OLEH: Annyss
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.
Berdasarkan ayat Al-Quran di atas, sebagai umat Islam kita wajib patuh kepada perintah Allah s.w.t iaitu makan makanan yang halal. Makanan halal ialah makanan yang dibolehkan makan mengikut syariat Islam serta tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan jasmani dan rohani.
Antara ciri makanan halal adalah makanan tersebut tidak diharamkan di dalam Al-Quran dan Hadis. Seperti yang kita semua sedia maklum, terdapat makanan yang telah dilarang kepada umat Islam daripada memakannya iaitu arak,babi,anjing dan lain-lain. Namun begitu, Islam telah memberi kelonggaran kepada umatnya, di mana umat Islam dibolehkan makan makanan ini ketika darurat bagi mengelakkan dari mati dan kebuluran. Hal ini dibolehkan apabila seseorang itu tidak dapat menjumpai dan mencari makanan yang halal. Selain itu, makanan halal perlulah bersih serta tidak memudaratkan dan boleh mendatangkan masalah kepada kesihatan tubuh badan. Sebaliknya, makanan halal dapat memberikan tenaga supaya tubuh badan dapat berfungsi secara normal dan dapat menjauhkan diri daripada sebarang penyakit. Kemudian, Islam turut menekankan pentingnya menyembelih haiwan dengan nama Allah. Islam menyuruh umatnya menyembelih haiwan yang ingin dimakan supaya dapat membezakan cara mematikan haiwan di antara orang Islam dan orang kafir. Melalui kaedah penyembelihan, haiwan tersebut tidak mati dalam keadaan terseksa dalam jangka masa yang lama. Penyembelihan haiwan juga dapat menggelakkan jangkitan kuman kerana sebaik sahaja haiwan disembelih, darah yang mengalir keluar akan menjadi laju.
Antara kebaikan yang dapat diperolehi melalui makanan halal ini adalah:
1. Tubuh badan dan akal yang sihat
Pengambilan makanan seperti karbohidrat, lemak,vitamin, mineral, dan protein amat penting bagi tubuh badan sebagai sumber tenaga, pembinaan enzim, dan membantu penghadaman. Selain itu, tubuh badan yang sihat dapat membantu kita supaya dapat berfikir secara waras dan teliti dalam sesuatu perkara. Ibadah-ibadah wajib seperti solat fardhu juga dapat dilaksanakan dengan mudah.
2. Membentuk akhlak yang baik
Tingkahlaku dan akhlak yang baik dapat memberi kesan yang positif kepada masyarakat. Remaja-remaja yang baik dapat dididik, seterusnya dapat mengurangkan masalah sosial seperti penagihan dadah dan pergaulan bebas.
3. Doa mudah dimakbulkan
Makanan halal dapat meningkatkan rasa syukur dan taqwa dalam diri seseorang. Doa mudah dimakbulkan jika seseorang itu beriman kepada Allah s.w.t melalui penjagaan makanan dan minuman sehariannya yang halal, bersih dan suci.
4. Menjauhkan diri daripada azab akhirat
Makanan dan minuman yang masuk ke dalam badan akan menjadi darah dan daging seseorang. Oleh itu, Islam melarang keras umatnya daripada makan atau minum daripada sumber yang haram seperti yang dijelaskan oleh Al-Quran.
Makanan dan minuman yang masuk ke dalam badan akan menjadi darah dan daging seseorang. Oleh itu, Islam melarang keras umatnya daripada makan atau minum daripada sumber yang haram seperti yang dijelaskan oleh Al-Quran.
5. Mendapat keredhaan Allah
Melalui pengambilan makanan yang bertepatan dengan syariat Islam, seseorang dapat memiliki hati yang bersih. Hati yang bersih ini dapat mendorong seseorang ke jalan yang diredhai Allah di dunia dan akhirat.
Kesimpulannya, Islam tidak hanya memandang kepada ibadah-ibadah wajib sahaja, malah Islam turut menitikberatkan tentang pengambilan makanan yang halal.
___________________________
~
Annyss
~
Lajnah Makalah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment