Ada Hadis Sahih Bercanggah Dengan Al-Quran?

Ada pihak mengandaikan bahawa terdapat hadis sahih termasuk dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim yang bercanggah dengan Al-Quran.


Andaian ini salah dan batil.
Itu tidak mungkin berlaku.

Kerana kedua-dua Al-Quran dan al-Sunah datang daripada Nabi ﷺ yang maksum yang tidak berbicara dalam hal berkait agama kecuali mengikut panduan wahyu yang diberi kepada baginda ﷺ.
Firman Allah ﷻ:

وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلۡهَوَىٰٓ

“Dan dia (Muhammad) tidak berbicara (tentang agama) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.”
[Al-Quran, al-Najm, 53:3]
Sabda Nabi ﷺ:

اكْتُبْ ‌فَوَالَّذِي ‌نَفْسِي ‌بِيَدِهِ ‌مَا ‌يَخْرُجُ ‌مِنْهُ ‌إِلَّا ‌حَقٌّ

“Tulis! Demi yang nyawaku di tanganNya tiada yang aku tuturkan kecuali kebenaran.”
[Sahih. Riwayat Abu Daud]
Kata Imam al-Syatibi:

‌لَا ‌تَضَادَّ ‌بَيْنَ ‌آيَاتِ ‌الْقُرْآنِ وَلَا بَيْنَ الْأَخْبَارِ النَّبَوِيَّةِ وَلَا بَيْنَ أَحَدِهِمَا مَعَ الْآخَرِ

“Tiada pertembungan antara ayat-ayat Al-Quran, hadis-hadis Nabi ataupun antara kedua-duanya.”
[al-Iktisam, 2/822]

Jika tampak sekalipun ada pertembungan antara suatu ayat Al-Quran dan hadis sahih maka itu hanya pada zahirnya sedangkan pada hakikatnya tidak ada tetapi hal itu berlaku kerana kekeliruan dan kedangkalan pemahaman orangnya.

Akhirnya mana-mana nas Al-Quran dan al-Sunah yang kelihatan percanggahan perlu diharmonikan dan disesuaikan agar tidak bercanggahan mengikut penjelasan dan tafsiran ulama salaf.

Jangan sekali-kali dilaga-lagakan antara kedua-dua sumber syariat Islam ini.

Perlakuan buruk yang amat tidak akibat mengikut hawa nafsu.
Pihak-pihak yang menolak mana-mana hadis sahih atas alasan kononnya kerana ia menyalahi Al-Quran hakikatnya hanya menyingkapkan pendirian mereka memperkecilkan kedudukan al-Sunah di samping kejahilan terhadap makna sebenar hadis berkaitan.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk.






Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
15 Jamadilakhir 1446H
17 November 2024

Comments