OLEH: Abu Amru Radzi Othman
Beliau pernah menjadi Qadhi Baghdad dan juga Duta Abbasiyah dalam menghadapi Bani Buwait.
Benar dia seorang Syafiiyah tapi bukanlah Asyaariyah. Kerana di zaman itu, para ulama mazhab Syafie sangat memusuhi mazhab Ahli Kalam.
Guru Imam Al Mawardi adalah As Syafie ke 3 iaitu Imam Abu Hamid Al Isfaraini. Sangat makruf betapa gencar permusuhan As Syafie ke 3 ini terhadap Al Baqillani dan bertebaran fatwa-fatwanya tentang kesesatan Al Asyaariyah.
Seringkali dia berkata "Al Baqillani itu sesat dan menyesatkan". Malah bersungguh-sungguh pula Imam Abu Hamid memesan kepada murid-muridnya agar menjauhi kelompok Asyaariyah.
Al Mawardi berkhidmat di zaman pemerintah Khalifah Al Qadir dan Al Qaim. Saat itu, Baghdad menjadi benteng pertahanan mazhab Salaf hinggakan ahli kalam takut untuk menzahirkan aqidah mereka di ibu kota.
Pada 409H / 1018M, Khalifah Al Qadir telah mewartakan Al Risalah Al Qadiriyah yang kadang dikenal juga sebagai Al I'tiqad Al Qadiri.
Aqidah ini ditetapkan sebagai mazhab rasmi Abbasiyah yang mengikuti manhaj Salaf dan menyelisihi metodologi Ahli Kalam, terutama Mu'tazilah dan termasuk juga Asyaariyah.
Di zaman ini juga, sempat Abul Qasim Al Qusyairi dipenjara sekejap namun dia berjaya diselamatkan dari penjara Baghdad oleh pembesar Saljuk Raya yang mengamalkan mazhab Asyaariyah. Sesudah itu Abul Qasim tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke Baghdad hinggalah dia wafat.
Khabarnya Al Baqillani nantinya menjadi Qadhi pada era penguasa Bani Buwait. Al Baqillani dianggap sebagai penyusun aqidah Asyaariyah sehingga menjadi mampan sementara Imam Al Asyaari hanyalah pencetus aliran tersebut.
Manakala Al Qusyairi pula adalah pemuka Asyaariyah yang membawa aqidah Sufiyah menyerap dan bergumpal bersama.
Sedangkan Imam Al Asyaari telah kembali pada mazhab Salaf setelah dia bertalaqi pada Ibn Suraij dan Abu Ishaq Al Marwazi.
Padanya memang ada kesalahan, sebagaimana An Nawawi, Ibn Hajar dan banyak lagi.
Sampaikan Ad Dzahabi menetapkan dia adalah Mu'tazili, tapi hal ini ditolak oleh Khatib Al Baghdadi dan Al Asqalani.
Tetapi berdasarkan keberadaannya pada zaman Ar Risalah Al Qadiriyah dan menjadi petinggi agama pada Al Qadir dan Al Qaim, malah menuntut pada Abu Hamid serta menjadi guru pada Al Khatib, yang membawa pada kesimpulan di atas.
Khatib Al Baghdadi, An Nawawi dan Ibn Hajar adalah ulama Al Atsariyah dan bukannya penganut mazhab Al Asyaariyah.
Wallahualam mungkin pandangan saya ini salah tentang Al Mawardi.
"Nota Dari Penyunting: Penulisan ini berdasarkan penelitian Abu Amru. Abu Amru memberikan satu sudut pandang yang berlainan dikala ramainya orang kita akan mengatakan Imam Al-Mawardi beraqidah Al-Asyaariah. Adapun pandangan ini bukanlah bersifat pegun dan ini membolehkan segala kemungkinan. Malah mungkin sahaja para pembaca mempunyai pandangan tersendiri yang sudi dikongsikan di bahagian komen blog. Wallahualam"
___________________________
~
Abu Amru Radzi Othman
~
Lajnah Makalah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment