Mencacatkan Hadis Larangan Kerana Ingin Mengharuskan

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Selalu kita mendengar orang-orang yang menisbahkan diri kepada sunnah mengatakan "tiada hadis sahih yang melarang. Jadi, hukum perkara ini harus." Kata-kata seperti ini diulang-ulang dalam masalah larangan wanita haid membaca al-Quran, mendengar muzik, lelaki berjunub masuk ke dalam masjid, dan seumpamanya.

Bagi mereka, hukum sabit melalui al-Quran dan hadis yang sahih sahaja. Tiada ayat al-Quran dan hadis yang sahih yang jelas melarang, ertinya hukum sesuatu itu kekal pada keharusan. Dengan mencacatkan kesemua hadis yang melarang, mereka beranggapan bahawa mereka telah berjaya menafikan larangan dan mengisbatkan keharusan.

Peliknya, dalam pada bersungguh mencari 'ilal hadis larangan, mereka bermudah-mudahan menerima riwayat-riwayat daripada sahabat dan salaf yang zahirnya mengharuskan. Bahkan, mereka sambil lewa sahaja mengkaji mazhab sahabat dan salaf dalam sesuatu masalah.

Manhaj ini bukan manhaj fiqh Ahl al-Sunnah wa-al-Jama'ah, tetapi manhaj fiqh golongan Zahiriyyah yang tidak memberati masalah ijmak dan khilaf. Sebab itulah, banyak pendapat mereka didapati bercanggah dengan ijmak - termasuk ijmak sahabat.

Pada zaman mutakhir ini, muncul golongan yang mengikuti manhaj ini secara melampau lalu mendakwa bahawa wanita haid tidak perlu menqada puasa Ramadan dengan alasan semua hadis yang menunjukkan wanita haid wajib mengqada puasa adalah ma'lul dan da'if.

Bagi Ahli Sunnah yang mengikuti manhaj fiqh yang benar, seandainya semua hadis tersebut benar-benar lemah pun, ia tidak mengubah apa-apa hukum dalam masalah ini. Sebabnya, kewajipan qada puasa untuk wanita haid dinaskan oleh para sahabat dan salaf dalam athar mereka tanpa sebarang khilaf.

'Abd al-Razzaq al-San'ani meriwayatkan bahawa al-Zuhri mengatakan "wanita haid menggantikan puasa." Ma'mar bertanya, "daripada siapa (diambil kata-kata ini)?" Jawab al-Zuhri, "ini telah disepakati."

Dan sambungnya lagi, "bukan dalam semua perkara kita menemui sanad (riwayat)."

Wallahualam.


___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments