OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Golongan mutaṣawwifah sering menggunakan nama-nama ulama muktabar untuk mengharuskan zikir menari mereka seolah-olah pendapat tersebut sebenarnya diakui dan direstui oleh jumhur ulama. Walhal amalan menari ketika berzikir diingkari oleh ramai ulama dan dianggap batil dan sesat, walaupun diharuskan oleh ulama seperti Imam al-Sayūṭī.
Berikut disenaraikan dua ulama semasa yang menentang amalan ini:
Pertama, Syeikh Muḥammad Sa‘īd Ramaḍān al-Būṭī (1434 H). Katanya dalam Fiqh al-Sīrah (1411 H); Beirut: Dār al-Fikr al-Mu‘āsir dan Damsyik: Dār al-Fikr; h. 444:
“Jumhur berpendapat bahawa tarian diharamkan jika dibuat bersama tashannī (goyangan) dan mereka bersepakat bahawa ia makruh jika dibuat tanpa perkara tersebut. Maka, memasukkan tarian – bagaimanapun bentuknya – dalam zikir kepada Allah taala bererti memasukkan sesuatu yang makruh atau haram ke dalam ibadat yang disyariatkan, dan menukarkannya menerusi perbuatan itu kepada ibadat yang dilakukan dengan niat mendekatkan diri kepada Allah tanpa dalil, atau bahawa ia keluar daripada kemakruhan dan keharaman.”
Kedua, Syeikh Wahbah al-Zuḥaylī (1436 H). Katanya dalam Fatawa Mu’asirah (1431 H); Muhammad Wahbi Sulayman (ed); Damsyik: Dar al-Fikr; h. 346:
“(Menari semasa berzikir) ini termasuk dalam bidaah mungkar yang diharamkan oleh para ulama syariat walaupun golongan sufi melakukannya dengan takwilan-takwilan – hanya Allah yang tahu mengenainya – dan amalan ini tidak dibenarkan dan tidak diterima dari sudut syarak. Al-Qurtubi rahimahullah dan ulama lain telah mengingkari perbuatan tersebut dan (perbuatan) seumpamanya berupa (bermain) sanj dan gendang semasa beliau mentafsirkan (ayat 6, surah Luqman)...”
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment