OLEH: Taufiq Tuah
Di dalam dalil juga banyak menceritakan hal-hal ghaib. Oleh itu umat Islam juga wajib mempercayai hal-hal ghaib.
Ghaib dari Bahasa Melayu ialah pinjaman daripada Bahasa Arab. Dalam kata lain, sinonimnya ialah Halimunan (invisible). Maka lebih mudah difahami setiap yang ghaib itu, tidak mampu dilihat.
Adapun ghaib yang dimaksudkan dalam perbincangan kita ini bukan sahaja tidak mampu dilihat, malah tidak mampu dirasa dan disentuh juga. Hal seperti ini memang wujud di dalam dunia ini. Juga ghaib dalam konteks kali ini ialah hal-hal yang belum terjadi kerana belum sampai waktunya ia terjadi, tetapi telah dikhabarkan halnya kepada kita oleh Rasulullah SAW.
Namun, hal-hal ghaib yang wajib dipercayai hanyalah hal-hal ghaib yang ada diberitahu di dalam Al-Quram dan hadis sahaja. Jika hal ghaib itu tidak ada di dalam Al-Quran, maka tidak wajib diketahui hal tersebut malah boleh diketepikan kisah itu daripada keratan tauladan.
Antara hal ghaib wajib dipercayai ialah,
ALLAH SWT
Surah Al-Baqarah, ayat 77:
أَوَلَا يَعْلَمُونَ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ وَمَا يُعْلِنُونَ"
dan tidakkah mereka ketahui bahawasanya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan?"
MALAIKAT / MALAIKAH
Surah Al-Baqarah, ayat 98:
مَن كَانَ عَدُوًّا لِّلَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَرُسُلِهِ وَجِبْرِيلَ وَمِيكَالَ فَإِنَّ اللَّهَ عَدُوٌّ لِّلْكَافِرِينَ
"Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka ia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir."
JIN
Surah Al-Rahman, ayat 15:
وَخَلَقَ الْجَانَّ مِن مَّارِجٍ مِّن نَّارٍ
"Dan Ia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang"
SYAITAN
Surah Al-Baqarah, ayat 168:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu."
IBLIS / EZAZIL
Surah Al-Baqara, ayat 34:
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ
"Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir."
SYURGA
Surah An-Najm, ayat 15:
عِندَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَىٰ
"Yang di sisinya terletak Syurga "Jannatul-Makwa".
NERAKA
Surah Al-Baqara, ayat 24:
فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا وَلَن تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ
"Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir."
SIDRATUL MUNTAHA
Surah An-Najm, ayat 14:
عِندَ سِدْرَةِ الْمُنتَهَىٰ
"Di sisi "Sidratul-Muntaha";
LUH MAHFUZ / UMMU AL-KITAB / KITABIM MAKNUN
Surah Al-Waqiah, ayat 78:
فِي كِتَابٍ مَّكْنُونٍ
"Yang tersimpan dalam Kitab terpelihara, (kitabim maknun/ luh mahfuz)"
ARASY
Surah Taha, ayat 5:
الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ
"Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy."
PAHALA DAN DOSA
Surah Al-Anaam, ayat 160:
مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا وَمَن جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَىٰ إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ
"Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya
(balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun)."
ALAM BARZAKH / ALAM KUBUR
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ امْرَأَةً سَوْدَاءَ كَانَتْ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ – أَوْ شَابًّا – فَفَقَدَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلَ عَنْهَا – أَوْ عَنْهُ – فَقَالُوا مَاتَ. قَالَ « أَفَلاَ كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِى ». قَالَ فَكَأَنَّهُمْ صَغَّرُوا أَمْرَهَا – أَوْ أَمْرَهُ – فَقَالَ « دُلُّونِى عَلَى قَبْرِهِ ». فَدَلُّوهُ فَصَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ قَالَ « إِنَّ هَذِهِ الْقُبُورَ مَمْلُوءَةٌ ظُلْمَةً عَلَى أَهْلِهَا وَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُنَوِّرُهَا لَهُمْ بِصَلاَتِى عَلَيْهِمْ ».
Dari sahabat Abu Hurairah RA bahwa seorang wanita hitam -atau seorang pemuda- biasa menyapu masjid Nabawi pada masa Rasusullah SAW . Rasulullah SAW tidak mendapatinya sehingga beliau Sallallahu ‘alaihi wa sallam menanyakannya. Para sahabat menjawab, ‘Dia telah meninggal’. Beliau Sallallahu ‘alaihi wa sallam berkata, ‘Kenapa kalian tidak memberitahukan kepadaku?’ Abu Hurairah berkata, ‘Seolah-olah mereka meremehkan urusannya’. Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Tunjukkan kuburnya kepadaku’. Lalu mereka menunjukkannya, baginda pun kemudian menyalati wanita itu, lalu bersabda, “Sesungguhnya kuburan-kuburan ini dipenuhi kegelapan bagi para penghuninya, dan sesungguhnya Allâh SWT menyinarinya bagi mereka dengan solatku terhadap mereka.”
[HR. Bukhari, Muslim, dll]
HARI KIAMAT DAN AL-MIZAN
Surah Al-Anbiya, ayat 47:
وَنَضَعُ الْمَوَازِينَ الْقِسْطَ لِيَوْمِ الْقِيَامَةِ فَلَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا وَإِن كَانَ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِّنْ خَرْدَلٍ أَتَيْنَا بِهَا وَكَفَىٰ بِنَا حَاسِبِينَ
"Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung."
LAILATUL QADR
Surah Al-Qadr, ayat 1:
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
'Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,"
ISRAK MIKRAJ
Surah Al-Isra, ayat 1:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
BURAQ
Hadis dari Malik bin Sha’sha’ah RA, Rasulullah SAW menceritakan kejadian israk mikraj Salah satu kisahnya,
وَأُتِيتُ بِدَابَّةٍ أَبْيَضَ، دُونَ البَغْلِ وَفَوْقَ الحِمَارِ: البُرَاقُ
Dibawakan kepadaku haiwan tunggangan berwarna putih, lebih pendek dari baghal dan lebih tinggi dari pada keldai. iaitu buraq.
[HR. Bukhari 3207]
PENYAKIT 'AIN
Rasulullah SAW bersabda,
ﺍﻟﻌﻴﻦ ﺣﻖُُّ ﻭﻟﻮ ﻛﺎﻥ ﺷﻲﺀ ﺳﺎﺑﻖ ﺍﻟﻘﺪﺭ ﻟﺴﺒﻘﺘﻪ ﺍﻟﻌﻴﻦ
“Pengaruh ‘ain itu benar-benar ada, seandainya ada sesuatu yang bisa mendahului takdir, ‘ainlah yang dapat melakukannya”
[HR. Muslim]
DAJJAL
مَا بَيْنَ خَلْقِ آدَمَ إِلَى قِيَامِ السَّاعَةِ خَلْقٌ أَكْبَرُ مِنَ الدَّجَّالِ
“Tidak ada satu pun makhluk sejak Adam diciptakan hingga terjadinya kiamat yang fitnahnya (cubaannya) lebih besar dari Dajjal.”
[HR. Muslim no. 2946]
IMAM MAHDI
اَلْمَهْدِيُّ مِنَّا أَهْلَ الْبَيْتِ، يُصْلِحُهُ اللهُ فِيْ لَيْلَةٍ.
"Al-Mahdi dari keturunan kami; Ahlul Bait, Allah akan memperbaikinya dalam satu malam."
[Musnad Ahmad, sanad sahih]
TANDA-TANDA KIAMAT YANG LAINNYA YAKJUK, MAKJUJ, DABA', ZUSUWAQATAIN, DUKHAN, DLL. JUGA APA YANG ADA DI KIAMAT SEPERTI MAHSYAR, TITIAN SIRAT, TELAGA NABI DAN DLL.
sila rujuk An-Nihayah Fil Fitani Wal Malahim, Ibnu Kathir.
Maka segala apa yang dijelaskan di atas ialah perkara ghaib yang wajib bagi setiap Muslim imani. Hal ini kerana Islam menjadikan Al-Quran dan Hadis Sahih sebagai asas, dan segala yang di atas ialah hal-hal yang ada sandarannya dalam Islam.
Adapun pandanga yang menolak kewujudan syurga dan neraka, mereka telah tersilap dalam memilih iman. Ada di antara mereka yang mengatakan dalil-dalil di atas hanyalah kiasan kepada perkara yang lain. Sesungguhnya mereka telah berbuat tafsiran yang jauh dari Islam.
Juga wujud golongan yang melebih dalam hal-hal ghaib. Ada yang menggelar diri mereka 'The Seekers'. Mereka kononnya boleh pergi ke alam bunian sesuka hati mereka kemudian pulang dan membawa batu dari alam tersebut. Kemudian batu itu dijual dengan harga yang mahal. Ini semua ialah dusta belaka.
Juga golongan yang kononnya boleh melihat jin dengan Mata Halus. Kemudian menangkap jin ke dalam botol. Ada juga yang menerbangkan keris hanya dengan jampi bacaan zikir tertentu. Semua perkara ini ialah kesesatan dalam Islam dan tidak pernah diajar oleh Rasulullah SAW.
Ada juga golongan yang suka mempercayai cerita karut. Kononnya seseorang wali akan ada ilmu seperti Nabi Khidir A.S. Ini ialah dusta yang sangat dikeji. Nabi Khidir A.S mampu mengetahui bayang takdir adalah kerana mukjizatnya seorang nabi. Mukjizat ialah perkara yg tidak boleh diwarisi. Maka seorang Muslim akan tahu bahawa yang mendakwa ialah seorang pendusta.
Juga yang mempercayai cerita-cerita karut seperti orang yang pergi ke Mekah tetapi tidak dapat melihat Kaabah. Juga yang mengatakan jenazah mati dan sukar dikebumikan kerana kubur luahkan kembali jenazah, atau air mengalir sendiri ke dalam liang lahad atau sudah diukur liang dan digali seperti ukuran tetapi tidak muat juga jenazah. Kisah-kisah seperti ini ialah kisah yang luar daripada sunatullah.
Mungkin juga hal tersebut boleh berlaku, kerana Allah Maha Kuasa. Tetapi kisah seperti ini tidak sepatutnya diceritakan dan dijadikan momokan pada orang. Misalan, "Jangan berjudi, tengok tu jenazah kaki judi dalam citer tu susah nak kebumi".
Islam bukan agama yang menjadikan cerita-cerita rakyat sebagai hujah. Sepatutnya penjelasan kepada tidak boleh berjudi ialah, kerana pengharamannya dan bukannya kerana peristiwa kaki judi yang susah kebumi itu.
Tidak wajib bagi Muslim mempercayai kisah-kisah seperti ini kerana ia merupakan kisah Ghaib yang bukan daripada Al-Quran dan Sunnah sahih. Malah sebenarnya lebih baik meninggalkan segala kisah ini kerana masyarakat akan pula mendahulukan kisah aneh ini berbanding ingin mengutamakan hadis Rasulullah SAW.
Alasan "Allah Maha Kuasa, semua boleh jadi" akhirnya menjadi satu-satunya alasan bagi membenarkan kisah-kisah mengarut tersebut. Nauzubillah, asma Allah dan sifat Maha Kuasa Allah itu disalah guna oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Akhirnya Islam menjadi agama cerita-cerita dongeng kerana banyak cerita dongeng yang muncul atas nama Islam, atas nama kubur Islam, atas nama Kaabah dan di sokong oleh ayat, "Allah Maha Kuasa, semua boleh jadi". Nauzubillah minzalik.
Lebih selamat bagi kita untuk tidak mempercayai hal ghaib yang bukan daripada Quran dan hadis sahih kerana, tiada manusia yang akan mengetahui hal ghaib selain yang Rasulullah telah khabarkan kepada kita. Malah, Rasulullah SAW sendiri tidak akan tahu hal ghaib kecuali hal yg telah diwahyukan kepadanya.
Surah Al-Araf, ayat 188:
قُل لَّا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Katakanlah (Ya Muhammad) : "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".
Malah bagi sesiapa yang mengatakan Rasulullah SAW boleh meramal masa hadapan dan mengetahui hal ghaib, maka orang itu juga berdusta.
Aisyah, Ummul Mukminin RA berkata:
وَمَنْ زَعَمَ أَنَّهُ يُخْبِرُ بِمَا يَكُونُ فِى غَدٍ فَقَدْ أَعْظَمَ عَلَى اللَّهِ الْفِرْيَةَ وَاللَّهُ يَقُولُ (قُلْ لاَ يَعْلَمُ مَنْ فِى السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ الْغَيْبَ إِلاَّ اللَّهُ ).
Barang siapa yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW mengetahui apa yang akan terjadi di esok hari, maka sungguh dia telah berbuat dusta yang besar kepada Allah Azza wa Jalla (Kerana) Allah Azza wa Jalla telah berfirman (yang artinya), ”Katakanlah, tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah .”
Maka jelas, bahawa Rasulullah sendiri tidak mengetahui hal ghaib (kecuali yang diwahyukan kepadanya AlQuran dan Hadis). Tidak layak bagi sesiapa mengatakan mereka tahu hal ghaib kerana Rasulullah sendiri pun tidak tahu.
Juga Al-Quran sendiri mengisyaratkan bahawa tidak ada sesiapapun yang mengetahui hal ghaib selain Allah. Dalilnya,
Surah Al-Anaam, ayat 59:
وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَا تَسْقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ
Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.
Kesimpulannya:-
2. Tidak wajib beriman kepada hal-hal ghaib yang bukan daripada Al-Quran dan Hadis Sahih.
3. Perkara-perkara luar biasa yang luar daripada sunatullah dan tidak ada dari Al-Quran dan hadis adalah dilarang untuk berhujah dengannya.
4. Jangan jadikan agama Islam sebagai pentas dalam menceritakan kisah dongeng atas alasan Allah Maha Kuasa.
5. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui hal-hal ghaib.
Wallahualam
___________________________
~
Taufiq Tuah
~
Lajnah Makalah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment