OLEH: Abu Nur Aisyah
Bismillah
Pelbagai macam ragam dan ajaran batil yang telah menyusup ke dalam agama Allah disebabkan oleh sesetengah orang yang mengaku sebagai muslim akan tetapi tidak meninggalkan ajaran-ajaran batil yang berasal dari nenek moyang. Seperti menggantung/mempercayai tangkal (azimat), ia merupakan salah satu fenomena yang terjadi pada zaman dahulu dari kalangan nenek moyang sehinggalah dari zaman ke zaman(sekarang). Hanya pada zaman ini ia muncul dari pelbagai ragam dan bentuk.
Di zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sendiri pernah terjadi hal dan keyakinan seperti ini pada sebahagian sahabat yang masuk Islam. Namun Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak mendiamkan hal itu, beliau langsung menegur dan meluruskannya.
Sahabat Abu Basyir Al-Anshariy radhiyallahu anhu berkata bahawa dia pernah bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pada sebahagian safar beliau. Kemudian Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengutus seorang utusan untuk menyampaikan pesanan:
"Jangan lagi tersisa kalung yang terbuat dari tali busur ataukah kalung apa saja pada leher unta, kecuali diputuskan".
[Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]]
Hadith di atas jelas menunjukkan larangan daripada Baginda shallallahu 'alaihi wasallam kepada para sahabat agar tidak mengikuti kebiasaan orang-orang jahiliyah, iaitu kebiasaan menggantungkan tali pada pada haiwan-haiwan tunggangan sebagai azimat. Sebab mereka (orang-orang jahiliyah) mempercayai bahawa jika ia menggantungkan seutas tali pada leher haiwan, maka ia akan terhindar dari penyakit. Ini adalah keyakinan jahiliyah!!
Menggantung azimat sama ada di kereta, pintu-pintu rumah, tubuh badan, kedai ataupun restoran-restoran dsb merupakan satu jalan yang membawa seseorang muslim kepada dosa syirik. Sebab seorang yang memakai azimat pasti meyakini bahawa azimat (tangkal) itulah yang menyebabkan ia terhindar dari penyakit dan bala’. Meyakini bahawa ada makhluk lain yang mampu menjaga dan melindungi seseorang dari penyakit selain Allah Ta’ala adalah syirik BESAR!
Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Sesungguhnya mantera-mantera, tangkal, dan guna-guna adalah kesyirikan".
[Hadith Riwayat Ahmad]
Mantera-mantera ataupun lebih dikenali sebagai ruqyah, ia sebenarnya dibolehkan jika ianya datang daripada al-Quran dan As-Sunnah, kerana Baginda shallallahu 'alaihi wasallam sendiri pernah mengajar para sahabat beberapa ayat-ayat dan doa-doa agar mereka bisa gunakan untuk ruqyah penyakit yang mereka alami.
Adapun yang dilarang ialah mantera yang terdapat penyebutan atau lafaz-lafaz yang mengandungi kesyirikan, seruan ke atas jin atau lafaz yang tidak difahami.
Berkaitan azimat dan guna-guna, maka jelas kedua-dua perkara ini terlarang dalam agama islam, sebab dalam pemakaian tangkal terdapat kebergantungan dan keyakinan kepada selain Allah. Ini adalah syirik (menduakan Allah dengan sesuatu). Sementara guna-guna ataupun sihir maka jelas ia adalah haram dan pelakunya dihukum bunuh.
Al-Qadhi Abu Bakr Ibnul Arabi rahimahullah berkata dalam Aridhah Al-Ahwadzi:
"Menggantungkan Al-Qur’an (sebagai azimat) bukanlah jalan sunnah (petunjuk). Hanyalah sunnah itu pada Al-Qur’an adalah dzikir (membacanya), tanpa menggantungnya".
[Hasyiyah An-Nasa'iy oleh As-Sindiy]
Wallahu’alam
___________________________
~Abu Nur Aisyah~
Lajnah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment