OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Saya pelik, mengapakah terdapat ramai ulama yang tidak menyunatkan atau mensyariatkan qunut subuh, malah ia adalah pendapat mazhab Ḥanafī dan Ḥanbalī, tetapi sedikit sekali ulama yang menghukumnya bidaah? Bahkan, Sufyān al-Thawrī yang merajihkan pendapat tersebut pun mengatakan, "sekiranya (seseorang) berqunut semasa solat subuh maka ia baik, jika tidak berqunut pun ia baik. Saya memilih untuk tidak berqunut."
Barulah saya faham bahawa ulama tidak gopoh menghukum bidaah amalan perkara hanya kerana tiada dalil yang kuat mengatakan Nabi SAW melakukannya. Kerana adab dan warak mereka yang tinggi, mereka berusaha mengelak menggunakan kalimat "bidaah" ke atas amalan-amalan yang dilakukan oleh sahabat, tabiin, dan salaf sebelum mereka seperti ini, sebagaimana kata Imam al-Tirmidhī:
"ِAhli ilmu berselisih pendapat tentang qunut dalam solat subuh. Sebahagian ahli ilmu daripada kalangan sahabat Nabi SAW dan lain-lain berpendapat (disyariatkan) qunut dalam solat subuh."
Untuk pengetahuan kalian, saya sendiri taraddud dalam masalah ini. Pada awalnya, saya meninggalkan qunut selepas mengamalkannya seperti orang lain yang bermazhab Shāfi‘ī. Kemudian, saya membaca hujah-hujah mazhab Shafi'i dalam risalah Syeikh Muḥammad Ḥasan Hītū, ulama Syria yang bertajuk Kashf al-Satr ‘an Sunniyyah al-Qunūt fī Ṣalāh al-Fajr lalu memilih mengamalkan qunut kembali.
Selepas meneliti semula hujah mazhab Ḥanbalī, saya kembali meninggalkan qunut. Taraddud dalam masalah ini perkara normal. Imam Taqiyy al-Dīn al-Subkī juga pernah meninggalkan mazhab Shāfi‘ī dalam masalah ini kerana merasakan hujahnya lemah. Namun, selepas mengkajinya lebih mendalam, beliau kembali mengamalkan qunut.
Sebab berlakunya taraddud adalah kerana terdapat banyak riwayat yang saling bercanggah dalam masalah ini. Jadi, para ulama cuba menjamakkan riwayat-riwayat ini dengan kaedah masing-masing. Ada riwayat dihukum lemah, ada yang dianggap mansuh, ada yang dianggap khusus, dan sebagainya. Memahami kerumitan memahami masalah ini, ulama memilih merajihkan satu pendapat tetapi dengan meraikan pendapat yang bertentangan.
Syeikh Muhammad b. Salih al-'Uthaymīn antara yang dimaksudkan. Meskipun berpendapat qunut subuh bukan sunnah dan menyilapkan pendapat yang menyunatkannya, beliau tidak lancang mengatakan qunut bidaah. Lebih menarik, beliau menggalakkan orang yang bersolat di belakang imam yang berqunut untuk berqunut bersama, sebagai mengikut pendapat Imam Aḥmad, pemimpin Ahli Sunnah dinukilkannya:
"Apabila (seseorang) solat berimamkan orang yang berqunut semasa solat subuh, maka hendaklah ia menurutinya, bahkan hendaklah ia mengaminkan doanya."
Wallahualam.
Gambar dari NSTP
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment