Nas Imam Syafie Dalam Al-Umm Membenarkan Kenduri Arwah?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Tulisan seorang bekas pelajar Universiti Islam Madinah bertajuk “Kenduri Arwah” yang menceritakan tentang majlis ‘azzā’ yang diadakan oleh “syeikh senior” atau “syeikh yang ada pengaruh dan puluhan tahun mengajar di Madinah” mengandungi kesilapan dalam menterjemahkan nas Imam al-Shāfi‘ī dalam al-Umm. Terjemahan yang dibuatnya begini:

“Aku mengajurkan bagi tetangga almarhum atau kerabat-kerabatnya agar membuatkan makanan pada hari kematian dan malamnya, sebab itu merupakan sunnah, zikir yang mulia dan termasuk perbuatan ahl al-khayr sebelum kita serta sesudah kita”.

Terjemahan beliau tidak lengkap dan menimbulkan sangkaan kepada bacaan bahawa Imam al-Shāfi‘ī menganjurkan agar jiran dan saudara-mara si mati mengadakan jamuan makan untuk keluarga si mati dan untuk tetamu. Terjemahan lengkap dan lebih tepat sepatutnya begini:

“Aku suka jiran dan saudara-mara si mati mengadakan makanan UNTUK KELUARGA SI MATI pada siang dan malam kematian UNTUK MENGENYANGKAN MEREKA kerana itu merupakan sunnah...”

Jadi, makanan yang perlu dibuat itu adalah untuk dijamu kepada keluarga si mati, bukan tetamu yang datang berziarah, sekali gus bertentangan dengan maksud beliau membawakan nas ini iaitu untuk menyokong jamuan makan “nasi kambing” pada “majlis azzā’ yang dibuat 3 hari berturut-turut itu.”

Sebagai maklumat tambahan, saya bertanya kepada sahabat yang mempunyai keluarga di sana tentang majlis ‘azzā’ yang diceritakan itu. Jawabnya, “tak ada pun tuan rumah buat makan-makan. Orang datang ziarah macam itu sahaja.”

Wallahualam.


___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments