OLEH: Saufy Jauhary
Kammaluddin ibnu al-Adeem, bukan sebarang sejarawan. Selain seorang ulamak, penyair dan penulis khat, siapa menyangka beliau yang telah menghasilkan ensiklopedia sejarah Aleppo (Bughyatul Talab Fi Tarikh Halab) ini turut menulis sebuah buku masakan arab pada akhir abad ke-12.
Ibnu al-Adeem dilahirkan di Aleppo pada 558H dan hidup pada zaman Mongol di bawah pimpinan Hulagu yang telah menceroboh Iran, Iraq dan Syria. Beliau meninggal dunia pada 660H dan dikebumikan di sana.
Beliau menghasilkan buku masakan yang bersejarah dan versi buku tersebut yang telah disunting dibahagikan kepada dua jilid. Jilid pertama mengulas tulisan-tulisan mengenai makanan arab dari zaman sebelum Islam sehingga dinasti Mamluk, memperincikan tabiat dan kebiasaan masyarakat ketika itu. Secara kritikal, beliau menjelaskan evolusi masakan dan pengaruh masyarakat-masyarakat bukan arab yang baru memeluk Islam. Terdapat juga satu bab yang membincangkan makanan berherba dan penggunaannya bagi tujuan perubatan.
Jilid kedua pula mengenal pasti lokasi-lokasi pelbagai edisi manuskrip asal di beberapa perpustakaan dunia, dan juga menunjukkan sesalinan manuskrip asal yang mengandungi 10 bab yang membincangkan; jenis-jenis haruman dan cara pembuatannya. Ia juga memperkenalkan pelbagai jenis minuman jus buah-buahan serta minuman berperisa.
Turut diterangkan ialah kaedah-kaedah mengeluarkan minyak dari ekor kambing, 60 cara berbeza memasak ayam, masakan makanan kering termasuk stik dan daging panggang. Tidak ketinggalan ialah 150 resepi sayur-sayuran, nasi dan buah-buahan yang dimasak dengan daging.
Di dalam jilid kedua ini juga Ibnu al-Adeem mencatatkan 100 jenis jenis manisan dan pastri, pelbagai jenis sos, garam, cara memasak sayur-sayuran dengan minyak dan bermacam-macam jenis telur dadar.
Di dalam bab kesembilan dan ke-10, Ibnu al-Adeem menerangkan secara terperinci kaedah-kaedah penyediaan air dan sabun wangi, penyaringan perisa dan membuat bahan-bahan untuk mewangikan mulut.
Versi buku yang telah disunting ini pula mengandungi catatan ekstensif (mengenai nama-nama lama yang tidak digunakan lagi) dan rajah timbangan, ukuran serta nama-nama bahan masakan yang disusun mengikut abjad.
Lebih menarik ialah, menurut Ibnu al-Adeem, beliau menghasilkan buku ini berdasarkan pengalaman peribadi, kerana beliau sendiri menyediakan dan telah mencuba setiap resipi. Ibnu al-Adeem menjelaskan mengapa beliau menulis buku ini:
"Nikmat dunia dan akhirat ialah makan makanan dan minuman yang sedap-sedap. Mengharumkan tubuh badan dan pakaian merapatkan hubungan kawan-kawan dan orang yang disayangi. Pemakanan yang baik membolehkan seseorang beribadah dan bersyukur. Ini banyak kali disebut dalam Kitab Allah (al-Quran) dan hadis Nabi s.a.w. sebab itulah saya menamakan buku ini Al-Wasslah ila ihabeeb fi Wasf al-Tayibat wal Teeb."
Tidak ramai menyangka seseorang yang berilmu tinggi dalam bidang Fikah seperti Ibnu al-Adeem telah memperuntukkan banyak masa dan tenaga untuk menghasilkan buku masakan yang besar ini, dan secara peribadi telah mencuba setiap resipinya. Mungkin ini menunjukkan budaya tinggi yang diamalkan pada zamannya dan memasak bukan hanya dilakukan kaum wanita, tetapi merupakan satu aktiviti yang dinikmati semua.
Buku yang dihasilkan Ibnu al-Adeem juga membawa resipi-resipi dari India hingga ke Moroko, malah beliau juga memasukkan sesetengah resipi daripada tentera salib Perancis. Kedudukan Aleppo sebagai pusat perdagangan antarabangsa mungkin menyumbang kepada perkembangan kemahiran memasak dan kepelbagaian hidangan dicatatkan oleh Ibnu al-Adeem.
Salah satu ciri unik buku masakan ini ialah, tumpuannya kepada resipi-resipi yang mempunyai manfaat perubatan, di samping nilai zat makanan. Secara umum, resipi-resipi yang diutarakan adalah rendah lemak dan kurang garam serta gula. Ibnu al-Adeem juga tidak menyebut mengenai tomato kerana tomato hanya dikenali di Aleppo 600 tahun kemudian.
SUMBER: http://www.muslimheritage.com/…/12th-century-cookery-all-wo…
Gambar masakan Arab Aleppo
___________________________
~Saufy Jauhary~
Lajnah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________

Comments
Post a Comment