Ibrah Dari Kisah 'Hybrid' Pokok Tamar Di Zaman Nabi

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

Kisah pengahwinan pohon tamar yang dilakukan oleh para sahabat Anshar lalu di tanya oleh Baginda lantas para sahabat tidak meneruskan proses tersebut hingga mengakibatkan kemerosotan hasil tuaian buah kurma, adalah bukan sebuah bukti kesilapan Nabi.

Tetapi adalah tentang tafsiran sahabat yang keliru atas semangat keprihatinan mereka menjaga hati Nabi dan takut melanggar syariat.

Namun dari peristiwa inilah umat mendapat sebuah penjelasan, yang sangat berguna.

Sahabat Anas berkata:

"Bahawasanya ketika sampai di Madinah, Nabi saw melewati suatu kaum (sahabat Anshar) yang sedang mengkahwinkan pohon kurma, maka Baginda berkata: "Sekiranya kalian tidak melakukan hal itu niscaya kurma itu tetap baik".

Anas menyambung lagi: "Kemudian (mereka tidak melakukannya) sehingga hasilnya kurang. Tatkala Nabi saw kembali melewati mereka, Baginda bertanya kepada mereka: "Bagaimana dengan pohon-pohon kurma kalian?" Mereka menjawab: "Bukankah engkau yang mengatakan begini dan begitu (mereka mengikuti perkataan Nabi saw tersebut). Maka Nabi saw bersabda: "Kalian lebih tahu dengan urusan dunia kalian". (HR Muslim)

Nabi adalah kaum pedagang dan membesar di kota Makkah yang menjadi pusat perdagangan, yang tidak tahu tentang cara melebatkan buah kurma.

Maka tatkala Baginda melihat hal tersebut lalu mengungkapkan pandangan. Kejadian ini berlaku di awal penghijrahan Baginda.

Tetapi selepas kejadian ini, para sahabat sudah mengerti bahawa sunnah yang perlu diturut lebih berpusar pada hal-hal agama, manakala dalam hal dunia, manusia bebas berbuat selagi dalam lingkaran syariat.

Justeru cukup terkenal dalam mazhab Ahlu Sunnah dua istilah ini:

(1) Sunnah Tasyriiyah (disyariatkan)
(2) Sunnah Aadiyah (adat keduniaan)

Kerana itu, acapkali para sahabat bertanya pada Nabi "Apakah ini pandanganmu semata-mata wahai Rasulullah saw", seperti cadangan Nabi untuk melakukan perdamaian dengan Bani Ghafathan ketika Perang Khandaq setelah Yahudi Bani Quraizah yang berada dalam negara Kota Madinah membelot.

Ketika itulah Sa'd bin Ubadah dan Sa'd bin Mu'az bertanya tentang perancangan Nabi: apakah berupa wahyu dan perintah, atau sekadar pendapat Baginda semata-mata.



___________________________
Abu Amru Radzi Othman ~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments