumi ini, adakah kamu tahu bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda demikian?” Mereka berdua pun menjawab: “Memang, dia ada bersabda begitu.” `Umar berkata: “Maka seseungguhnya aku ceritakan kamu tentang perkara ini. Sesungguhnya harta ini Allah khususkan untuk Rasul-Nya s.a.w., Allah tidak beri kepada sesiapa pun selainnya.

Firman Allah: Dan apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (dari harta benda) mereka, maka untuk mendapatkan itu kamu tidak mengerahkan seekor kudapun dan (tidak pula) seekor untapun, tetapi Allah yang memberikan kekuasaan kepada Rasul-Nya terhadap apa saja yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (al-Hasyr 59: 6)

Ini adalah khusus untuk Rasulullah. Walau bagaimanapun, demi Allah! Nabi s.a.w. tidak memonopoli harta itu untuk peribadinya dengan mengabaikan kamu dan dia tidak mengambil harta itu semua sekali untuk kepentingannya dengan tidak menghiraukan kamu. Sesungguhnya dia telah beri kepada kamu terlebih dahulu. Dia taburkan di antara kamu harta itu sehingga tinggal sebahagian daripada harta itu. Kemudian daripada harta itu Rasulullah s.a.w. memberi nafkah kepada ahli keluarganya dengan nafkah / perbelanjaan untuk setahun. Kemudian baginda jadikan yang selebihnya sebagai peruntukkan untuk keperluan orang-orang Islam. Begitulah yang Rasulullah s.a.w. amalkan sepanjang hayatnya.

Aku mahu bertanya kepada kamu, kamu tahukah perkara itu. Mereka menjawab: “Ya.” Selepas itu `Umar berpaling dan bertanya kepada `Ali dan `Abbas pula: “Kamu tahukah?” Dia menjawab: “Ya.”

Selepas itu dia berkata: “Allah mewafatkan Nabinya s.a.w. Abu Bakar naik menggantikannya, dia berkata: “Aku pengganti / wakil Rasulullah.” Lalu Abu Bakar memegangnya dan melakukan sepertimana yang Rasulullah s.a.w. lakukan berhubung dengannya pada masa dahulu.

Kemudian dia berpaling mengadap `Ali dan `Abbas seraya berkata: “Kamu berdua pada ketika itu mengatakan Abu Bakar begini dan begini sedangkan Allah mengetahui bahawa dia benar, baik juga memimpin dan mengikuti kebenaran.

Kemudian Allah mewafatkan Aba Bakar dan aku naik menggantikannya, aku berkata: “Saya adalah pengganti / wakil Rasulullah s.a.w. dan Abi Bakar,” lalu aku pegangnya selama dua tahun dan aku lakukan padanya sepertimana Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar lakukan. Kemudian kamu datang. Perkara / Cerita kamu berdua sama. Kamu datang mahu meminta bahagian kamu daripada anak saudaramu. Dan orang ini pula datang mahu meminta kepadaku bahagian isterinya daripada ayahnya. Aku berkata: “Kalau kamu mahu aku boleh berikannya kepada kamu berdua tetapi dengan syarat dengan nama Allah sebagai perjanjian daripada Allah dan perteguhan daripada Allah s.w.t kamu betul-betul akan lakukan sepertimana yang Rasulullah dan Abu Bakar s.a.w. lakukan dan juga seperti yang aku lakukan semenjak aku dilantik memegangnya dan jika tidak kamu jangan bercakap dengan aku berkenaannya. Kamu berdua berkata (dahulu): “Berikannya kepada kami dengan syarat itu. Lalu aku berikannya kepada kamu berdua dengan syarat itu.” Aku mahu bertanya kamu berdua. Demi Allah! Adakah aku telah berikannya kepada mereka berdua ini dengan syarat itu dahulu? Semua menjawab: “Memang, begitulah.”

Perawi berkata: Kemudian `Umar berpaling mengadap `Ali dan `Abbas pula lalu berkata: “Aku mahu bertanya kepada kamu berdua. Demi Allah! Adakah aku telah berikannya kepada kamu berdua dengan syarat itu?” Mereka berdua menjawab: “Memang, ya.” `Umar berkata lagi: “Adakah kamu mahu daripadaku keputusan yang lain selain daripada itu? Demi Tuhan yang dengan izin-Nya berdiri langit dan bumi! Aku tidak akan memutuskan berhubung dengannya keputusan selain daripada itu sehingga kiamat. Sekiranya kamu tidak mampu menguruskannya maka kamu kembalikanlah tanah itu kepadaku dan aku akan uruskan harta itu untuk kamu berdua.” (Hadis riwayat Al Bukhari)




Kes Tanah Rampasan Perang Di Iraq, Syam Dan Mesir
Telah berkata 10 orang sahabat yang berperang kepada Umar: “Apakah engkau akan memberikan harta rampasan yang telah Allah berikan kepada kami melalui pedang-pedang kami, kepada satu kaum yang tidak hadir dan tidak juga menyaksikan, kemudian digunakan untuk membangun kaum tersebut, dan untuk membangun rumah-rumah mereka padahal mereka tidak hadir?”

Beliau berkata: “Aku telah memutuskan untuk menahan tanah rampasan perang dengan penduduknya, kemudian menetapkan Kharaj atas mereka (penduduknya) dari tanah tersebut, serta Jizyah untuk budak-budak mereka, dan menjadikannya sebagai harta Fai bagi kaum Muslim, untuk tentara dan keturunannya serta untuk orang-orang yang datang setelah mereka.” (Al Bukhari)Setelah menetapkan Kharaj atas tanah Irak, Syam dan Mesir, Umar ra. berkata:

“Tidak seorang pun dari kaum Muslim kecuali berhak mendapatkan bagian dalam harta ini.” Lalu Umar membacakan ayat, “Apa saja dari harta rampasan yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya dari penduduk suatu negeri” hingga “dan orang-orang yang datang setelah mereka.” (QS al-Hasyr: 10).

Kemudian Umar berkata: “Harta ini akan aku ambil semuanya untuk (kepentingan) seluruh kaum Muslim, dan sungguh, jika aku menahannya, niscaya akan datang seorang penguasa dengan sarwi Himyar dan meminta bagian dari harta tersebut dengan kening tanpa mengeluarkan keringat sedikitpun.” (HR Ibn Qudamah dalam al-Mughni)


Penerangan:
1. Tanah Fadak merupakan fa'i yang diperoleh Nabi lantas beliau serahkan harta tersebut kepada kerabat baginda dan ahlul bait, termasuklah Ali dan para isteri-isteri baginda antaranya adalah A'isyah dan Hafsah. Namun berdasarkan hukum syarak, Nabi apabila wafat tidak meninggalkan sebarang harta maka harta fa'i dikembalikan kepada negara dan menjadi milik negara.

2. Tanah yang didapatkan di Mesir, Iraq dan Syam merupakan harta ghanimah kerana didapatkan melalui peperangan. Tetapi pada zaman Umar, para tentera telah diberikan gaji serta status tanah ghanimah boleh ditukar menjadi harta fa'i oleh pemimpin negara.



Penjelasan Dari Sisi Ekonomi
Setelah kita meneliti harta zakat maka kita dapati bahawa harta zakat tidak boleh digunakan untuk pembangunan negara. Kemudian kita meneliti harta-harta lain lalu kita melihat bahawa harta yang mutlak boleh dijadikan modal pembangunan hanyalah jizyah, kharaj, 'ushur dan fa'i. Sementara itu ghanimah hanya memberi sedikit bahagian sahaja.

Maka untuk menguruskan sebuah negara yang sangat besar, Umar memerlukan harta negara dengan banyak walhal jumlah kaum muslimin melebihi jumlah peratusan ahli zimmah yang mengeluarkan jizyah. Oleh sebab itu Umar mewujudkan cukai 'Ushur untuk para pedangan tanpa melihat agama mereka secara umum walaupun kadar cukai tersebut ditentukan berdasarkan agama. Ini satu pembaharuan yang dilakukan oleh Umar.

Keduanya Umar terpaksa membekukan Zakat Mualaf dan menggunakan zakat itu untuk kegunaan 7 saluran yang lain. Seterusnya untuk menambahkan lagi pendapatan negara maka Umar menerima cadangan dari para sahabat lain agar mengenakan cukai kepada Kuda - satu kenderaan! Namun hal ini masih tidak dapat menampung kos negara beroperasi lantas Umar membuat kebijakan dengan menjadikan tanah-tanah rampasan perang sebagai fa'i dan mengistiharkannya tanah kharajiyah.

Akhirnya dengan Projek Pembangunan Pertanian inilah membuatkan negara Islam memiliki pendapatan yang stabil dan terus berkembang pesat. Hal yang perlu kita perhatikan adalah Umar menciptakan beberapa jenis cukai dan dikenakan kepada seluruh rakyat, untuk memastikan negara memiliki harta yang boleh digunakan bagi pembangunan negara.Jika cukai haram secara mutlah untuk dikenakan keatas kaum muslimin, maka perbuatan Umar, Uthman, Ali dan Muawiyah telah menafikannya.

Malah jika difikirkan secara logis, hal ini sangat sulit untuk dipraktikkan terutamanya di zaman ini yang mana peperangan terlalu jarang berlaku sehingga ghanimah, kharaj dan fa'i tidak wujud lagi. Yang wujud hanyalah jizyah yang ditukar menjadi Cukai Pendapatan.

Hal yang perlu difikirkan adalah bagaimana negara Islam yang memiliki peratusan tinggi umat islam - sekaligus menandakan bahawa ahli zimmah mereka sangat kecil - mendapatkan dana bagi memajukan negara, sedangkan mereka kekurangan sumber bumi?Kita andaikan Negara Maldive yang merupakan gabungan gugusan pulau kecil dengan penduduk 100% muslim. Dari kenyataan ini menunjukkan bahawa:

Perolehan Maldive:
1. Jizyah = 0
2. Kharaj = 0
3. Ghanimah = 0
4. Fa'i = 0
5. 'Ushur = 0 (bahawa golongan yang menafikan cukai mengatakan bahawa 'Ushur ini dikenakan hanya kepada orang kafir)

Lalu bagaimana Maldive ingin memajukan negaranya? Zakat tidak boleh digunakan untuk memacak tiang elektrik, membuat stadium, membuat perparitan. Mungkin sahaja bahagian Mujahidin boleh digunapakai atas memperluaskan makna "jihad" sehingga mencakup jihad ekonomi, jihad pertanian, jihad pembangunan dan berbagai macam jihad lagi. Tetapi sumbangan nya sangat kecil!

Justeru, marilah kita sama-sama berfikir bagaimana sistem ekonomi Islam yang lebih sesuai untuk dipraktikkan hari ini, dengan meninjau perbuatan khalifah ar rasyidin dan juga penjelasan para ulama yang menyokong cukai ke atas kaum muslimin seperti Ibnu Taimiyyah dan sebelum ini Abu Yusuf dan Abu Ubaid, termasuk yang sesudahnya ialah As Syatibi.


___________________________
~Abu Amru Radzi Othman~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments