Kecemburuan Poligami ?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Semasa Rasulullah SAW mahu menambah isteri, bukan isteri-isteri baginda yang sedia ada sahaja yang tidak suka. Calon isteri baginda pun ada yang menolak lamaran baginda lantaran cemburu. Beliau ialah Ummu Salamah. Ketika ‘Umar b. al-Khaṭṭāb RA datang mewakilkan baginda melamar, Ummu Salamah menolak dengan berkata “saya ada tiga masalah: saya perempuan yang shadīdah al-ghayrah (sangat kuat cemburu)...” Rasulullah SAW pun datang sendiri dan berkata kepadanya, “tentang perasaan cemburu yang awak sebutkan itu, saya doakan agar Allah menghilangkannya.”

Perhatikan, adakah baginda membatalkan lamaran kerana kononnya “menambah isteri itu harus, memelihara isteri atau wanita daripada bergaduh, cemburu, dan sifat-sifat yang tidak baik itu wajib. Justeru sekiranya yang harus itu boleh memudaratkan yang wajib maka tinggalkanlah yang harus itu” seperti kaedah yang dicipta oleh seorang hamba Allah malam kelmarin?!

Dan seperti yang ditegaskan sebelum ini, saya tidak menyokong atau menolak ta‘addud. Bagi saya, ta‘addud bergantung kepada keadaan dan individu. (Tidak semua orang perlu dan mampu, walaupun hanya untuk berkahwin satu.) Namun, apabila bercakap tentang hukum dan agama, kita perlu jujur. Dan kerana mahu jujur, saya ingin jelaskan bahawa wanita yang tidak mahu dimadukan boleh mensyaratkan demikian kepada calon suami sebelum berkahwin.

Perkara ini telah dilakukan oleh wanita pada zaman Imam Ibnu Taymiyyah. Beliau ditanya “tentang lelaki yang berkahwin dengan seorang perempuan, dan perempuan itu mensyaratkan lelaki itu supaya tidak menambah isteri lain..., adakah wajib ia mematuhi syarat tersebut? Dan apabila ia melanggar syarat-syarat itu, boleh atau tidak boleh si isteri menuntut fasakh?” Jawabnya, “ya, syarat-syarat ini sah...”




Barangkali kerana terpengaruh dengan seorang pendakwah wanita antipoligami, seorang perempuan mensyaratkan kepada lelaki yang meminangnya untuk tidak berpoligami selepas berkahwin nanti.

Namun, lelaki itu - yang merupakan sahabat saya - menolak syarat tersebut. Katanya, mana tahu suatu hari nanti beliau kasihan dengan mana-mana wanita dan mahu menjadikannya isteri.

Wanita tersebut mengalah dan menarik semula syarat berkenaan. Akhirnya, mereka berkahwin dan alhamdulillah bahagia sehingga ke hari ini.

Jadi, jangan bimbang jika calon isteri meletakkan syarat tidak mahu dimadukan seperti yang dikempen oleh aktivis antipoligami berjubah agama, kerana lelaki juga mempunyai hak yang sama untuk mensyaratkan mereka supaya menerima ta'addud.

___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments