OLEH: Muhammad Izzat Al-Kutawi
BAB 1
Kelemahan ilmu hadis ahli sufi sangat jelas dan terang, secerah mentari di siang hari, bagi ulama hadis. Tetapi, pengamal dan pendukung aliran sufi pada hari ini tidak mampu menerima hakikat ini. Mereka mengambil sikap defensif mempertahankan manhaj mereka berkaitan hadis.
Saya sendiri pernah menghantar surat layang kepada seorang tenaga pengajar – bertaraf ulama, sangat tawaduk, dan disegani – di masjid mukim saya, yang mengajar kitab Siyar al-Sālikīn oleh Syeikh ‘Abd al-Ṣamad al-Falimbānī, kerana membacakan hadis-hadis yang dihukum palsu oleh mahaguru bidang hadis, yang terdapat dalam kitab berkenaan. Tetapi, beliau – setelah bertanya beberapa tokoh hadis yang dipercayai beliau – tidak mahu menerima kepalsuan hadis tersebut dan berkeras mengatakan tiada hadis palsu dalam kitab Iḥyā’ (kitab asal bagi Siyar al-Sālikīn), dan yang ada hanyalah hadis lemah.
Walhal, kepalsuan banyak hadis dalam Iḥyā’ maklum bagi ulama hadis dan riwayat yang muktabar di sisi seluruh Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā’ah, seperti Imam al-Dhahabi (748 H) yang berkata dalam Siyar A‘lām al-Nubalā’ “adapun Ihya’, maka terdapat di dalamnya sejumlah hadis-hadis yang batil" dan Imam Ibnu Kathir (774 H) yang mengatakan dalam al-Bidāyah wa-al-Nihāyah “tetapi, di dalamnya (Iḥyā’) terdapat banyak hadis yang pelik, mungkar, dan palsu.”
Bermatian-matiannya kaum sufi mempertahankan hadis-hadis dalam Iḥyā’ ini sampai ke tahap mereka mengangkat Imam al-Ghazālī ke tahap ulama hadis yang sangat besar. Gelaran Ḥujjah al-Islām yang diberikan kepada Imam al-Ghazālī dikaitkan dengan gelaran al-Ḥujjah dalam kitab-kitab muṣṭalaḥ hadis. Kata mereka, “Ḥujjah al-Islām adalah sebutan bagi ulama yang faqih dalam ilmu agama dan hafal lebih dari 300,000 ribu hadis.” Lihatlah bagaimana mereka tidak mampu membezakan antara gelaran al-Ḥujjah dengan Ḥujjah al-Islām!
Apabila dibawakan nas ulama hadis yang menghukum palsu hadis Iḥyā’, salah seorang mereka mengatakan “Imam al-Ghazālī lebih saya percaya.” Kalau bukan taasub dan takbur namanya, saya tidak tahu apakah nama yang sesuai bagi sikap ini. Besarnya diri mereka untuk mengakui keterlanjuran Imam al-Ghazālī, padahal Imam al-Ghazālī hanya dikatakan tersilap – seperti kata Imam Ibnu al-Jawzī (597 H) “dan datang Abū Ḥāmid al-Ghazālī lalu menulis kepada mereka kitab Iḥyā mengikut manhaj mereka (sufi) dan memenuhkannya dengan hadis-hadis batil tanpa beliau tahu tentang kebatilannya” – bukannya sengaja menukilkan hadis-hadis palsu (itupun kita dituduh menghina Imam al-Ghazali dan Ihya' beliau). Barangkali bagi mereka, ulama sufi lebih alim tentang ilmu hadis, atau menjaga kedudukan kitab ulama sufi lebih utama daripada menjaga hadis-hadis Rasulullah!
Cukuplah cerita sufi bersama hadis Iḥyā’ ini memberikan bayangan ilmu hadis dan kejujuran mengakui kelemahan yang dimiliki mereka.
BAB 2
Saya mohon perhatian tentang tulisan saya mengenai Ihya' 'Ulum al-Din kerana terlihat beberapa salah faham berlaku dalam kalangan pembaca.
Sebenarnya, Ihya' 'Ulum al-Din kitab yang "mengandungi manfaat yang banyak," seperti kata Imam Ibnu Taymiyyah (728 H). Cuma, ia mengandungi banyak hadis palsu dan kisah-kisah kesufian yang melampau selain beberapa kesalahan lain. (Kesalahan-kesalahan ini boleh dibaca dalam mukadimah Ithaf al-Sadah al-Muttaqin oleh al-Zabidi (1205 H) di mana beliau menyebutnya untuk dijawab. Namun, jawapan tidak kuat terutamanya dalam bab hadis.)
Kitab ini boleh dibaca oleh penuntut ilmu yang mempunyai asas yang kuat khususnya dalam ilmu hadis. Adapun orang awam, dikhuatiri mereka terpengaruh dengan hadis-hadis palsu dan kesalahan-kesalahan yang tercatat di dalamnya kerana, seperti kata Imam Ibnu al-Jawzi (597 H), "di dalam Ihya' terdapat penyakit yang hanya diketahui oleh ulama."
Jadi, kesimpulannya, kitab Ihya' kitab yang hebat. Para ulama menjadikannya rujukan dalam bab akhlak, termasuklah ulama hadis dan Salafi. Tetapi, pada masa yang sama, kitab ini mempunyai beberapa kekurangan yang ketara. Untuk mengatasi masalah inilah Ibnu al-Jawzi mengarang Minhaj al-Qasidin sebagai ringkasan atau saduran kitab Ihya'.
Beliau cuba membuang kekurangan-kekurangan Ihya' tetapi pada masa yang sama mengekalkan kebaikan-kebaikannya. Kitab ini kemudiannya diringkaskan oleh Najm al-Din Ibnu Qudamah al-Maqdisi (689 H).
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment